HIDUP SEDERHANA LEBIH SELAMAT LEBIH TERHORMAT
- Ditulis oleh Umar Muhammad Noor
- Kategori Terkini
- Read 17216 times
PADA tahun 16 Hijrah, Madain jatuh ke tangan kaum Muslimin. Kota yang dibangunkan dengan begitu mewah oleh Kaisar Anusyirwan dan menjadi tempat kediaman kaisar-kaisar Persia ini berjaya ditundukkan oleh panglima Islam, Sa’ad bin Abi Waqqas.
Berita kemenangan segera dikirimkan kepada Khalifah Umar al-Khattab di Madinah. Pasukan Muslimin bersama penduduk kota Madain mulai bertanya-tanya; siapakah orang yang akan diutus Khalifah Umar untuk menjadi penguasa baru kota kaya-raya ini? Tidak lama kemudian surat daripada Umar tiba, lalu segera dibacakan kepada semua penduduk Madain.
Umar menulis, “Aku telah mengutus Huzaifah bin al-Yaman kepada kamu semua. Tunduk dan patuhlah kepadanya.” Umar menulis surat pelantikan ini tidak seperti biasa. Selalunya beliau menjelaskan dalam surat pelantikan tugas dan misi orang yang bakal menjadi perwakilannya, lalu memerintahkan semua orang untuk patuh kepada orang itu, selama mana dia menjalankan tugasnya dengan baik. Namun kali ini, Umar memerintahkan untuk tunduk dan patuh kepada Huzaifah, tanpa syarat. Tentulah orang ini sangat terhormat, fikir semua penduduk Madain.
Pada hari ketibaan Huzaifah, para pembesar Madain keluar dengan mengenakan pakaian mewah untuk menyambutnya. Kenderaan mereka pula dihias indah. Namun sejak pagi hingga petang menunggu, tiada pun kelihatan kelibat utusan Khalifah Umar dari Madinah itu. Yang muncul cuma seorang lelaki Arab yang menunggang keldai sambil menyimpang kaki dan memakan roti kering, meminta izin untuk masuk ke Madain. Mereka membiarkan dia berlalu, dan mereka terus menunggu.
Setelah letih menunggu, mereka bertanya kepada seorang Muslim yang mereka temui, “Di mana Amir (gabenor) kamu?” Orang itu segera menjawab, “Huzaifah, sejak tadi telah masuk ke Madain.” Kaget bukan main, mereka baru sedar bahawa lelaki Arab “miskin” tadi sebenarnya bakal Amir Madain! Mereka segera berlarian mengejar Huzaifah, lalu meminta
maaf daripadanya.
Menerapkan gaya hidup sederhana tidak menjatuhkan darjat seseorang. Huzaifah tetap seorang Amir dan Penguasa Madain, meskipun hanya berpakaian seadanya. Kehormatan seseorang bukan terletak pada penampilan dirinya semata-mata, akan tetapi dalam prestasi kerja yang dicapainya. Penduduk Madain mendapat pelajaran berharga itu daripada bakal penguasa mereka, Huzaifah bin al-Yaman, yang pada awalnya mereka pandang sebagai seorang lelaki hina, hanya kerana penampilan zahirnya.
“Untuk kamu (orang Mukmin) adalah di akhirat...”
Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibn Abi Laila: “Ketika Huzaifah tiba di Madain, ia meminta minum. Seorang pembesar kota itu (disebut dengan gelar ‘dihqan’) segera memberinya air di dalam sebuah gelas perak. Huzaifah melempar gelas itu ke muka pembesar tersebut dan berkata, ‘Aku melakukan hal itu sebab aku pernah melarangnya, namun ia tetap mengulangi. Sesungguhnya Nabi s.a.w. melarang kami memakai sutera dan minum dari bejana emas dan perak; sabdanya: ‘Semua itu untuk mereka (orang kafir) di dunia, dan untuk kamu (orang Mukmin) adalah di akhirat.’”
