Menu

 

A+ A A-

BERSAHABAT DENGAN AL-QURAN

SITUASI 1

Malam semakin larut. Insan lain sedang lena rebah merehatkan tubuh di perbaringan. Namun mataku masih bulat memerhatikan butiran perkataan dan gambar-gambar yang terpampang di skrin komputer. Dari pagi aku terperap di bilik tanpa jemu melayari alam maya. Hanya sekadar berhenti untuk solat sebentar, makan dan minum seadanya.

hadisSITUASI 2

Aku mencari maklumat yang diperlukan di Internet. Aku mendisiplinkan diri agar mengehadkan masa untuk melayari Internet. Masa yang ada aku luangkan untuk memperbaiki bacaan al-Quran yang aku rasakan masih terlalu lemah bacaannya. Banyak perkara yang aku perlu pelajari daripada al-Quran.

 

Al-Quran,

Mukjizat dan perutusan agung daripada Allah,

Kalimah Allah yang tiada dusta,

Terkandung segala peraturan dan tuntutan hidup sebagai hamba,

Lengkap untuk dijadikan panduan dan pedoman.

Membacanya merupakan suatu ibadah,

Pengubat hati yang resah dan gundah,

Menjadikan akal tajam dan pintar,

Pemberi syafaat kepada pencintanya yang setia.

Rasulullah menjadikan al-Quran sebagai pendamping,

Kalimahnya terpahat utuh di hati Baginda,

Dirinya sering merindui al-Quran,

Sehingga berpesan kepada umatnya bacalah al-Quran setiap hari.

 

Indahnya bacaanmu,

Sehingga mengalir daripadanya air mata keinsafan,

Dialunkan dengan tenang dan perlahan,

Satu persatu mengisi kamar hati,

Meresap dan membekas di hati Nabi.

Ayuh bersama jadikan al-Quran pakaian peribadi,

Perbaiki bacaannya serta hayati pengajarannya,

Sesungguhnya tiada masa untuk kita leka,

Jika masa kita dipenuhi untuk mengutip khazanahnya.

Siapa Teman Sejati Kalian?

Remaja kini menghadapi ujian yang getir apabila terpaksa bermujahadah dengan nafsu. Nafsu sering mendorong untuk terus santai dan berseronok, sedangkan iman perlu dibaja dengan pengorbanan dan kepayahan. Antara leka menatap dan menghayati isi dan pengajaran al-Quran berbanding leka bersembang dan bertukar-tukar cerita di laman sosial yang mana satukah lebih menjadi pilihan?

Ayuh fikirkan dan renungkan bersama. Tika Nabi s.a.w. junjungan kita menjadikan al-Quran sebagai teman sejati Baginda, bagaimana pula kita dengan al-Quran? Tika Baginda tersedu-sedan menghayati bacaan, bagaimana kita tika mendengar ayat suci al-Quran yang dialunkan? Adakah al-Quran membekas di hati kita?

hadis2

NOORJEHAN BAHARUDIN

Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.10


Noorjehan binti Baharudin

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah Universiti al-Azhar. Mempunyai pengalaman dalam bidang kepimpinan dan perguruan. Pernah terlibat dalam penulisan majalah. Kini berkhidmat sebagai guru di Sekolah Menengah Agama Nurul Iman di Selangor.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

Kembali ke atas