Menu

 

A+ A A-

MEMAHAT KESABARAN PADA DIRI : RAMADAN BULAN KESABARAN

Ramadan Bulan Kesabaran

RAMADAN akan tiba tidak lama lagi. Bagaimana kita boleh mengambil kesempatan dengan kedatangan bulan ini dalam rangka usaha kita menjadi orang yang sabar?

Allah mensyariatkan puasa Ramadan dengan tujuan yang antara lainnya adalah untuk meneguhkan ketakwaan dalam diri. Takwa sangat berkait dengan kesabaran.

Berikut adalah beberapa saranan agar ibadah Ramadan kita benar-benar membentuk peribadi:

1. Menurut Ibn Hajar al-Asqalani, hasil gabungan iktikad tentang kewajipan berpuasa dan ibadah puasa, diserikan lagi dengan membenarkan perintah Allah, keazaman untuk berpuasa, kesungguhan menghidupkan Ramadan bagi merebut sebanyak-banyak ganjaran pahala di sisi Allah dan kesedaran untuk menyucikan diri daripada dosa adalah antara ramuan untuk mencapai natijah takwa menerusi tarbiah Ramadan. Mudah-mudahan segala sifat mazmumah mulai luntur dan diganti dengan sifat-sifat mahmudah.

2. Renungilah kisah kesungguhan Rasulullah, sahabat dan para salafussoleh dalam menjalani ibadah puasa Ramadan. Rasulullah dan para salafussoleh menghidupkan seluruh Ramadan dengan pelbagai bentuk amal soleh yang digandakan dalam kuantiti dan kualiti yang luar biasa berbanding bulan-bulan yang lain.

memahat-kesabaran-1

Tip Orang Sabar

Mohon ustazah kongsi tip membentuk diri menjadi seorang Mukminah yang penyabar?

Mudah-mudahan beberapa langkah yang dicadangkan ini dapat membantu kita untuk mempertingkatkan nilai sabar dalam diri.

1. Mengakui bahawa diri kita masih jauh daripada sifat sabar.

Ini kerana pengakuan seseorang bahawa dirinya sedang “sakit” ialah separuh daripada ubat.

2. Menyedari bahawa kehidupan adalah medan ujian.

Menyedari bahawa kehidupan ini sebenarnya medan ujian buat kita. Allah menguji sama ada kita golongan yang bersungguh-sungguh mencari reda Allah atau yang leka.

3. Mengetahui betapa hebatnya balasan buat orang yang sabar.

Antara balasan terhebat adalah sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya ganjaran bagi orang yang sabar itu tidak terhitung nilainya.” (Surahal-Zumar 39: 10)

4. Tetap istiqamah melakukan amal soleh.

Ibn al-Qayyim menjelaskan bahawa sepatutnya amal soleh yang kita lakukan memberi kesan langsung dari segi pentarbiahan dan penyucian hati. Semakin banyak kita membaca al-Quran, sepatutnya hati semakin tenang dan tidak berkeluh-kesah. Namun antara amalan dan hati ada “perompak-perompak”-nya. Boleh jadi belum pun sampai aura amalan tersebut kepada hati si pelaku, syaitan dan nafsu telah “merompak”-nya. Mereka memusnahkan nilai kebaikan yang terdapat pada amalan tersebut seperti ikhlas dan tawaduk, lalu diganti dengan virus riyak, ujub, takabbur dan sebagainya. Sebab itu kita melihat ada orang banyak melakukan amalan soleh, namun sebenarnya jiwa mereka kotor dengan sifat mazmumah. Maka jauh sekali untuk memiliki akhlak sabar.

5. Beriman dan yakin dengan takdir Allah.

Kita hendaklahsentiasa yakin bahawa ketetapanAllah adalah yang terbaik. Pasti adarencana Allah untuk kita yang amatlemah. Hanya orang yang sabar(dengan berkat kesabaran mereka)akan mampu melihat hikmah yangdisingkap rahsianya oleh Allah.

6. Mengikat diri dengan Allah melalui doa.

Berdoalahdengan bersungguh-sungguhberserta munajat dan rintihankerana kita amat perlu menghiasdiri dengan sifat sabar. Sabar itu prasyarat pertolongan Allah dalam segenap urusan. Sabar mengangkat darjat kita di sisi Allah. Sebaliknya jika tidak bersabar, bererti kita memilih jalan kehinaan.

7. Lazimkan memerhati orang yang lebih susah daripada kita.

Bandingkan. Sungguh pun susah, mereka boleh melalui hidup dengan tabah dan tenang.

8. Jaga pandangan lebih mudah untuk kita sabar mengawal nafsu.

Jagalah perut. Pastikan ia hanya dimasuki makanan yang halal dan tidak berlebihan.

Strategi Menewaskan Amarah

Sikap tidak sabar juga selalu dikaitkan dengan sifat cepat marah, panas baran, tergopoh-gapah dan sebagainya. Bolehkah ustazah berikan tip dan langkah yang lebih khusus, intensif dan berkesan untuk mengawal kemarahan?

Sesungguhnya manusia itu diciptakan dengan sifat yang tergesa-gesa. Allah berfirman dalam surah al-Anbiya’ ayat 37 maksudnya: “Diciptakan manusia dengan sifat tergesa-gesa.”

1. Berikut adalah antara cara yang dicadangkan:

Bentuk rangkaian sokongan dengan orang yang terdekat dengan kita. Terangkan kepada mereka bahawa kita perlu dibantu untuk menguruskan kemarahan demi mencapai sifat sabar. Apabila mereka melihat kita marah, maka kita berharap agar mereka terus menegur kita dengan hadis Rasulullah yang bermaksud: “Jangan marah! Jangan marah! Jangan marah!” (Riwayat al-Bukhari)

2. Hukum diri kita sendiri dengan hukuman yang munasabah setiap kali kita gagal mengurus kemarahan dengan baik.

Hukuman bukan dalam bentuk yang memudaratkan, tetapi lebih untuk mendidik dan mengingatkan diri sendiri. Contohnya setiap kita gagal, hukumlah dengan mewajibkan diri bersedekah, membaca al-Quran lebih banyak dari biasa, berpuasa atau apa-apa sahaja amalan kebaikan. Kita mengambil konsep “kebaikan menghapuskan kejahatan”.

3. Buat catatan graf sifat marah kita pada setiap hari.

Seorang Mukmin yang sebenar ialah Mukmin yang hari ini lebih baik dari semalam dan hari esoknya lebih baik dari hari ini. Catatan ini sangat perlu untuk muhasabah diri dan melihat sejauh mana pencapaian kita. Menurut Ibn ‘Ujaibah, orang yang rajin muhasabah diri akan dikurniakan lima keberuntungan:

a.Selamat daripada keburukan lisan.

b. Selamat daripada keburukan mata.

c. Selamat daripada sahabat yang buruk.

d. Menyegarkan tubuh, emosi dan menenangkan wajah.

e.Merasai kemanisan iman dan kelazatan ibadah.

Wallahua‘lam.

Norhafizah Hj. Musa
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.4


Ustazah Norhafizah binti Hj. Musa

Pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia. Kelulusan Sarjana Muda Bahasa Arab Dan Pengajian Islam University Yarmouk Jordan, Sarjana Usuluddin Universiti Malaya. Kini sedang menyambung pengajian peringkat PhD di Universiti Malaya. Aktif dalam bidang dakwah, wanita dan kemasyarakatan. Panel slot Tanyalah Ustazah TV9, Halaqah TV9, al-Hidayah TV3 dan program TV al-Hijrah.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas