Menu

 

A+ A A-

BERSALAMAN SELEPAS SOLAT

Hukum Bersalaman Selepas Solat

Alhamdulillah saya menyaksikan kebanyakan surau dan masjid yang saya pergi biasanya sesudah solat akan bersalaman. Cuma saya terfikir adakah ia suatu perbuatan yang dituntut? Mohon pencerahan.

SALAM1Ulama berbeza pendapat tentang hukum bersalam selepas solat, khususnya selepas solat Subuh dan Asar. Ada antara mereka yang mengatakan sunat, ada yang mengatakan harus dan ada juga yang mengatakan makruh. Penjelasannya seperti berikut:

Pendapat terpilih

Ustaz telah nyatakan bahawa ada beberapa pandangan tentang masalah ini. Tetapi sebagai orang awam, pandangan manakah yang saya mesti pegang?

Pendapat terpilih yang menjadi pegangan ramai ulama ialah bersalaman selepas solat sama ada sunat atau harus. Hanya sebahagian kecil sahaja yang mengatakan ianya makruh. Terdapat kaedah istinbat hukum yang berbunyi: “Mengkhususkan hukum umum tanpa dalil khusus ialah batil.” Ini bermaksud, selagi tidak ada larangan khusus terhadap amalan bersalaman selepas solat, maka ia tertakluk dalam hukum umum iaitu sunat bersalaman ketika berjumpa. Amalan bersalam pada asalnya merupakan sunnah Rasulullah. Baginda menganjurkan amalan ini dengan sabdanya: “Tiada dua orang Muslim yang bersalaman kecuali Allah akan mengampunkan kedua-duanya sebelum mereka berpisah.” (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

SALAM2

Bersalaman yang Disyariatkan

Selain selepas solat, adakah masa-masa lain yang dituntut untuk bersalaman?

Ya. Ada beberapa keadaan lain yang dituntut kita melakukan amalan ini. Antaranya:

1. Ketika berjumpa sama ada daripada musafir atau selainnya. Diriwayatkan daripada Kaab bin Malik, beliau berkata: “Aku telah masuk ke masjid. Lalu aku berada di samping Rasulullah. Lalu Talhah bin Ubaidillah bangun dengan langkah yang cepat sehingga dia bersalam dan mengucapkan tahniah kepadaku.” (Riwayat al-Bukhari) Imam an-Nawawi dalam al-Azkar berkata: “Ketahuilah, sesungguhnya bersalaman merupakan sunnah yang telah diijmak ke atasnya ketika berjumpa.”

2. Ketika melantik atau melakukan ikrar janji taat setia kepada pemimpin. Diriwayatkan ketika hendak melantik Abu Bakar menjadi khalifah, Umar bin al-Khattab berkata kepadanya: “Hulurkan tanganmu agar aku boleh berbaiah denganmu.” Apabila Abu Bakar menghulurkan tangannya, Umar al-Khattab lalu bersalaman dan berbaiah dengannya. Perbuatan ini lalu diikuti oleh kaum Muhajirin dan Ansar yang lain.

 

Wallahu a‘lam.

 

 

Ustaz Fuad Ismail

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 12

 


 

 

Fuad Ismail

Sarjana Muda Syariah di Universiti Al-Bayt, Jordan. Berpengalaman dalam bidang penulisan buku-buku agama dan bahasa Arab untuk sekolah rendah agama (SRA), KAFA, j-QAF dan untuk sekolah menengah. Kini menjawat jawatan sebagai Editor di Telaga Biru Sdn. Bhd.

Kembali ke atas