Menu

 

A+ A A-

Soal Jawab - Umum

Soal Jawab - Umum

Soalan: Saya sudah berumur, tetapi jahil. Jadi saya tidak mahu kejahilan saya tentang agama diwarisi oleh anak-anak. Mohon nasihat daripada ustaz tentang ilmu yang patut diajar kepada anak-anak agar mereka menjadi anak yang baik dan tidak menyusahkan orang tua apabila mereka dewasa?

Jawapan: Sesungguhnya menuntut ilmu hukumnya wajib ke atas setiap orang Islam, sama ada lelaki ataupun perempuan. Kewajipan menuntut ilmu ini tidak terhad ketika muda, tetapi perlu berterusan dari kecil hingga tua, dari buaian sampai ke liang lahad. Syeikh Burhanuddin al-Zarnujiy dalam kitabnya, Ta‘lim al- Muta‘allim menyebutkan bahawa ilmu yang paling utama (iaitu yang paling wajib dituntut) ialah ‘ilm al-hal.

Maksud ‘ilm al-hal ialah ilmu-ilmu yang sangat perlu bagi setiap orang yang sudah baligh. Dengan kata lain, ilmu yang dengannya seorang Muslim itu beramal setiap hari. Termasuklah dalam pecahan ‘ilm al-hal ialah ilmu tauhid dan ilmu fiqah. Tanpa kedua-duanya, nescaya seorang Muslim tidak dapat beramal. Ilmu tauhid ialah ilmu yang membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan akidah. Mula-mula perlu dipelajari tentang keesaan Allah s.w.t. sendiri.

Kemudian berkaitan sifat-sifat-Nya, termasuk sifat yang wajib ada pada-Nya dan yang mustahil. Termasuk dalam ruang lingkup ilmu tauhid ialah kepercayaan kepada perkara-perkara ghaib seperti malaikat, syaitan, syurga dan neraka. Kemudian percaya atau beriman kepada kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah s.w.t., beriman kepada para rasul-Nya, hari kiamat dan kepada qada serta ketentuan Allah s.w.t., sama ada yang baik ataupun buruk. Sedangkan ilmu fiqah pula membincangkan soal-soal yang berhubung dengan cara-cara beribadat kepada Allah s.w.t. dan pergaulan sesama makhluk, khususnya dengan manusia. Jadi jelaslah bagi kita bahawa kedua-dua disiplin ilmu itu perlu terlebih dahulu dipelajari dan dikuasai agar seseorang Muslim mampu hidup dengan baik dan teratur.

Sesudah itu dibenarkan pula menuntut ilmu-ilmu yang lain seperti ilmu perubatan dan seumpamanya yang mendatangkan kebaikan bagi manusia.

Datuk Haji Ismail Kamus
(Fiqah Harian, Al-Ustaz isu No.4)

Soalan: Apakah hukum mendengar muzik?

Jawapan: Terdapat khilaf dalam kalangan ulama berkenaan hukumnya. Saya berpendapat, mendengar bunyibunyian itu tidaklah haram. Namun, sekiranya mendengar muzik itu menyebabkan seseorang terpesong ke arah sesuatu yang tidak diredai Allah s.w.t., maka hukumnya haram. Jadi, haram mendengar muzik jikalau ia melalaikan kita daripada mengingati Allah s.w.t. kerana setiap sesuatu yang membawa kepada haram, maka hukumnya haram. Wallahu a‘lam

Datuk Haji Ismail Kamus
(Fiqah Harian, Al-Ustaz isu No.4)

Soalan: Bagaimana kita dapat mengetahui seseorang itu telah mendapat taufik? Adakah orang yang senang (berharta) itu ialah orang yang mendapat taufik, manakala orang yang susah itu sebaliknya? Harap dapat penjelasan daripada ustaz.

