Menu

 

A+ A A-

CATATLAH HUTANG

Seorang rakan ada berhutang dengan saya sebanyak sepuluh ribu ringgit lima tahun yang lepas. Saya ada menuntut hutang saya namun dia berkeras menyatakan yang dia telah membayar hutang tersebut. Seingat saya, beliau tidak pernah menyelesaikannya. Bagaimana syarak melihat perkara ini?

 Jawapan

Melihat kepada soalan di atas, rakan saudara mengakui bahawa beliau ada berhutang daripada saudara. Namun, beliau mendakwa bahawa hutang tersebut telah pun diselesaikannya dan saudara menafikan perkara tersebut.

Dalam menangani situasi ini, kaedah yang boleh diguna pakai adalah “al-aslu baqa’ ma kana ‘ala ma kana” yang bermaksud bahawa hukum asal adalah mengekalkan sesuatu keadaan itu di atas keadaannya yang sedia ada. Keadaan ini berlanjutan selagi mana tiada bukti yang menyatakan sebaliknya. Rasionalnya amat mudah iaitu sesuatu perkara yang diyakini statusnya tidak akan berubah hukumnya melainkan dengan bukti kukuh yang dapat membatalkan keyakinan tersebut.

Kaedah ini didokong oleh ayat al- Quran, antaranya firman Allah: “Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan semata-mata, padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran.” (surah al-Najm ayat 28)

Berbalik kepada soalan saudara, apa yang diyakini oleh kedua-dua pihak adalah wujudnya keberhutangan. Yang menjadi persoalannya sekarang adalah sama ada hutang tersebut telah dijelaskan atau sebaliknya.

Dengan mengaplikasi kaedah di atas, status keberhutangan akan kekal kerana ia sabit secara yakin sehinggalah rakan saudara dapat membuktikan bahawa beliau telah menjelaskan hutangnya kepada saudara. Kenyataan bank boleh membuktikan sama ada beliau telah memindahkan wang ke akaun saudara atau adanya dokumen pembayaran yang boleh dibuktikan kesahihannya. Atau boleh juga didapati saksi yang adil yang menyaksikan pembayaran dibuat atau bukti lain yang boleh menyokong dakwaannya.

catatlah-hutang-2

catatlah-hutang-3

Tanah Kongsi

Saya ada membeli tanah secara kongsi dengan rakan saya. Disebabkan kekangan tertentu, tanah sebut tidak dibahagikan secara rasmi (pecah lot) di antara kami. Nama kami berdua ada dicatatkan di dalam geran tanah sebagai pemilik bersama. Pada awal tahun yang lalu, rakan saya telah menjual bahagiannya kepada seorang yang saya tidak kenali. Saya amat kecewa dengan tindakannya. Jika dimaklumkan, saya amat berminat untuk membeli bahagian tersebut. Saya juga bimbang untuk berkongsi tanah tersebut dengan pemilik baru yang saya tidak kenali. Apakah penyelesaiannya mengikut hokum syarak?

Jawapan

Sebelum menjawab dengan lebih lanjut, ingin saya menarik perhatian saudara bahawa penerangan saya ini adalah dari perspektif syariah semata-mata tanpa merujuk kepada apa yang termaktub dan diamalkan di dalam undang-undang negara yang berkaitan hal ini.

Dari segi syariah, saudara mempunyai hak yang diistilahkan sebagai hak alshuf’ah. Ia adalah hak untuk memiliki aset yang telah dijual kepada pihak ketiga dengan harga yang sama di mana transaksi jual beli tersebut dilakukan (antara penjual dan pihak ke tiga tersebut). Dalam hal ini, pihak ketiga tersebut dipaksa (biasanya oleh pemerintah) untuk menjualkan asset yang dibelinya kepada saudara.

Secara amnya, hak al-shuf’ah ini diberikan kepada pemilik bersama dan juga jiran kepada aset tersebut. Secara khusus, jiran yang mendapat hak ini adalah apabila beliau berkongsi kemudahan dengan aset yang dijual seperti kemudahan pengairan, jalan dan sebagainya. Dalam sebuah hadis, Jabir bin Abdullah menyatakan bahawa Rasulullah membuat keputusan sabitnya hak shuf’ah ke atas setiap sesuatu yang tidak dibahagikan (antara pemiliknya). (Riwayatkan oleh al-Bukhari)

Hak ini adalah untuk mengelakkan pemilik bersama atau jiran berada dalam keadaan tidak selesa, mendapat keburukan atau mungkin juga dizalimi oleh pemilik baru yang tidak dikenali. Pihak yang mempunyai hak shuf’ah juga mungkin mempunyai rancangannya sendiri terhadap aset yang dimiliki bersama atau berjiran dengan asetnya. Dalam melaksanakan hak shuf’ah ini, perkara berikut perlu diberi perhatian:

-Pihak yang mempunyai hak shuf’ah hendaklah menuntut perlaksanaanya sebaik mendapat khabar mengenai asset yang dijual kepada pihak ketiga. Jika tidak dituntut dalam kadar segera, maka hak ini akan gugur.

-Tuntutan hendaklah dibuat melalui cara dan kaedah yang sepatutnya mengikut undang-undang.

-Pihak yang mempunyai hak shuf’ah akan mengambil kedudukan pembeli pihak ketiga dari segi hak dan kewajipan. Ini bermaksud bahawa segala terma dan syarat dalam jual-beli tersebut hendaklah juga dipenuhi, antaranya yang berkaitan dengan harga belian, cara bayaran dan sebagainya. Ini adalah untuk menjaga kemaslahatan pihak penjual.

-Jika terdapat lebih daripada seorang pemilik bersama, maka hak shuf’ah terbahagi antara mereka mengikut bahagian masing-masing dalam pemilikan aset tersebut.

Demikianlah indahnya syariah yang mempunyai peraturan dalam menangani hubungan sesama manusia demi mengelak persengketaan antara mereka dan menegakkan keadilan.

catatlah-hutang-4

Laluan ke Tanah

Saya mempunyai sebidang tanah. Masalah saya adalah tiadanya jalan yang boleh sampai kepada tanah tersebut. Oleh itu, saya tidak dapat memanfaatkannya. Pemilik-pemilik tanah di bahagian hadapan pula berkeras tidak mahu memberi laluan untuk sampai kepada tanah saya tersebut. Apakah kedudukan perkara ini mengikut syarak?

Jawapan

Adalah menjadi hak saudara untuk memperolehi jalan yang menghubungkan kepada tanah tersebut. Dalam fiqah, perkara ini dibincangkan dalam bab hak al-irtifaq. Secara ringkasnya, ia adalah hak antara kejiranan dalam berkongsi kemudahan-kemudahan bersama seperti air, jalan dan sebagainya.

Ia berlandaskan kepada sabda Rasulullah: “Tidak masuk syurga seseorang yang jirannya takut kepada keburukannya.” (Riwayat Ahmad)

Namun dalam konteks negara kita yang mempunyai undang-undang berkaitan tanah dan sebagainya, hak tersebut perlulah diperolehi mengikut saluran perundangan yang betul. Jiran yang bertanggungjawab dan memahami hukum-hakam agama sudah tentu tidak akan membantah untuk tanahnya diambil untuk menyediakan jalan ke tanah jirannya.

Satu perkara yang juga perlu disedari, tanah yang digunakan sebagai jalan itu diibaratkan sebagai sedekah jariah. Tuan tanah tersebut akan sentiasa diberi pahala setiap kali tanahnya digunakan sebagai jalan oleh orang ramai. Sudah tentu ia akan berterusan walaupun selepas tuannya meninggal dunia. Inilah sebenar-benarnya pelaburan yang menguntungkan. Bagi yang memahami hakikat ini, janganlah melihat kepada “kerugian” beberapa kaki tanahnya yang diambil sebagai jalan, tapi lihatlah kepada keuntungan akhirat yang tiada kesudahannya.

Wallahu a‘lam.

 PROF. DR. ASHRAF MD HASHIM

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.19


 

Prof Dr Ashraf Md Hashim

Sarjana Muda Syariah,Universiti Islam Madinah, Sarjana Fiqh dan Usul al-Fiqh, Universiti Jordan dan Doktor Falsafah, Universiti Birmingham, United Kingdom. Memegang banyak jawatan penting antaranya anggota Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia (MPS BNM), ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dan Profesor (Syariah) di Pusat Pendidikan Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (INCEIF). Pengarah Urusan, ISRA Consultancy dan juga Timbalan Presiden, Persatuan Penasihat Shariah Kewangan Islam Malaysia.

Kembali ke atas