PUASA DAN KERINGANAN BAGI UMAT INI
- Ditulis oleh Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani)
- Kategori Terkini
- Read 8263 times
PUASA dari segi syarak bererti menahan diri daripada makan dan minum, bergaul intim dengan isteri dan semua larangan itu bermula dari terbit fajar sehingga tenggelam matahari bagi tujuan melaksanakan perintah Allah dan mendekatkan diri kepada-Nya.
Ramadan diambil dari perkataan “ar-Ramdu” yang bererti bersangatan panas.
Menurut Tafsir al-Qurtubi; orang-orang terdahulu sewaktu mula menamakan sesuatu bulan mengambil kira musim dan keadaan pada bulan tersebut, kebetulan bulan Ramadan pada waktu itu jatuh pada musim panas. Namun ada juga ulama yang mengatakan Ramadan bererti kepanasan yang membakar dosa-dosa dengan melakukan amal soleh, wallahua’lam.
Puasa Ramadan disyariatkan setelah Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah, pada tahun ke-2 Hijrah, iaitu selepas pertukaran kiblat ke arah Kaabah. Semasa di Makkah, hanya ayat-ayat yang menguatkan akidah sahaja diturunkan, sehinggalah saat akhir sebelum hijrah barulah diturunkan ayat yang memfardukan solat.
Sepanjang hayatnya, Rasulullah s.a.w. sempat berpuasa Ramadan selama Sembilan kali, iaitu dari tahun ke-2 Hijrah sehingga tahun ke-10 Hijrah. Dalil wajib puasa, firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah 2: 183)
Dalam ayat ini Allah s.w.t. telah mewajibkan puasa ke atas umat ini sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat sebelum mereka. Ini untuk menunjukkan bahawa ibadat puasa itu sesuatu yang mampu dilakukan oleh manusia biasa dan ianya telah difardukan kepada umat yang terdahulu.
Dua Peringkat Pensyariatan Puasa
Memandangkan ibadat puasa merupakan suatu perkara yang besar kerana ia sesuatu yang bercanggah dengan naluri manusia yang suka makan dan minum, Allah s.w.t. telah menjadikan pensyariatannya secara dua peringkat. Ini supaya manusia tidak terlalu terkejut menerimanya.
Peringkat pertama: Seseorang itu tidak kira sihat atau sakit, diberi pilihan sama ada hendak berpuasa pada hari-hari yang telah ditentukan bilangannya atau membayar fidyah dengan memberi makan seorang miskin bagi setiap hari yang diwajibkan puasa itu. Sebagaimana ayat berikut: “Kewajipan berpuasa itu” turut terdapat dalam beberapa hari yang tertentu. “Maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang tidak mahu menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu) memberi makan seorang miskin. Sesiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah 2: 184)
Peringkat kedua: Wajib berpuasa bagi orang yang mampu dan boleh mengqada’nya bagi orang yang sakit dan musafir. Pilihan pertama tadi telah dimansuhkan hukumnya kecuali golongan yang tidak mampu berpuasa seperti orang yang terlalu tua atau berpenyakit berat yang tiada harapan sembuh lagi, maka mereka boleh membayar fidyah. Sebagaimana ayat berikut:
“Beberapa hari yang ditentukan itu ialah bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil).
Kerana itu, sesiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan sesiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk- Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah 2:185).
Telah disebut dalam Sahih al-Bukhari, daripada Salamah bin al-Akwa’ r.a., tatkala turun ayat yang memberi pilihan tadi (ayat 184), sesiapa yang mahu berpuasa melakukannya, sesiapa yang hanya mahu membayar fidyah juga begitu, sehinggalah turun (ayat 185) yang berikutnya, tiada lagi pilihan untuk yang sengaja meninggalkan puasa.
Ummul Mukminin Aisyah r.ha. meriwayatkan, pada awalnya orang ramai hanya berpuasa pada hari Asyura yang diwajibkan, kemudian apabila turun ayat wajib puasa Ramadan ini, puasa Asyura hanya menjadi puasa sunat.
Inilah manhaj yang berhikmah dalam perundangan Islam, begitu juga dalam fardu solat dan pengharaman arak, ianya juga dijalankan secara berperingkat. Syariat Islam dibina atas manhaj memberi kemudahan bukan kepayahan.
Peringkat “ilzami” atau kewajipan yang tiada pilihan juga datang secara dua peringkat; pada awalnya terlalu keras atau “syadid” kemudian diubah kepada yang lebih lembut dan ringan.
Dalam puasa juga terdapat contoh ini; pada peringkat pertama mereka hanya dibenarkan makan, minum dan bergaul dengan isteri sehingga waktu Isyak sahaja ataupun jika mereka tertidur sebelumnya, iaitu yang mana satu lebih awal, maka ia telah dikira habis waktu berbukanya.
Seorang sahabat yang bernama Qais bin Sirmah al-Ansari r.a. telah berpuasa pada suatu hari dan setelah tiba waktu berbuka, beliau balik ke rumahnya dan bertanya kepada isterinya, apa yang ada untuk dimakan. Isterinya menjawab tiada makanan lagi, tetapi beliau (si isteri) akan keluar untuk mencari makanan untuk suaminya.
Qais yang telah bekerja seharian sangat kepenatan, dalam menunggu kepulangan isterinya beliau tertidur. Apabila isterinya pulang, beliau terkejut dan berasa sangat kasihan terhadap Qais yang terpaksa meneruskan puasanya sehingga keesokan harinya. Pada tengah hari esoknya Qais yang kelaparan dan keletihan telah jatuh pengsan. Peristiwa ini telah diadukan kepada Rasulullah s.a.w.
Kisah lain pula, seorang sahabat telah melakukan hubungan dengan isterinya setelah mereka terjaga dari tidur pada suatu malam.
Peristiwa ini sangat menyusahkan hati mereka lalu pergi mengadu kepada Rasulullah s.a.w. Setelah itu turunlah ayat al-Quran yang mensyariatkan peringkat ketiga puasa, iaitu peringkat keringanan. Firman Allah s.w.t.:
“Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan puasa bercampur dengan isteri-isteri kamu; mereka adalah pakaian bagimu, dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan nafsumu, kerana itu Allah mengampuni kamu dan memberi maaf kepadamu.
Maka sekarang campurilah mereka dan ikutilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu, dan makan dan minumlah sehingga jelas bagimu benang putih dari benang hitam, iaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga (tiba waktu) malam, (tetapi) janganlah kamu campuri mereka itu, sedang kamu beriktikaf dalam masjid. Itulah larangan Allah, maka janganlah kamu mendekatinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat- Nya kepada manusia, supaya mereka bertakwa.” (Surah al-Baqarah 2:187)
Apabila turun ayat ini, umat Islam pada waktu itu amat bergembira dengan kurniaan Allah s.w.t. yang telah membenarkan mereka untuk berbuka puasa sepanjang malam sehingga terbit fajar keesokan harinya. Inilah rahmat, keringanan dan keprihatinan Allah s.w.t. terhadap hamba-Nya yang lemah. Allah s.w.t. juga telah mengampunkan segalakesilapan dan keterlanjuran yang telah lepas.
Ayat 185 di atas adalah salah satu ayat yang Allah s.w.t. menyebut tentang keringanan syariat-Nya iaitu “Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.”
Keringanan dalam Puasa Ramadan
Puasa Ramadan adalah salah satu rukun Islam yang terbesar, yang sangat jelas padanya keindahan Islam. Allah s.w.t. tidak mewajibkan puasa ini kecuali hanya sebulan dalam setahun, beberapa hari yang ditentukan sahaja, tidaklah terlalu banyak sehingga menyusahkan manusia atau memberi mudarat yang keterlaluan dengan menahan mereka dari melakukan perkara yang mereka sukai sepanjang hari.
Hari-hari yang ditentukan itu ialah selama 29 atau 30 hari. Jumlah itu sangat diambil perhatian dalam Syariat, tidak boleh menambah atau mengurangkannya walaupun satu hari. Ini untuk menjaga kesucian bulan ini, berbeza dengan umat-umat yang terdahulu, mereka telah menambahkan bilangan hari puasa sebelum dan selepasnya.
Penambahan tersebut telah menyebabkan hilangnya kehormatan bulan puasa pada mereka.
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:
“Jangan kamu mendahului puasa Ramadan dengan puasa lain sehari atau dua hari sebelumnya (bersambung) kecuali bagi orang yang memang selalu berpuasa sunat.” (Muttafaq alaih)
Kelonggaran dalam berpuasa juga diberikan kepada orang yang bermusafir atau sakit, sehingga tidak terhimpun di atas seseorang itu kesusahan dan kesakitan (masyaqqah).
Ini kerana musafir menjadi punca kepada masyaqqah, walaupun dengan teknologi moden hari ini yang serba canggih dan maju, tetapi seseorang yang bermusafir masih tetap mengalami kepenatan dan kesusahan. Maka syariat telah memberi kelonggaran untuk mereka berbuka dan menggantikannya semula apabila mereka telah kembali ke tempat asal atau di mana sahaja.
Begitu juga bagi orang sakit, sesiapa yang merasa susah oleh kerana kesakitannya, mereka boleh berbuka puasa dan menggantikannya apabila sembuh. Adapun orang yang sakit berterusan (tiada harapan sembuh lagi), kewajipan berpuasa gugur daripada mereka dengan wajib membayar fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkan dengan secupak beras (600 gram) kepada fakir miskin dan tidak perlu diqada’ lagi. Hukum ini sama untuk orang yang terlalu tua dan lemah.
Selain itu, Ibu mengandung atau yang menyusu anak juga diberi rukhsah, sekiranya dia takut memudaratkan dirinya atau anaknya, harus bagi mereka berbuka puasa dan mengqada’nya pada hari yang lain.
Terserlah lagi keringanan dalam ibadat puasa, iaitu bagi orang-orang yang terlupa bahawa dia berpuasa lalu makan atau minum. Dalam keadaan itu Allah memaafkannya, bahkan mereka boleh meneruskan puasanya seperti biasa.
Sabda Rasulullah s.a.w: ”Sesiapa yang terlupa bahawa dia berpuasa lalu dia makan atau minum, maka dia hendaklah menyempurnakan puasanya pada hari tersebut. Sesungguhnya Allah s.w.t. telah memberinya rezeki makan dan minum itu.” (Muttafaqun alaih)
Antara ciri-ciri keringanan dalam puasa juga ialah suami-isteri dibenarkan bergaul seperti biasa pada malam bulan Ramadan dan mereka dibenarkan melewatkan mandi hadas sehingga masuk waktu Subuh dan meneruskan puasa seperti biasa.
Aisyah r.ha. meriwayatkan, seorang lelaki datang bertanya kepada Rasulullah s.a.w. sedangkan waktu itu telah masuk waktu Subuh. Dia yang masih dalam keadaan berjunub bertanya, apakah dia boleh terus berpuasa?
Sabda Rasulullah s.a.w.: “Saya sendiri pun pernah, telah masuk waktu Subuh, sedangkan saya dalam keadaan berjunub, saya terus berpuasa.”
Lelaki itu menjawab lagi: “Kami bukan seperti tuan, ya Rasulullah, tuan telah diampunkan dosa yang telah lepas dan yang akan datang.”
Sabda Rasulullah s.a.w.: “Demi Allah, saya mengharapkan sayalah orang yang paling takut kepada Allah, dan saya jugalah yang mengetahui apa yang patut saya takuti.” (Riwayat Muslim)
Terdapat banyak lagi keindahan dalam ibadat puasa yang menunjukkan kepada keringanan dan kemudahan agama ini terhadap umatnya, bahkan terlalu banyak untuk disebut kesemuanya dalam makalah ini. Wallahua’lam. ¤
Oleh Dr. Abd. Basit Abd. Rahman
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 10
Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani)
Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, dikenali juga sebagai Abu Anas Madani. Beliau adalah pendakwah yang tidak asing lagi di kalangan pencinta ilmu agama. Menjawat jawatan Pensyarah di Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Musyrif (Penyelia) Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan, Panel Penasihat Dakwah, Kerajaan Negeri Kelantan tahun 1428-1429H serta beberapa jawatan lain.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.