Jawapan: Taufik (panduan dan pertolongan) daripada Allah s.w.t. ialah suatu perkara yang sangat diperlukan oleh seorang hamba, baik untuk kehidupan di dunia mahupun akhirat. Ramai orang menganggap seseorang yang kelihatan senang hidupnya, berharta, berkerjaya baik dan bahagia itulah orang yang mendapat taufik dan kemudahan. Padahal taufik itu bukanlah sebagaimana yang mereka sangka. Sebenarnya Allah s.w.t. memberikan kemewahan dunia kepada sesiapa sahaja, baik orang yang dicintai mahupun orang yang tidak dicintai-Nya. Hal ini telah disebut oleh Allah s.w.t. yang bermaksud: “Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya, lalu dimuliakannya dan diberinya kesenangan, maka dia akan berkata: ‘Tuhanku telah memuliakanku.’ Adapun apabila Tuhan mengujinya lalu membataskan rezekinya, maka dia berkata: ‘Tuhanku menghinaku.’” (Surah al-Fajr 89: 15-16)

Orang yang mendapat taufik, sebenarnya ialah orang yang ketika diberi kedudukan, ia akan digunakan untuk mendapatkan keredaan Allah, membela agamanya dan memberi manfaat kepada saudara-saudaranya. Jika ia mendapat rezeki, ia akan mengambilnya dari sumber yang halal dan membelanjakannya kearah ketaatan kepada Tuhannya. Sudah menjadi kebijaksanaan Allah s.w.t. untuk menguji hamba-hamba-Nya. Dan orang yang beroleh taufik ialah orang yang bersyukur ketika diberi. Sementara orang celaka pula ialah orang yang melampaui batas dan sombong ketika mendapat nikmat. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Ketahuilah, sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas, kerana dia melihat dirinya serba cukup.” (Surah al-‘Alaq 96: 6-7)

Datuk Haji Ismail Kamus
(Fiqah Harian, Al-Ustaz isu No.4)

Soalan: Saudara saya suka mengumpul set pinggan mangkuk dan set sudu, garpu dan seumpamanya. Saya lihat ada antara set tersebut disadur dengan emas. Ada juga set sudu garpunya yang diperbuat dari perak. Jadi apa hukumnya?

Jawapan: Haram menggunakan bejana emas atau perak untuk apa-apa jua tujuan kecuali dalam keadaan darurat yang tidak ada pilihan lain sahaja. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Jangan kamu memakai sutera dan minum dalam bejana emas dan perak. Dan jangan kamu makan dengan pinggan yang diperbuat daripada kedua-duanya. Ini kerana kedua-duanya kegunaan orang kafir di dunia dan untuk kita di akhirat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Dikiaskan pengharaman menggunakan bejana emas dan perak untuk makan minum kepada sebarang tujuan penggunaannya yang lain walaupun untuk perhiasan dalam rumah. Pengharaman ini juga meliputi lelaki dan perempuan. Emas hanya dibenarkan untuk perhiasan diri wanita sahaja, manakala perak boleh digunakan sebagai perhiasan diri (cincin) lelaki.

Datuk Haji Ismail Kamus
(Fiqah Harian, Al-Ustaz isu No.4)

Soalan: Apa hukum orang Islam menyertai kumpulan koir sempena Hari Natal (Hari Krismas). Ada beberapa orang kawan saya menyertainya.

Jawapan: Haram. Ia termasuk dalam maksud merayakan hari tersebut. Hari Krismas merupakan perayaan bagi penganut Kristian. Seorang Muslim haram merayakan hari perayaan agama lain, kerana ia boleh membawa kepada rosaknya iman sekiranya reda dengan agama mereka. Para ulama menyebut: “Sesungguhnya reda dengan perkara maksiat, maka ia juga maksiat. Dan reda dengan perkara kufur, maka ia juga kekufuran.”

Datuk Haji Ismail Kamus
(Fiqah Harian, Al-Ustaz isu No.4)

Soalan: Apakah status wang KWSP mualaf yang meninggal dunia? Adakah ibunya yang menjadi penama masih berhak atas wang tersebut?

