Menu

 

A+ A A-

Soal Jawab - Feqah Amali

Soal Jawab - Feqah Amali

Soalan: Apakah hukum anjing mencium kasut seperti kucing mencari makanan. Saya hanya membasuh kasut itu dengan air menggunakan tangan. Apakah perlu kasut dan tangan saya disamak juga?

Jawapan: Mengikut pendapat mazhab Syafie, jilatan dan ciuman daripada mulut anjing yang mengandungi air liurnya perlu disamak. Dengan itu kasut itu perlu disamak seperti biasa, manakala tangan yang menyamak tidak perlu pula disamak kembali kerana ia tidak terkena jilatan anjing terbabit.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu Perdana)

Soalan: Apakah definisi hiburan yang sebenarnya mengikut Islam dan apakah itu hiburan yang yang benar-benar mengikut ajaran Islam.

Jawapan: Hiburan dalam Islam adalah sesuatu yang boleh memberi ketenangan dan kegembiraan kepada seseorang. Ia diharuskan dalam Islam dengan syarat tidak ada pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, tidak melalaikan pemain dan pendengar daripada mengingati Allah s.w.t dan lain-lain perkara yang bercanggah dengan Islam. Natijah hiburan di dalam Islam untuk mendapat ketenangan dan kebahagiaan bukan sahaja di dunia, bahkan hingga ke akhirat. Oleh itu perlaksanaan hiburan hendaklah tidak bercampur dengan perkara yang boleh mendatangkan dosa, kerana setiap dosa akan mendatangkan keresahan jiwa di dunia dan menderita di dalam neraka di akhirat.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu Perdana)

Soalan : Apa yang saya fahami selama ini anjing dan babi termasuk najis mughallazah tak boleh sentuh, kecuali kulit anjing jika tangan kita dan kulitnya kering. Tetapi ada orang kata bahagian anjing yang najis cuma jilatannya sahaja manakala babi pula hanya dagingnya sahaja, kerana itu yang ada nas daripada al-Quran dan hadis. Pohon penjelasan ustaz.

Jawapan : Menyentuh najis mughal lazah iaitu anjing dan babi adalah najis. Tetapi menyentuh anjing secara kering dengan kering maka tidak menjadi najis. Cuma ada khilaf ulama tentang bahagian anjing yang najis di mana ulama mazhab Hanafi mengatakan anjing itu najis hanya pada mulut. Ulama mazhab Maliki mengatakan anjing dan kambing itu sama sahaja tidak najis. Tetapi ulama syafii mengata kan anjing adalah najis berlandaskan kepada hadis daripada Rasulullah s.a.w.: “Kalau anjing menjilat bekas maka hendaklah di basuh 7 kali di mana satu bsuhan dengan air tanah atau basuhan pertama dengan air tanah.” Menurut mazhab syafii, mulut yang berbau harum berbanding dengan binatang lain pun Nabi suruh basuh maka lebih-lebih lagilah bahagian-bahagian lain. Mengenai babi yang di sebut dalam al- Quran hanya dagingnya sahaja maka tidak boleh diambil hujah begitu sahaja. Mazhab syafi i mengqiaskan kenajisan anjing dengan babi kerana kedua-duanya haiwan yang kotor. Tetapi bagi mazhab yang tidak menerima qiyas anjing dan babi, mereka hanya mengharamkan makan daging babi.

 

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 2)

 

Soalan : Saya ada terbaca artikel yang menyatakan bahawa haram memakan ikan yang direbus atau digoreng yang tidak disiang (dibuang isi perutnya), termasuklah ikan bilis. Apakah pendapat ustaz mengenai perkara ini.

Jawapan : Ikan ialah sejenis haiwan yang halal dan bangkainya boleh dimakan. Tetapi apa yang perlu kita faham ialah tahinya. Dalam fiqah semua tahi adalah najis termasuklah tahi haiwan yang halal dimakan. Tahi kambing adalah najis. Tahi lembu adalah najis dan termasuklah tahi Menurut mazhab syafi i muntah itu adalah najis jika keluar dari dalam perut. Cuma jika muntah bagi mazhab syafi ‘i tidak batal wuduk dan untuk membersihkannya kena kumur-kumur, tidak cukup hanya dengan meludah sahaja.

 

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 2)

Soalan : Dalam satu kuliah di sebuah masjid, ustaz yang memberi kuliah itu mengatakan tak kisah kalau telur direbus atau dimasak tanpa dibasuh walaupun ada najis tahi ayam di kulitnya. Katanya tahi ayam tidak tergolong dalam najis kerana ada pendapat imam mazhab iaitu ulama Maliki dan Hanafi bahawa tahi ayam tidak najis. Tiada dibuka soal jawab selepas kuliah dan saya tidak sempat berjumpa ustaz itu untuk minta penjelasan.

Jawapan : Isi telur memang bersih, tetapi yang jadi masalah ialah kulit telur. Telur itu keluar dari saluran najis malah kadang-kadang turut bertempek tahi pada kulit telur itu. Maka kulit telur itu najis. Jadi apabila nak buat roti telur, penebar roti canai itu akan pegang kulit telur untuk memecahkannya, maka tangannya ada kemungkinan terkena najis. Tangan yang bernajis itu juga yang menebar dan melipat roti canai, bermakna roti telur itu juga jadi najis dan haram dimakan. Jadi, seeloknya kulit telur itu dibasuh bersih terlebih dahulu sebelum diproses untuk membuat roti telur. yakni bilas dengan air bersih, toskan airnya dan barulah masak. Kecuali ikan bilis kerana ia kecil dan suatu kerenah hendak buang tahi dan isi perutnya. Ikan bilis yang susah di kopek untuk buang tahinya maka dimaafkan.

 

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 2)

Soalan : Adakah muntah manusia najis? Ada ustaz yang mengatakan muntah tidak najis berdasarkan kepada hadis riwayat daripada Abi Darda r.a.: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. muntah lalu berbuka dan berwuduk.” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi). Menurut mereka hadis ini membawa dalil menjadi sunah berwuduk selepas muntah dan tidak menjadi dalil bahawa ianya najis.

Jawapan : Berkenaan soal muntah, kita kena lihat dari mana datangnya muntah itu. Jika seseorang yang sedang makan tiba-tiba ada orang bawa cerita meloyakan atau lalu lori sampah yang busuk menyebabkan dia muntah, maka muntah itu tidak najis. Atau pada hari Jumaat sebelum masuk masjid seseorang itu membeli air dan minum. Kemudian ketika khutbah dia tertidur sehingga meleleh keluar air minuman tadi, maka muntah jenis itu juga tidak najis. Muntah yang dikira najis ialah apa yang keluar dari dalam perut. Contohnya dua atau tiga jam selepas makan, dia berasa pening dan loya kemudian muntah. Keluarlah apa yang telah dimakannya, dan sudah berubah warna dan berbau busuk. Maka muntah itu najis. Begitu juga air liur basi iaitu airnya telah berubah warna dan berbau, ia adalah najis. Muntah sedemikian jika kena pada pakaian, maka pakaian itu tidak boleh bawa solat kerana telah terkena najis.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 2)

Soalan : Adakah mencukur kepala bayi itu sunah Nabi s.a.w.? Bagaimana pula dengan adat mencukur kepala budak sehingga 40 kali? Adakah sandarannya atau apa-apa nas kebaikannya?

Jawapan : Memang menjadi sunah bagi seseorang yang dikurniakan anak melakukan beberapa perkara khususnya pada hari yang ketujuh. Pada hari tersebut sunat bayi itu diberi nama yang baik-baik, dibuat sembelihan akikah, jika lelaki dua ekor kambing dan jika perempuan seekor kambing, kemudian dicukur kepalanya. Rambut yang dicukur itu kemudian ditimbang, kalau seorang yang berada sikit maka nilailah berat timbangan tersebut dengan harga emas. Atau bagi yang kurang kemampuan, nilailah berat timbangan tersebut dengan harga perak. Kemudian nilaian harga tersebut disedekahkan kepada fakir miskin. Sebagai contoh berat rambut bayi itu ialah 10g. Katakanlah harga emas 1g ialah RM5.00 maka nilainya ialah RM50.00. Nilai inilah yang disedekahkan kepada fakir miskin. Selepas itu tidak disunatkan cukur lagi tanpa sebarang sebab. Lainlah kalau ada sebab seperti menunaikan haji atau umrah, kalau saja-saja nak cukur maka ia harus tanpa ditetapkan bilangannya.

