TERABAI JIKA MENGABAIKAN
- Ditulis oleh Faiz M Azhari
- Kategori Terkini
- Read 6865 times
SEMEMANGNYA sudah diketahui umum bahawa solat itu adalah tiang agama – orang yang mengerjakannya dinisbahkan sebagai mendirikan agama, orang yang meninggalkannya dinisbahkan sebagai meruntuhkan agama.
Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Muddaththir ayat 40- 43 yang bermaksud: “(Mereka ditempatkan) di dalam syurga (yang penuh nikmat) bertanya-tanya tentang (tempat tinggal) orang yang bersalah. (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata), ‘Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?’ Orang-orang yang bersalah itu menjawab, ‘Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan solat.’”
Seksaan bagi orang yang meninggalkan solat
Orang yang meninggalkan solat akan diseksa dengan 15 seksaan; enam daripadanya akan diterima di dunia, tiga daripadanya ketika nyawa di penghujung, tiga lagi daripadanya ketika berada di dalam kubur dan tiga yang terakhirnya di hari kiamat.
6 seksaan diterima di dunia:
1. Usianya tiada keberkatan.
2. Dihilangkan tanda-tanda orang soleh daripada wajahnya.
3. Tiada pahala setiap amalan yang dikerjakan.
4. Doanya sia-sia kerana tidak dimakbulkan oleh Allah s.w.t.
5. Semua makhluk di dunia membencinya.
6. Tidak menerima bahagian daripada doa untuk orang-orang soleh.
3 seksaan ketika nyawa di penghujung:
1. Matinya adalah dalam kehinaan.
2. Matinya adalah dalam keadaan yang terlalu lapar.
3. Matinya adalah dalam keadaan yang sangat dahaga.
3 seksaan ketika berada di dalam kubur:
1. Kuburnya disempitkan.
2. Dibalik-balikkan dirinya dalam bara api yang dinyalakan.
3. Ular yang dinamakan Shajkul Akrak akan menyeksa si mayat sehingga kiamat.
3 seksaan di hari kiamat:
1. Malaikat akan menyeretnya dalam keadaan hina masuk ke neraka.
2. Mendapat kemurkaan Allah s.w.t. yang amat hina.
3. Allah s.w.t. akan menghisabnya dengan berat yang terus dihumban ke neraka.
Untuk mengelakkan daripada terabai, maka peliharalah solat kita melebihi daripada memelihara maruah kita sesama manusia di dunia ini. Jom lakukan!
Faiz M Azhari
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.2