Jawapan: Bagi menjawab kes ini, saya bawakan keputusan yang telah difatwakan sebagaimana berikut: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-61 yang bersidang pada 27 Jan 2004 telah membincangkan hukum pembayaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi ahli yang memeluk Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1. Mengikut hukum syarak, orang bukan Islam tidak berhak mewarisi harta orang Islam dan begitulah sebaliknya.

2. Jika seseorang bukan Islam memeluk Islam dan mempunyai simpanan KWSP serta telah menamakan penama orang bukan Islam, maka hendaklah menukar penama tersebut kepada orang Islam. Jika tiada penama orang Islam dan tiada waris Islam yang berhak ke atas harta tersebut setelah beliau meninggal dunia, maka harta itu tidak menjadi hak penama yang bukan Islam, sebaliknya hendaklah diserahkan kepada Baitumal.

3. Orang Islam boleh membuat wasiat kepada orang bukan Islam tidak melebihi 1/3 daripada hartanya.

(http://muamalat.islam.gov.my/fatwa-kebangsaan)

Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
(FIQAH ZAKAT, Majalah Al-Ustaz Isu 4)

Soalan: Orang kata bahawa Islam hanya mengakui kewujudan jin dan syaitan sahaja. Bagaimana pula dengan orang bunian?

Jawapan: Dalam al-Quran disebutkan bahawa makhluk-makhluk ghaib yang wujud hanya ada tiga iaitu jin, syaitan dan malaikat. Adapun hantu, orang bunian dan sebagainya adalah istilah orang Melayu sahaja yang merujuk kepada jin. Jin ada pelbagai jenis dan bangsa sebagaimana manusia.

Datuk Haji Ismail Kamus

(FIQAH HARIAN, Majalah Al-Ustaz Isu 5)

Soalan : Apa pandangan ustaz tentang bahasa yang digunakan remaja sekarang, seperti ‘wa’ untuk saya, ‘lu’ untuk awak dan macam-macam lagi. Apakah ok ataupun ia menggambarkan sesuatu yang tidak ok?

Jawapan : Yalah, kalau dilihat sekali lalu sahaja tiada salahnya, asalkan faham cukuplah. Tetapi kalau kita lebih teliti, kita nilai, kita kaji, kita fikirkan secara serius, bukan sekali tapi berulang kali. Cuba kita bayangkan bagaimana kalau saya bercakap sekarang mengunakan bahasa ‘wa’, ‘lu’ dan ‘chow’. Bahasa bukan sekadar penyampai maksud sahaja tetapi ia juga membayangkan jiwa. Bahasa yang lembut, dari jiwa yang lembut. Bahasa yang kasar datang daripada jiwa yang kasar. Saya tidak persoalkan remaja yang memang tidak tahu berbahasa Melayu dengan betul, apa nak buat, dia tidak cukup istilah, atau tidak cukup bahasa, maka terpaksa dia gunakan bahasa pasar, atau ada yang kata ‘bahasa kutu’, ‘bahasa rock’ dan sebagainya.

Pada remaja Melayu, lebih-lebih lagi remaja Islam, kita mampu menggunakan bahasa yang lebih sopan, lebih indah, lebih sedap bunyinya, tetapi kenapa kita gunakan istilah yang kasar, aneh pula bunyinya? Kenapa kita tinggalkan bahasa yang baik, lalu memilih yang kurang baik? Bahasa yang sesuai mesti kita gunakan selaras dengan tempat dan orang yang kita bercakap. Bercakap di istana dengan raja dan sultan, kita gunakan bahasa diraja. Kita berpatik-patik dan bertuanku. Di rumah, kita gunakan bahasa yang paling manja dan sopan apabila bertutur dengan ibu bapa. Begitu juga di sekolah. Bahasa yang kasar bunyinya hanya digunakan untuk bertutur,dengan kawan-kawan tertentu, dan bukan di semua tempat. Hanya di tempat yang tertentu pula. Tentunya kita tidak bercakap ‘wa’ dan ‘lu’ dengan kawan-kawan kita di masjid, di surau kerana jika didengar oleh ahli jemaah lain, janggal rasanya. Maksud saya, kalau kita selalu berada di tempat yang baik, dengan kawan yang baik, maka bahasa yang selalu kita gunakan pun baik. Insya-Allah.

Remaja dengan Ustaz

(Majalah Solusi Isu No 2)

 

Soalan : Kadangkala ada yang beranggapan itu adalah satu tanda kemesraan. Ia tidak formal, kata orang. Bila tidak formal barulah datangnya kasih sayang. Bagaimana ustaz?

Jawapan : Betul juga. Bahasa yang terlalu formal kadangkala menjadikan pergaulan kita kaku. Jangan terlalu formal. Tetapi benarkah bahasa yang tidak formal itu hanya apabila kita gunakan istilah-istilah yang disebutkan tadi? Dalam hal ini mari kita contohi Rasululllah s.a.w. Baginda yang paling mesra, paling pandai bergaul, paling berkasih sayang kepada sahabat-sahabatnya. Diceritakan beliau akan memanggil sahabat-sahabatnya dengan panggilan-panggilan yang paling disukai oleh mereka. Tidak pula kita dengar bahawa perlu panggilan kasar untuk membayangkan kemesraannya. Yang jelas, panggilan itu walaupun mesra namun tetap lembut dan berakhlak bunyinya. Bahasa yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w. tetap sesuai dengan adat dan budaya masyarakat masa itu. Jadi apa salahnya kalau sikap Rasulullah s.a.w. ini kita teladani? ertinya, bahasa yang tidak formal itu tidaklah semestinya bahasa pasar atau bahasa-bahasa yang asing bunyinya.

Remaja dengan Ustaz

(Majalah Solusi Isu No 2)


Soalan : Ada pula yang mengatakan biarlah bahasa kita kasar tetapi yang penting hati dan niat kita baik.

Jawapan : Benar atau tidaknya terpulanglah kepada remaja untuk menilai. Cuma ingin saya katakan, hati yang baik akan mendorong lidah berkata yang baik. Rasulullullah s.a.w. pernah bersabda yang maksudnya, tidak lurus iman seseorang hingga lurus lidahnya. Maksudnya, iman yang mantap melahirkan tutur kata yang baik. Baik pada maksudnya, baik pada bahasanya, baik pada caranya. Katalah dalam berdakwah, niat orang yang berdakwah hendak mengajak kepada Allah, dan bahasa dan tutur katanya lembut dan berhikmah, maka dia lebih diterima orang daripada pendakwah yang bahasanya kasar, mengecam dan mengutuk orang.

Bila kita tanyakan kenapa begitu? Tak apalah, niat saya baik, nak tarik orang kepada Islam. Pendakwah sebegini bukan sahaja gagal menarik orang kepada agama malah akan tambah menjauhkan lagi orang daripada agama. Sebagai bandingannya, apa pandangan kita kalau ada orang yang hendak memberi kita ayam goreng… tetapi ayam goring itu dicampakkan kepada kita dengan kasar? Tentu kita marah, walaupun yang dicampak itu ayam goreng!. Saya tidak menolak kemungkinan ada orang yang bahasanya baik, caranya baik tetapi niatnya jahat, hatinya busuk. Kata orang, bertananam tebu di tepi bibir. Pepat di luar, rencong di dalam. Ini memang banyak. Sebab itu saya ingin tegaskan, tutur kata yang baik tidak semestinya mencerminkan hati yang baik, tetapi hati yang baik selalunya akan melahirkan kata-kata yang baik. Cuma sekali-sekala ada juga orang yang tidak pandai berbahasa yang indah-indah, bahasanya direct sahaja tetapi hatinya jujur. Nampak kasar, tetapi niatnya tulus. Inipun biasa berlaku, walau jarang-jarang sekali. Itupun bukan disengajakan, tetapi memang dia tidak mampu, mungkin kerana latar belakang keluarga, persekitaran dan pekerjaannya yang tidak membentuk dirinya bercakap dengan bahasa yang lembut dan betul.

Remaja dengan Ustaz

(Majalah Solusi Isu No 2)