Justeru, ulama sepakat mengharamkan emas dan perak sebagai peralatan makan, minum, bersuci dan lain-lain. Imam al-Nawawi berkata dalam Syarh Muslim, “Menjadi ijmak ulama bahawa haram hukumnya menggunakan bejana emas dan perak untuk makan, minum dan bersuci, begitu juga makan dengan sudu yang dibuat daripada salah satu daripada kedua-duanya, beristinjak dengan salah satu daripada kedua-duanya, kencing di dalam tandas yang dibuat daripada kedua-duanya, serta segala macam penggunaan lainnya. Termasuk alat celak mata, kotak penyimpan (barang) dan lain-lain.” Hukum ini disepakati untuk lelaki dan perempuan tanpa beza.
Al-Nawawi juga berkata, “Sebahagian ulama berpendapat haram menghiasi bilik, rumah atau majlis dengan pinggan emas dan perak.” Sebab atau ‘illat pengharaman ini antara lain memperlihatkan gaya hidup mewah (khuyala) dan mematahkan hati fakir miskin. Semua ini menunjukkan bahawa ajaran Islam tidak selari sama sekali dengan gaya hidup bermewah-mewahan.
Hidup sederhana bukan bererti enggan membelanjakan harta sama sekali. Definisi yang paling tepat untuk kesederhanaan adalah “membelanjakan harta bersesuaian dengan keperluan.”
Meskipun penggunaan emas dan perak diharamkan namun ada penggunaan tertentu yang dikecualikan seperti perhiasan wanita dan mengganti bahagian tubuh yang rosak. Abu Daud dan al-Tirmizi meriwayatkan daripada ‘Arfajah bin As’ad berkata, “Pada perang Kullab pada zaman jahiliah, hidungku terluka. Aku lalu membuat hidung daripada perak, namun hidung palsu itu mengeluarkan bau busuk. Rasulullah s.a.w. lalu memerintahkanku membuat hidung daripada emas.”
Sederhana juga berkaitan dengan sikap hidup yang tidak angkuh dengan jawatan. Setinggi mana pun jawatan seseorang, ia tidak sepatutnya menghalang dia daripada melakukan sendiri pekerjaan yang menjadi kewajipannya. Tha’labah bin Abi Malik alQurazi berkata, “Abu Hurairah sering kali pulang dari pasar dengan memikul kayu api untuk keluarganya, padahal pada waktu itu ia (seorang Amir Madinah) menggantikan Marwan bin al-Hakam. Ia berkata (kepada orang di pasar), ‘Berikan laluan untuk amir, berikan laluan untuk amir!’”
Tempat yang semakin hari semakin mereka jauhi…
Falsafah kesederhanaan dalam Islam dibina atas keyakinan bahawa dunia ini tempat persinggahan belaka sebagaimana pesan Rasulullah s.a.w. kepada Abdullah bin Umar, “Jadikanlah (hidupmu) di dunia ibarat seorang tamu atau pengembara yang sedang singgah di tengah perjalanan.” (Riwayat al-Bukhari)
Seseorang yang sedang singgah di suatu tempat tidak akan menghiasi tempat itu dengan perabot, perkakas dan barang-barang mahal, seolah-olah ia akan menetap di tempat itu selama-lamanya. Akan tetapi, mencukupi dengan hidup ala kadar serta membelanjakan wangnya untuk keperluan yang lebih penting, yakni di tempat tujuan. Itulah seharusnya kehidupan Mukmin di dunia ini. Ia harus menjadikan akhirat sebagai tujuan perjalanannya, dan dunia ini sebagai tempat persinggahan yang tidak lama akan ditinggalkan.
Abu Hazim Salamah bin Dinar, seorang ulama tabiin di Madinah, berkata, “Aku hairan melihat orang yang giat berusaha untuk tempat yang semakin hari semakin mereka jauhi (dunia), dan mereka enggan berusaha untuk tempat yang semakin hari semakin mereka dekati (akhirat).” Beliau menambah, gaya hidup mewah akan membuat seseorang takut mati.
