Menu

 

A+ A A-

DENGAN ILMU, IBADAH KORBAN LEBIH BERMAKNA

Jangan Potong Kuku dan Rambut

Soalan: Saya berniat untuk melaksanakan ibadah korban pada hari raya Aidiladha nanti. Adakah terdapat amalan-amalan sunnah yang boleh saya lakukan sebelum melakukannya?

Tahniah saya ucapkan kepada anda yang berniat menghidupkan syiar Islam. Bukan sekadar itu, bahkan anda berniat untuk melaksanakannya bersesuaian dengan sunnah Nabi s.a.w. Ini merupakan tanda ketakwaan diri yang patut disyukuri.

Bagi orang yang telah menetapkan niat untuk berkorban pada Hari Raya Haji (10 Zulhijah), maka disunatkan baginya agar tidak memotong kuku, mencukur rambut dan bulu-bulu yang terdapat di tubuhnya. Hal ini bermula sejak masuk hari pertama bulan Zulhijah hingga haiwan korbannya disembelih.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menyaksikan bulan Zulhijah dan berniat untuk melaksanakan ibadah korban, maka janganlah memotong rambut dan kukunya.” (Riwayat Muslim)

Menurut para ulama, larangan ini sunat hukumnya, bukan wajib. Ertinya jika dilakukan, ibadah korban menjadi lebih sempurna. Jika tidak dapat dilakukan, maka ibadah korban tetap sah.

Berkorban dengan Ayam

Soalan: Saya teringin sangat untuk melakukan ibadah korban. Namun apakan daya, saya tidak mampu membeli seekor kambing apalagi lembu. Kalau ayam seekor dua, saya mampu. Bagaimana kalau saya menyembelih seekor ayam dengan niat korban?

Dukacitanya ayam tidak sah untuk dijadikan haiwan korban. Para ulama sepakat bahawa ibadah korban hanya sah dengan kambing, unta, kerbau ataupun lembu. Adapun yang selainnya seperti ayam dan ikan, tidak sah.

Walau bagaimanapun, mudah-mudahan Allah memberikan pahala atas niat baik saudara. Niat untuk melakukan ibadah insya-Allah ditulis sebagai pahala sedekah.

Menghimpunkan Niat Korban dan Aqiqah

Soalan: Isteri saya dijangkakan melahirkan anak pada bulan haji tahun ini. Saya memang sudah memperuntukkan duit cukup-cukup untuk membeli seekor kambing. Cuma saya terfikir untuk menggabungkan niat korban dan aqiqah dalam penyembelihan tersebut. Bolehkah saya berbuat demikian? Jika tidak boleh, mana satu yang wajar saya dahulukan?

Saya doakan semoga Allah mempermudahkan proses kelahiran serta memberikan keselamatan buat isteri dan anak tuan. Para ulama berbeza pendapat tentang masalah ini. Bahkan dalam mazhab Syafi‘i sendiri terdapat dua pendapat.

Imam Syihabuddin al-Ramli membolehkan perbuatan menggabungkan dua niat tersebut dalam satu penyembelihan. Menurut beliau, sesiapa yang membeli seekor kambing, lalu ia menyembelihnya dengan niat korban dan aqiqah sekaligus, maka kedua-dua ibadah itu dikira sah. Pendapat ini mirip dengan pendapat sebahagian ulama mazhab Hanbali.

Sementara itu, Imam Ibn Hajar al-Haitami tidak membolehkan gabungan dua niat seperti ini dalam penyembelihan seekor kambing. Menurut beliau, jika seseorang melakukannya juga, maka korban dan aqiqahnya tidak sah kedua-duanya. Penjelasan ini disebutkan dalam kitab-kitab fiqah Syafi‘i mutakhir antaranya Hawasyi al-Syarwani wa al-Ubbani ‘ala Tuhfat al-Muhtaj, dan al-Busyra al-Karim fi Sharh Masail al-Ta‘lim.

Nasihat

Bagi orang yang berkemampuan, sebaik-baiknya ia tidak menghimpun kedua-dua niat ini. Sepatutnya dia membeli seekor kambing untuk korban dan seekor (atau dua ekor jika anak itu lelaki) lagi untuk aqiqah.

Mudah-mudahan kedua-dua ibadahnya itu sah secara kesepakatan ulama. Jika ia mesti memilih antara korban dan aqiqah, maka sebaik-baiknya ibadah korban didahulukan kerana dalil perintahnya lebih kuat. Manakala untuk orang yang tidak berkemampuan, saya rasa tidak ada salahnya untuk mengambil fatwa Imam al-Ramli untuk dilaksanakan.

Lembu Seekor, Niat Lain-Lain

Soalan: Enam orang teman saya berpakat untuk membeli seekor lembu sebagai sembelihan korban nanti. Mereka mengajak saya untuk ikut serta. Jadi saya ingin mengambil bahagian dalam pembelian lembu ini tetapi dengan niat untuk aqiqah anak saya, bukan untuk korban. Bolehkah percampuran niat dalam seekor haiwan sembelihan?

Boleh. Perbezaan niat dalam perkongsian seekor lembu tidak merosakkan kesahan ibadah yang diniatkan. Imam al-Nawawi dalam Majmu‘ berkata: “Boleh tujuh orang berkongsi seekor unta atau lembu untuk ibadah korban, sama ada mereka berasal daripada satu keluarga ataupun berlainan ataupun sebahagian mereka hanya menginginkan daging (bukan niat ibadah), maka sah untuk orang yang berniat ibadah, sama ada korban itu wajib ataupun sunat.”

Menurut beliau lagi: “Ini ialah pendapat Ahmad, Daud dan jumhur ulama. Hanya Daud seorang yang membolehkannya bagi korban sunat sahaja, tidak boleh untuk korban wajib. Begitu juga pendapat sebahagian ulama mazhab Maliki.”

Korban di Luar Negara

Soalan: Sekarang ini kita dapati banyak tawaran program korban dan aqiqah di luar negara atas dasar membantu masyarakat Islam yang lebih memerlukan di sana. Apa pandangan ustaz?

Melakukan korban ataupun aqiqah di luar negara adalah dibolehkan. Namun begitu, saya sangat berharap perkara ini tidak menjadi trend yang meluas sehingga dapat menjejaskan ibadah korban di negeri kita sendiri. Ibadah korban ialah sebuah syiar Islam yang mesti dihidupkan di setiap negeri.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan telah kami jadikan untuk kamu albudna (yakni unta-unta yang dikorbankan) itu sebahagian daripada syiar-syiar Allah.” (Surah al-Hajj: 36)

Jika terlalu ramai orang yang berkorban di luar negara sehingga menjejaskan syiar ibadah ini di dalam negeri, maka fenomena seperti ini tentu sahaja tidak sihat.

dgn-ilmu-ibadah-korban-lebih-bermakna-1

Korban untuk Arwah

Soalan: Bolehkah kita melakukan ibadah korban untuk orang yang telah meninggal dunia? Jika boleh, saya ingin lakukan untuk arwah ibu saya.

Semoga Allah menerima ibadah korban anda sekali gus mencatat anda bersama anak-anak yang berbakti kepada ibu bapa. Ulama berbeza pandangan dalam isu ini. Para ulama mazhab Syafi‘i tidak membolehkan ibadah korban untuk orang yang sudah meninggal dunia tanpa wasiat daripadanya. Jika dilakukan, maka ibadah korban itu tidak sah.

Jika orang yang meninggal dunia itu pernah berwasiat agar dibuatkan korban untuknya, maka boleh dilakukan. Namun daging korban itu wajib disedekahkan keseluruhannya kepada fakir miskin. Pelaksana korban itu tidak boleh mengambil sedikitpun daripadanya.

Bagaimanapun, mazhab Hanafi dan Hanbali membolehkan ibadah korban yang pahalanya diniatkan untuk arwah biarpun tidak ada wasiat. Mazhab Maliki juga membolehkannya namun menghukumnya makruh dan pahalanya tetap sampai kepada arwah insya-Allah.

Korban untuk Nabi

Soalan: Sewaktu saya menjadi jawatankuasa korban di masjid kampung saya tahun lepas, seseorang datang untuk menempah kambing korban. Terkejut saya apabila ia katakana bahawa korban itu bukan diniatkan untuknya, akan tetapi untuk Baginda Nabi. Bolehkah seseorang melakukan korban dengan niat pahalanya ditujukan kepada Nabi?

Dalam mazhab Syafi‘i tentu sahaja perkara ini tidak diperbolehkan sebagaimana pendapat mereka berkenaan korban untuk arwah tanpa wasiat. Ada hadis riwayat al-Tirmizi yang merakamkan bahawa Ali bin Abi Talib selalu melakukan korban untuk Nabi. Namun sanad hadis tersebut tidak sahih. Tambahan pula, riwayat itu sendiri menyebutkan bahawa Ali melakukannya atas wasiat daripada Nabi. Maka bagi orang yang tidak menerima wasiat, tidak ada dalil untuknya.

Menurut saya, perkara ini seelok-eloknya dihindari. Berusahalah agar melaksanakan ibadah sesuai dengan sunnah Nabi dan seperti cara-cara yang diajarkan oleh para ulama. Semoga dengan begitu, amalan kita diterima oleh Allah.

Nazar untuk Berkorban

Soalan: Saya pernah bernazar bahawa jika Allah menyembuhkan sakit saya, maka saya akan melakukan ibadah korban. Alhamdulillah, Allah benar-benar menyembuhkan sakit tersebut. Jadi tahun ini saya berniat untuk menunaikan nazar tersebut. Bolehkah saya mengambil sebahagian daripada daging korban itu untuk saya makan bersama keluarga?

Saya telah jelaskan sebelum ini bahawa ibadah korban hukumnya sunat muakkad. Namun apabila ia diniat sebagai nazar, maka hukum ibadah korban itu telah menjadi wajib. Daging korban wajib berbeza dengan korban sunat. Dalam ibadah korban wajib, kesemua bahagian haiwan itu mesti disedekahkan kepada fakir miskin. Orang yang bernazar diharamkan mengambil atau memakan sedikitpun daripadanya.

Wajib Menyaksikan Penyembelihan?

Soalan: Saya berniat untuk melakukan korban pada tahun ini. Masalahnya saya takut melihat darah. Ada orang kata, orang yang berkorban wajib melihat penyembelihan haiwan korbannya. Bagaimana dengan masalah saya ustaz?

Tidak wajib hadir dalam proses penyembelihan haiwan korban. Sunat sahaja. Walau bagaimanapun, beranikanlah diri hadir pada saat penyembelihan tersebut. Ambillah bahagian dalam pelaksanaan ibadah itu. Semoga Allah menerima amalan ibadah kita.

Para ulama menganjurkan apabila kita menyaksikan haiwan itu disembelih, maka kita mengucapkan:

dgn-ilmu-ibadah-korban-lebih-bermakna-2

Bermaksud: “Sesungguhnya solatku, korbanku, hidup dan matiku hanya milik Allah. Tidak ada sekutu baginya. Dengan itulah aku diperintahkan dan aku adalah termasuk orang yang berserah diri.”

Perlu saya ingatkan, bagi siapa yang menghadiri penyembelihan korban, hendaklah ia menjaga adab-adabnya antaranya:

1. Tidak menyakiti haiwan tersebut dengan pukulan ataupun herdikan.

2. Tidak ketawa apabila haiwan itu disembelih. Sebaliknya, tunjukkanlah sikap khusyuk dan tawaduk sepanjang acara penyembelihan tersebut.

Bagaimanapun, jika anda tidak mampu hadir atas sebab tertentu, maka anda diperbolehkan untuk tidak menyaksikan penyembelihan tersebut. Ibadah korban anda insya-Allah tetap sah dan diterima oleh Allah.

Antara Bahagian Lembu atau Seekor Kambing

Soalan: Untuk membeli seekor lembu sebagai korban saya tidak mampu. Namun setakat satu atau dua bahagian lembu, saya mampu. Cuma saya tertanya-tanya, mana yang lebih afdal antara saya membeli satu atau dua bahagian lembu atau seekor kambing terus untuk dibuat korban?

Para ulama meletakkan kaedah: Mana satu pilihan yang lebih banyak dagingnya, maka itulah yang lebih baik dipilih untuk menjadi haiwan korban. Seekor kambing yang sempurna, biasanya mengandungi lebih banyak daging daripada 1/7 bahagian daripada lembu. Ini belum dikira dengan organ-organnya seperti hati, limpa dan jantung.

Atas kaedah itu, ulama berpendapat bahawa berkorban seekor kambing lebih utama daripada menyertai perkongsian dalam seekor lembu. Meskipun begitu, kita mesti sedar bahawa keikhlasan dan ketakwaan yang menentukan nilai ibadah kita. Mana-mana ibadah korban yang benar-benar mengharapkan reda Allah, maka itulah yang lebih bernilai di sisi Allah.

Allah berfirman: “Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredaan) Allah, tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya.” (Surah al-Hajj: 37)

Wajib Sedekahkan kepada Fakir Miskin Walaupun Sedikit

Soalan: Saya bercadang untuk berkorban dua bahagian lembu. Bolehkah keseluruhan daging korban itu nanti kita buat jamuan makan untuk keluarga dan sanak saudara sendiri sahaja? Keluarga saya besar. Jika mereka berkumpul, dua tiga bahagian itu pun tidak cukup.

