HARTA SUSUT KERANA ZAKAT?
- Ditulis oleh Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
- Kategori Terkini
- Read 6993 times
Kadar Nisab Harta
Berapakah kadar minima wang simpanan yang diwajibkan zakat?
Nilai minima harta yang melayakkan seseorang itu berzakat dikenali sebagai nisab. Islam tidak semata-mata mengenakan zakat ke atas semua harta yang mempunyai sifat boleh dikembangkan secara mutlak walaupun harta tersebut dilihat banyak. Bahkan, Islam meletakkan beberapa syarat kepada harta tersebut iaitu jika ia sampai kepada suatu had yang dinamakan nisab.
Dalam isu melibatkan zakat harta seperti wang simpanan dan seumpamanya yang bukan daripada sumber pertanian ataupun ternakan, nisab zakat adalah didasarkan kepada harga berat 20 mithqal emas atau dalam kiraan metrik terkini sebanyak 85 gram emas semasa. Ini adalah berdasarkan kepada hadis Nabi yang bermaksud: “Tidak diwajibkan bagi kamu sesuatupun ke atas emas sehinggalah kamu memiliki dua puluh dinar. Jika kamu memiliki dua puluh dinar dan ia genap setahun dalam simpananmu, maka wajib ke atasmu zakatnya sebanyak setengah dinar. Adapun yang lebih daripada itu hendaklah ditaksir berdasarkan kiraan yang tersebut dan dikeluarkan zakatnya.” (Riwayat Abu Daud)
20 dinar dalam hadis ini adalah 20 mithqal yang bersamaan dengan nilai 85 gram emas. Harga emas semasa itu pula mungkin berubah-ubah. Contohnya pada hari ini nilai semasa 85g emas ialah sebanyak RM13,113. Maka itulah kadar nisab zakat semasa bagi wang simpanan. (rujuk: www.zakat.com.my).
Justeru sesiapa yang telah memiliki jumlah harta yang sampai ke paras nisab atau lebih, maka diwajibkan baginya untuk mengeluarkan zakat daripada keseluruhan jumlah harta yang dimiliki tersebut dengan kadar sebanyak 1/40 atau 2.5%. Adapun syarat sampingan bagi harta tersebut ialah ia mesti mencukupi haul iaitu genap tempoh setahun berdasarkan kiraan tahun kamariah (kalender Islam) berada dalam pemilikan seseorang.
Harta Habis Kerana Dizakatkan
Saya ada menyimpan wang dan emas yang cukup nisab. Jika pada tahun lepas saya sudah bayar zakat, apakah tahun ini saya wajib juga membayarnya? Kalau begitu, lama-kelamaan habislah semua harta saya nanti! Mohon penjelasan.
Zakat wajib bagi sesiapa sahaja yang memiliki nisab dan genap setahun harta itu berada dalam pemilikannya. Justeru, sekiranya pada tahun haul yang lalu anda telah membayar zakat, maka tatkala genap haul pada tahun ini anda juga wajib membayar zakat jika masih memiliki harta yang cukup nisab.
Zakat diwajibkan pada setiap tahun jika cukup syaratnya. Persoalan mengenai penyusutan nilai dan wang akan kehabisan itu sesuatu perkara yang perlu diusahakan selanjutnya. Jangan putus asa dengan rahmat Allah. Oleh sebab itu, Islam amat menggalakkan agar sesuatu harta itu tidak hanya disimpan dan dibekukan pergerakannya, bahkan ia perlu dilaburkan atau dikembangkan menerusi jalan perniagaan dan seumpamanya.
Hal ini telah diisyaratkan oleh Baginda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang mengurus harta anak yatim, maka berniagalah dengannya. Jangan dibiarkan ia disusutkan oleh zakat.” (Riwayat al-Tirmizi)
Berdasarkan hadis ini, penyimpan harta anak yatim bukan sekadar perlu menjaga amanah harta tersebut tetapi wajib juga mengeluarkan zakat harta itu. Di samping itu, harta itu perlu diusahakan agar berkembang dan tidak hanya susut akibat dizakatkan setiap tahun. Sila bertanya kepada mereka yang pakar dan arif dalam hal berkaitan pelaburan dan simpanan yang efektif.
Zakat untuk Non Muslim
Apakah hukum memberi zakat kepada orang bukan Islam atas tujuan dakwah?
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi hal ehwal ugama Islam Malaysia Kali Ke-79 yang bersidang pada 6-8 September 2007 telah membincangkan hukum memberi zakat kepada orang bukan Islam bagi tujuan dakwah. Muzakarah telah memutuskan bahawa pengagihan zakat perlu diberi keutamaan kepada umat Islam mengikut asnaf-asnaf yang telah ditetapkan. Walau bagaimanapun, pemerintah diharuskan memberi zakat kepada orang bukan Islam berdasarkan siasah dan keperluan secara hikmah bagi tujuan dakwah. (www.e-fatwa.gov.my)
Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7
Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
Lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti Islam Madinah, dan sedang menyambung Ijazah Sarjana (MA) Syariah di Universiti Malaya. Kini sebagai Eksekutif Zakat, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan. Juga sebagai panel slot Durrul Hikmah dan Bicara ad-Deen di radio IKIM.fm, di samping menjadi tetamu jemputan KL.fm, Selamat Pagi Malaysia, Islam Hadari (RTM1), Al-Kuliyyah (TV3) dan pengacara Bicara Mufti (RTM1). Beliau juga sebagai Jurubahasa Arab bagi Kerajaan Negeri Perak di Persidangan Negara-negara Islam Sedunia (OIC) 2003 dan berpengalaman sebagai mutawwif Haji dan Umrah sejak 1998.