Khalifah Umawi Sulaiman bin Abdul Malik bertanya kepadanya, “Wahai Abu Hazim, apa sebabnya kami takut mati?” Ia menjawab, “Sebab kamu semua memakmurkan duniamu dan meruntuhkan akhiratmu. Maka kamu semua takut berpindah dari tempat makmur ke tempat runtuhan.”
Jangan biasakan anak-anak hidup bergelumang dengan kemewahan
Bukan perkara mudah untuk membiasakan hidup bersederhana. Perlu latihan sejak kecil agar dapat menjadikan kesederhanaan sebahagian daripada hidupnya. Oleh sebab itu, Imam al-Ghazali menganjurkan para ibu bapa agar jangan membiasakan anak-anak hidup dengan kenikmatan sejak kecil, sebab hal itu akan membuatnya mencintai kemewahan ketika besar nanti. Dalam Ihya’ Ulum al-Din (jil. 3, hlm. 70), Imam al-Ghazali berkata, “Sesekali anak-anak harus diberikan roti kosong tanpa lauk, agar ia tidak mengira bahawa lauk itu suatu kemestian.
Ia juga harus diberitahu buruknya terlalu banyak makan dengan menyerupakan orang yang banyak makan dengan binatang, atau dengan mencela anak yang banyak makan dan memuji anak yang sopan dan sedikit makan. Ia juga harus diajar makan pelbagai makanan, tidak banyak memilih dan puas dengan makanan yang kasar.”
Seterusnya, kita harus mengawal pergaulannya daripada orang yang hidup mewah dan bercampur dengan orang sederhana. Sebab jiwa manusia sering kali mencuri akhlak daripada temannya tanpa disedari. Al-Hakim meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sedikitkanlah masuk ke (rumah) orang kaya. Sebab hal itu lebih layak agar kamu tidak meremehkan nikmat-nikmat Allah.”
Cara berikutnya ialah membiasakan diri tidak membelanjakan wang kecuali untuk sesuatu yang penting. Menabung untuk masa depan suatu cara hidup terpuji dan selari dengan sunah, sebab Rasulullah s.a.w. biasa menyediakan makanan untuk keluarganya untuk keperluan satu tahun.
Kita juga harus berlatih tidak makan kecuali ketika benar-benar lapar dan berhenti makan sebelum kenyang. Sebab ketika lapar, makanan yang murah pun akan terasa sedap.
Sebagai seorang keluarga raja, Maslamah bin Abdul Malik terkenal sebagai orang yang sangat mewah cara hidupnya. Ia hanya mahu makan makanan yang mahal dan lazat saja. Suatu hari, Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang sangat soleh berniat mendidiknya cara hidup sederhana. Ia mengundang Maslamah ke rumahnya dan menahannya sejak pagi hari hingga petang tanpa memberinya makanan. Setelah Maslamah merasakan lapar yang tidak terkira, Umar lalu menghidangkan makanan murah berupa bubur kacang tanpa ramuan apa-apa. Tanpa fikir panjang, Maslamah menyantapnya dengan lahap.
Setelah kenyang dengan bubur itu, Umar lalu menghidangkan makanan yang mewah dan berkata, “Makanlah.”
Maslamah menjawab, “Saya sudah kenyang dan tidak mampu makan apa-apa lagi.”
Umar lalu berkata, “Mengapa bermewah-mewah dengan makanan yang boleh memasukkanmu ke neraka, padahal makanan murah pun cukup bagimu?”
Sejak itu, Maslamah meninggalkan kebiasaan buruknya bermewah-mewah dengan makanan.
Pertanyaan yang serupa layak kita ajukan kepada diri kita mengapa membeli dua buah kereta jika satu kereta saja sudah cukup? Apalagi jika pembelian ini melibatkan hutang yang mengikat leher kita bertahun-tahun, bahkan mungkin kita akan mati sambil membawa hutang sehingga hutang itu menghalang kita masuk ke syurga? Hidup sederhana lebih selamat dan lebih terhormat. ¤
Umar Muhammad Noor
Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.5
Umar Muhammad Noor
Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.