 

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 2)

Soalan : Pernah masyarakat kita gempar dengan isu ternak ikan talapia yang diberi makan usus babi. Bagaimana kedudukan sebenarnya dalam masalah ini? Adakah daging ikan talapia yang terbentuk daripada usus babi boleh dimakan?

Jawapan : Hukum makan ikan yang makan usus babi hanyalah makruh bukan haram, yakni boleh makan. Dalam kitab fiqah masalah seperti ini ada disebutkan seperti anak kambing yang tersesat masuk dalam kumpulan anak anjing dan diberi minum susu oleh ibu anjing. Maka besarlah ia dengan susu ibu anjing tadi. Bolehkah makan daging kambing tersebut? Jawabnya boleh. Haiwan seperti itu dipanggil haiwan jallalah, di mana kalau nak disembelih, hendaklah dikurung selama tiga hari baru sembelih. Begitu juga dengan ikan talapia tadi, kalau dibeli ia masih hidup (dalam air), maka dibiarkan 3 atau 4 hari baru dimasak. Tetapi kalau waktu dibeli sudah mati, maka boleh terus proses untuk dimasak. Ini kerana apa yang dimakan oleh ikan itu telah bertukar menjadi tahwil ihalah, yakni menjadi daging maka tidak ada masalah jika dimakan. Begitulah juga halnya dengan pokok-pokok atau sayur-sayuran yang diberi baja organik, walaupun bukan tahi babi tetapi tahi ayam atau tahi lembu maka samalah najis juga. Tetapi pokok atau sayuran yang tumbuh subur itu bersih dan halal dimakan. Kesimpulannya, ikan talapia atau apa jua ikan ternakan yang diberi makan usus babi, boleh dimakan cuma hukumnya makruh.

 

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu 2)

Soalan: Hari raya Aidiladha baru-baru ini saya ikut kawan balik ke kampungnya. Pada malam Hari Raya ada takbir dari rumah ke rumah. Memang biasalah dilakukan di mana-mana, tetapi saya keliru apabila takbir dari rumah ke rumah tersebut disambung pada malam-malam hari Tasyrik. Ada ke suruhan syariat demikian?

Jawapan: Sebenarnya tiada suruhan syariat untuk takbir pada malam-malam hari Tasyrik. Takbir berterusan yang dipanggil takbir mursal hanya pada malam raya bermula dari terbenam matahari hingga solat sunat Hari raya. Selain itu, di panggil takbir muqayyad, takbir yang diikatkan pada waktu-waktu solat. Iaitu dari 9 Zulhijah hingga 13 Zulhijah (hari Tasyrik), di sunatkan untuk kita takbir, tidak kira siang atau malam, selepas solat fardu dan solat-solat sunat mahupun solat jenazah. Katalah pada malam hari Tasyrik kita ada solat sunat Tahajud dua rakaat, maka selepas itu boleh takbir. Takbir mukayyad disyaratkan selepas solat fardu atau sunat.

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu Perdana)

Soalan: Atas kesedaran ingin mengelakkan ibu daripada unsur-unsur syirik dan khurafat, saya menghalang adik membawa ibu berubat dengan seorang bomoh yang diragui cara perubatannya. Tindakan tersebut menyebabkan ibu marah dan membenci saya. Adakah saya tergolong anak yang derhaka?

Jawapan: Kita dikatakan anak derhaka apabila tidak mentaati perintah ibu dan bapa. Mengenai bomoh yang anda rasa ada unsur-unsur syirik dalam perubatannya, maka pastikan dahulu daripada mana rasa anda itu. rasa itu hendaklah disuluh dengan ilmu daripada ulama, jangan hanya daripada perasaan kita, tanpa melalui proses ilmu. Mungkin kita rasa dia syirik melihat cara dia menjampi atau membaca sesuatu atau mendoakan pada air, atau pada tubuh badan pesakit, namun ia tidak semestinya syirik. Untuk memastikan betul dia syirik, maka kita rujuk ulama, betulkah bomoh ini beramal dengan perbuatan yang syirik. Kalau betul wajib kita tegah ibu kita atas kemampuan kita. Sebagai anak, tahap kemampuan kita amat terhad maka kita tegah apa yang mampu dan kalau atas tindakan itu menyebabkan ibu marah maka kita tidak dianggap anak derhaka.

 

Ustaz Fadzli al-Yamani

Mudir Maahad Tahfiz al-Yamani, Kg. Baru, Kuala Lumpur

(Majalah Solusi Isu Perdana)