Anda wajib menyedekahkan sebahagian daripada daging korban itu walaupun sedikit kepada fakir miskin. Sebenarnya dalam ibadah korban, yang lebih utama adalah menyedekahkan semua daging korban kepada fakir miskin kecuali beberapa potong sahaja untuk dimakan dengan niat mendapatkan keberkatan.

Jika tidak pun, dianjurkan agar kita membahagikan daging korban kepada tiga bahagian. Satu bahagian untuk dimakan bersama ahli keluarganya, satu bahagian untuk disedekahkan kepada fakir miskin dan satu bahagian lagi dihadiahkan kepada kaum kerabat dan rakan-rakannya.

Hal ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah kepada orang yang cukup dan orang yang meminta.” (Surah al-Hajj: 36)

dgn-ilmu-ibadah-korban-lebih-bermakna-3

Menjual Kaki dan Kepala Haiwan Korban yang Terbuang

Soalan: Saya sering melihat kaki, kepala, kulit dan beberapa bahagian lain haiwan korban dibuang begitu sahaja. Tiada siapa yang sudi mengambil dan memanfaatkannya. Bukankah ini satu pembaziran? Jadi saya pernah mencadangkan kepada pihak masjid di kawasan saya supaya menjual bahagian-bahagian haiwan korban yang terbuang itu. Hasil jualan itu disedekahkan kepada fakir miskin. Namun seseorang mengatakan bahawa menjual haiwan korban hukumnya haram. Betulkah begitu?

Saya kagum dengan keprihatinan saudara ini. Pembaziran memang perkara yang sangat dibenci oleh Islam meskipun dalam ibadah. Ya. Seseorang yang melakukan ibadah korban memang tidak boleh menjual mana-mana bahagian daripada haiwan korbannya sama ada daging, kulit, kaki atau lain-lain.

Namun begitu, dia boleh memberikan benda-benda ini kepada orang lain sebagai sedekah. Orang yang menerima sedekah itu pula dibolehkan untuk menjualnya kepada orang lain. Dalam kes yang anda sebutkan ini, jawatankuasa korban bukan pelaku ibadah korban. Pelaku ibadah korban ialah orang yang membeli haiwan korban itu. Maka tidak salah jika pelaku korban menyerahkan mana-mana bahagian yang tidak diingini kepada pihak jawatankuasa korban untuk dijual dan disedekahkan hasil jualan tersebut kepada fakir miskin.

Sewaktu saya menuntut di Syria dahulu, terdapat badan-badan kebajikan tertentu yang menerima kulit haiwan korban, lalu menjualnya dan memberikan wang hasil jualan tersebut kepada fakir miskin. Guru saya, Dr. Nuruddin ‘Itr, seorang ulama hadis dan fiqah terkenal di Syria membolehkan tindakan tersebut dan memujinya. Lihat pendapat beliau dalam bukunya yang bertajuk I‘lam al-Anam Sharh Bulugh al-Maram.

Daging Korban Untuk Orang Bukan Islam

Soalan: Saya duduk di sebuah pangsapuri yang berjiranan dengan ramai orang bukan Islam. Pada tahun ini, saya berniat untuk melakukan ibadah korban. Bolehkah saya memberikan sebahagian daripada daging korban saya kepada jiran saya yang bukan Islam?

Dalam mazhab Syafi‘i, daging korban dan aqiqah tidak boleh diberikan kepada orang bukan Islam, sama ada sebagai hadiah ataupun sedekah, sama ada haiwan korban wajib ataupun sunat. Antara hujahnya, korban dan aqiqah ialah ibadah. Suatu ibadah hanya ditujukan untuk manfaat orang Islam sahaja.

Jika anda berpegang kepada mazhab Syafi‘i, maka anda mesti menjelaskan perkara ini baik-baik kepada jiran-jiran bukan Islam anda. Saya pasti mereka memahami dan menghormati sikap anda ini. Namun begitu, sebenarnya ada pendapat alternatif dalam perkara ini. Dalam mazhab Maliki, tindakan memberikan daging korban kepada orang bukan Islam tidak haram, hanya makruh sahaja. Manakala mazhab Hanbali sangat luas dalam perkara ini. Menurut mereka, daging korban boleh diberikan kepada mereka jika ibadah korban itu sunat. Namun jika ia korban wajib seperti nazar misalnya, maka tidak boleh diberikan sedikitpun kepada mereka. Demikian penjelasan Ibn Qudamah dalam kitab al-Mughni.

Wallahu a‘lam.

Ustaz Umar Muhammad Noor

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas