Menu

 

A+ A A-

QADA PUASA ARWAH IBU

Ditulis oleh 

Arwah ibu saya ada meninggalkan puasa Ramadan pada tahun lepas kerana sakit yang dialaminya. Disebabkan penyakitnya itu berterusan, dia tidak sempat mengqada puasa sehingga masuk Ramadan tahun ini. Dalam bulan Ramadan itulah juga dia meninggal dunia. Apa yang patut saya lakukan?

RINGKASNYA: Arwah tidak berkewajiban mengqada puasanya. Ini kerana sakitnya berterusan tanpa ada kesempatan baginya untuk melakukan qada puasa. Maka tidak ada apa-apa tuntutan bagi waris dalam kes ini.

HURAIAN: Prinsipnya, orang musafir dan orang sakit yang meninggalkan puasa pada bulan Ramadan wajib mengqada puasanya sebelum tiba bulan Ramadan pada tahun hadapan.

Jika dia sengaja tidak mengqada puasanya sehingga masuk bulan puasa pada tahun depan, maka dikira berdosa besar. Dia tetap wajib mengqada puasa dan membayar fidyah. Fidyah itu adalah memberi makan kepada seorang miskin pada setiap hari dengan satu cupak makanan ruji yang biasa dimakan oleh penduduk setempat. Satu cupak itu adalah bersamaan dengan lebih kurang 600 gram. Kadar fidyah itu akan berganda dengan berulangnya tahun.

Jika keuzurannya itu berterusan sehingga masuk bulan Ramadan tahun depan, maka dia tidak diwajibkan membayar fidyah, tetapi hanya wajib qada puasanya sahaja. Sekiranya dia mati dan tidak sempat untuk mengqada puasanya, maka dia tidak dikira berdosa kerana bukan kerana kecuaiannya. Warisnya juga tidak dituntut untuk mengqada puasa tersebut

Akan tetapi kalau dia mati dengan tidak mengqada puasanya sedangkan dia mampu berbuat demikian, maka sunat bagi walinya iaitu kaum kerabatnya berpuasa untuknya. Nabi bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang meninggal dunia sedangkan dia ada tertinggal puasa, maka walinya akan berpuasa untuknya.”(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ibn Abbas juga ada merakamkan hadis yang berkaitan: “Seorang lelaki datang menemui Nabi: “Ya Rasulullah, sesungguhnya ibuku mati dan meninggalkan puasa Ramadan. Adakah boleh aku mengqadanya?” Lalu Nabi menjawab: “Ya boleh. Hutang Allah lebih berhak dibayar.”(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

ASYURA

Sebab Puasa Asyura

Benarkah kita disunatkan untuk berpuasa pada hari Asyura kerana bersempena dengan peristiwa laut terbelah pada zaman Nabi Musa?

Umat Islam disunatkan berpuasa pada hari Asyura iaitu pada hari ke-10 bulan Muharam. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abbas: “Rasulullah s.a.w. tiba di Madinah dan mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Maka Rasulullah bertanya: “Apakah hari yang kamu berpuasa padanya ini?”

“Hari ini hari yang besar iaitu hari Allah menyelamatkan Musa dan kaumnya dan menenggelamkan Firaun dan pengikutnya. Maka Nabi Musa berpuasa sebagai tanda bersyukur kepada Allah. Maka kami pun turut berpuasa.”

Lalu Nabi bersabda: “Kami lebih berhak dan utama untuk mengikuti Nabi Musa daripada kamu. Maka Nabi s.a.w. berpuasa pada hari Asyura dan menyuruh supaya berpuasa (pada hari itu).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Abi Qatadah: “Nabi ditanya tentang puasa pada hari Asyura lalu Baginda menjawab: “Ia boleh menghapuskan dosa pada tahun yang lepas.” (Riwayat Muslim)Oleh yang demikian, adalah digalakkan bagi kita supaya berpuasa pada hari Asyura sebagai mengingati hari Allah menyelamatkan Nabi Musa daripada Firaun dan tenteranya.

Begitu juga kerana fadilatnya yang amat besar di sisi Allah. Tidak lupa juga, banyakkan berdoa pada hari tersebut.

Puasa Hari ke-9

Bagaimana pula dengan puasa pada hari sebelumnya iaitu hari ke-9 Muharam? Apa pula cerita di sebalik itu?

Pensyariatan berpuasa pada hari ke-9 Muharam atau dipanggil hari Tasu‘a telah terakam dalam sabda Nabi yang bermaksud: “Kalau aku masih hidup pada tahun yang berikutnya, nescaya aku akan berpuasa juga pada hari ke-9.” (Riwayat Muslim)

Namun Rasulullah tidak berkesempatan untuk berpuasa pada hari tersebut kerana Baginda telah wafat.

Menurut para ulama, ada beberapa hikmah berpuasa pada hari ke-9 dan ke-10 Muharam antaranya:

  1. Sebagai langkah berjaga-jaga daripada kemungkinan berlaku kesalahan dalam menentukan awal bulan Muharam.
  2. Dapat membezakan daripada amalan orang Yahudi yang berpuasa pada hari Asyura sahaja. Atas asas ini, sekiranya kita tidak dapat berpuasa pada hari ke-9 bersama hari ke-10, maka kita boleh berpuasa pada hari yang ke-11.

Wallahu a‘lam.

PUASA

 

Ustaz Mohammad Nor Mohammad Endut

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09

 


 

 

 

Read 9945 times
Mohammad Nor Mohammad Endut

Sarjana Muda Syariah, Universiti al-Azhar. Sarjana Pengajian Islam, American Open Universiti, Mesir. Sedang menyambung pengajian di peringkat PhD di UIAM. Berguru secara langsung dengan beberapa ulama besar antaranya Syeikh ‘Atiyyah Saqr, Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya‘rawi, Syeikh Ali Juma‘ah. Kini editor syariah di Telaga Biru Sdn. Bhd.

Terkini daripada Mohammad Nor Mohammad Endut