Menu

 

A+ A A-

SOLAT HARI RAYA: TERLEWAT BERTAKBIR BERSAMA IMAM

Tertinggal Takbir

APA yang perlu dilakukan oleh seseorang yang terlewat untuk melakukan solat hari raya dan mendapati imam sudah melakukan takbir beberapa kali?

Jawapan:

Melafazkan takbir ketika solat hari raya hukumnya sunat hai’ah. Tidak perlu sujud sahwi sekiranya meninggalkannya secara sengaja ataupun tidak. Namun begitu, jika ditinggalkan semuanya atau sebahagiannya, hukumnya makruh. Takbir ini diucapkan selepas doa iftitah dan sebelum isti’azah sebanyak tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat kedua tidak termasuk takbiratulihram dan takbir rukuk.

Nabi bersabda yang bermaksud: “Takbir pada solat Hari Raya Aidilfitri sebanyak tujuh kali pada rakaat pertama, lima kali pada rakaat kedua. Dan dibaca surah al-Fatihah selepas kedua-duanya.” (Riwayat Abu Daud)

Jika diucap melebihi bilangan tersebut, hukumnya makruh sebagaimana yang terdapat dalam al-Majmu‘ yang dinukilkan daripada al-Umm. Bagi orang yang terlewat dan mendapati imam sudah melakukan takbir beberapa kali, maka dia hendaklah bertakbir mengikut imam bagi takbir yang berbaki. Dia tidak perlu mencukupkan bilangan takbir untuk dirinya. Ini berdasarkan hadis Nabi yang bermaksud: “Imam dijadikan untuk diikuti.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

solat-hari-raya-terlewat-bertakbir-1

Begitu juga keadaannya jika imam bertakbir tidak mencukupi bilangan takbir tersebut seperti imam terlupa, makmum hendaklah mengikut imam dan hanya perlu melafazkan takbir sebanyak bilangan tersebut atau sebanyak mana yang sempat bertakbir bersama imam.

Demikian juga dilakukan apabila mengikut imam yang berbeza mazhab. Bagi mazhab Maliki, mereka mengatakan bahawa takbir sebanyak enam kali pada setiap rakaat, begitu juga Imam al-Muzani dan Abu Thaur daripada mazhab Syafi‘i. Manakala bagi mazhab Hanafi, bilangannya tiga kali pada setiap rakaat.

Bagi imam yang meninggalkan takbir pada solat hari raya, maka makmum hendaklah meninggalkannya juga.

Solat Hari Raya di Padang

Ada yang mendakwa bahawa solat sunat hari raya sebenarnya sunat dilakukan di padang bukan di masjid. Adakah dakwaan ini benar?

Jawapan:

Solat hari raya boleh dilakukan di semua tempat yang bersih sama ada di masjid, kawasan lapang atau di padang. Yang sunnahnya ialah solat di padang atau kawasan yang luas sebagaimana perbuatan Nabi berdasarkan hadis daripada Abu Said yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.

Tidak mengapa bagi imam yang solat di padang berada di belakang orang yang solat di masjid yang mana mereka terdiri daripada orang yang lemah yang tidak mampu untuk keluar ke padang. Dalam masalah ini, tidak ada perbezaan pendapat ulama melainkan ulama Syafi‘i mengkhususkan kelebihan solat di padang sekiranya masjid itu sempit.

solat-hari-raya-terlewat-bertakbir-2

Ulama mazhab Syafi‘i mengharuskan solat di padang dan solat di masjid. Sekiranya berada di Makkah, maka solat di Masjidilharam adalah lebih afdal tanpa ada perbezaan pendapat ulama. Sekiranya melakukan solat di tempat selainnya, terdapat beberapa kemungkinan.

Bagi Syeikh Zakaria al-Ansari, beliau berpendapat bahawa solat di Masjidil Aqsa adalah lebih baik kerana:

a Sebagai mengikuti perlakuan ulama salaf dan khalaf.

b Kemuliaan kedua-duanya.

c Senang menghadiri kedua-duanya.

d Keluasan kedua-duanya.

Bagi orang yang menghadapi kesukaran untuk solat di padang seperti hujan, sejuk, salji, takut dan sebagainya, maka solat di masjid adalah lebih afdal. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dengan berkata: “Kami ditimpa hujan pada hari raya. Lalu kami solat bersama Rasulullah di masjid. Begitu juga Saidina Umar dan Uthman, mereka juga solat di masjid ketika hujan.” (Riwayat Abu Daud)

Namun begitu, sekiranya tidak menghadapi halangan dan masjid pula sempit, maka solat di padang adalah lebih afdal. Sekiranya masjid itu luas dan tidak ada keuzuran, ada dua pendapat:

1. Pendapat yang lebih sahih sebagaimana yang dinukilkan dalam al-Umm dan begitu juga yang diputuskan oleh Imam al-Nawawi, jumhur ulama Iraq, al-Baghawi dan selainnya mengatakan bahawa solat di masjid adalah lebih afdal.

2. Pendapat yang disahihkan oleh sekumpulan ulama Khurasan dengan mengatakan solat di padang adalah lebih afdal kerana Nabi sentiasa melakukan solat hari raya di padang pasir.

Ulama pertama menjawab dakwaan ulama kedua dengan mengatakan bahawa Masjid Nabi pada ketika itu adalah sempit bagi menampung jemaah yang ramai sehingga ke luar masjid. Oleh itu, pendapat yang lebih rajih (tepat) ialah solat di masjid adalah lebih afdal.

Bagi orang yang meninggalkan masjid yang luas untuk solat hari raya di padang, maka hukumnya khilaf al-Awla (menyalahi yang lebih utama) tetapi tidak makruh. Namun, bagi orang yang solat di masjid yang sempit tanpa keuzuran, hukumnya adalah makruh.

Imam al-Nawawi menukilkan kata-kata Imam al-Syafi‘i: “Sekiranya masjid itu luas, kemudian mereka solat di padang, maka itu tidak mengapa. Namun, jika masjid itu sempit, kemudian mereka solat di dalamnya dan tidak keluar ke padang, hukumnya makruh.

“Ini kerana, apabila mereka tidak solat di masjid dan solat di padang, tidak ada lagi kemudaratan bagi mereka. Apabila mereka tidak solat di padang dan mereka solat di masjid yang sempit, ini akan menyukarkan mereka kerana jemaah yang ramai. Kemungkinan sebahagian mereka luput solat hari raya.”

Ustaz Fuad Ismail
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Fuad Ismail

Sarjana Muda Syariah di Universiti Al-Bayt, Jordan. Berpengalaman dalam bidang penulisan buku-buku agama dan bahasa Arab untuk sekolah rendah agama (SRA), KAFA, j-QAF dan untuk sekolah menengah. Kini menjawat jawatan sebagai Editor di Telaga Biru Sdn. Bhd.

Kembali ke atas