HUKUM PERAYAAN BUKAN ISLAM
- Ditulis oleh Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir
- Kategori Terkini
- Read 10288 times
HUKUM PERAYAAN BUKAN ISLAM
Ada orang mengatakan bahawa sambutan perayaan sesuatu kaum itu bukannya agama tetapi adat semata-mata. Maka tidak salah kita turut meraikannya. Tambahan pula dalam situasi masyarakat majmuk di Malaysia ini. Apa pandangan ustaz?
Islam datang dengan tujuan menghapuskan syirik dan mentauhidkan Allah dengan sebenar-benarnya. Oleh sebab itu, antara aspek yang diberi perhatian ialah aspek sambutan perayaan agama bukan Islam.
Pada dasarnya, mana-mana perayaan keagamaan bertitik-tolak daripada agama dan kepercayaan tertentu. Kepercayaan agama itu akhirnya mewujudkan perayaan agama. Maka perayaan agama ialah kemuncak ibadah dalam sesuatu agama. Perayaan Deepavali ialah kemuncak dalam kepercayaan agama Hindu. Begitu juga perayaan Thaipusam. Manakala perayaan Krismas pula merupakan kemuncak dalam kepercayaan agama Kristian.
Kesimpulannya, perayaan agama mempunyai kaitan yang rapat dengan agama dan kepercayaan. Maka setiap perayaan mempunyai unsur agama dan amalan agama.
Tumpang Gembira Sahaja
Ada juga orang kata: “Apa yang salahnya kita menumpang gembira dengan kedatangan hari raya orang bukan Islam, lalu kita mengucapkan tahniah kepada mereka. Yang penting kita tidak berpegang kepada agama tersebut. Mereka sering mengucapkan selamat hari raya kepada kita setiap tahun. Kita pula tidak membalasnya. Rasa agak kurang sopan.” Apa pula pandangan ustaz?
Al-Quran menjelaskan bahawa merestui aqidah yang bertentangan dengan Islam adalah tidak dibenarkan. Walaupun antara dasar Islam adalah tiada paksaan dalam agama, namun Islam menafikan sikap reda terhadap kekufuran. Ini jelas dalam firman Allah, mafhumnya: “Jika kamu semua kufur, Allah itu kaya (tidak memerlukan) daripada kamu semua. Dan Allah tidak reda kekufuran bagi hamba-hambaNya.” (Surah al-Zumar: 7)
Walaupun kekufuran itu berlaku, namun Allah menyatakan bahawa Allah tidak reda dengan kekufuran. Maka kita juga tidak seharusnya reda dengan perkara kufur. Lawan bagi keredaan ini adalah dengan ingkar dalam hati.
Terdapat sebuah hadis yang menjelaskan tentang peringkat untuk mengubah perkara maksiat dan mungkar. Peringkat paling akhir ialah keingkaran dalam hati. Keingkaran dalam hati merupakan petanda iman walaupun ia disebut sebagai iman yang paling lemah. Namun sikap tidak reda terhadap maksiat merupakan asas kepada kewujudan iman.
Berasaskan kepada ayat ini, maka para ulama menetapkan satu kaedah penting dalam aspek iman iaitu“ar-Redha bil Kufri Kufrun”(Reda dengan perkara kufur adalah kufur).
Kaedah ini menjelaskan prinsip untuk ingkar dengan hati terhadap perkara kufur. Maka perkara kufur yang disetujui dan diredai akan membawa tuannya kepada kekufuran walaupun pelakunya tidak beriktikad sedemikian rupa.
Oleh sebab itu, sambutan perayaan agama bukan Islam hendaklah diperhalusi dan ditangani dengan baik. Kebebasan agama dalam Islam dan perlembagaan negara bukanlah tiket untuk kita umat Islam bergembira dan reda dengan mana-mana kepercayaan. Dikhuatiri kegembiraan ini akan membawa kepada sikap reda. Sikap reda akan membawa kepada kekufuran. Kekufuran itu dosa yang paling besar.
Apabila difahami bahawa sesuatu perayaan agama itu berasaskan kepercayaan, aqidah dan agama, maka ia merupakan suatu amalan agama. Oleh kerana kepercayaan sesuatu agama itu bertentangan dengan aqidah tauhid yang dibawa oleh Islam, maka perayaan agama itu juga bertentangan dengan Islam.
Panduan
Mohon ustaz jelaskan sikap dan tindakan yang sepatutnya kita lakukan dalam menghadapi situasi sebegini?
Terlebih dahulu saya bawakan sebuah hadis. Ketika Nabi tiba di Madinah, Baginda mendapati ada dua hari yang dirayakan oleh penduduk Madinah dan para sahabat Ansar. Para sahabat menjelaskan bahawa kedua-dua hari tersebut telah dirayakan sejak zaman sebelum mereka menganut Islam lagi. Lalu Nabi pun bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari tersebut dengan perayaan yang lebih baik iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” (Riwayat Abu Dawud)
Selepas itu, para sahabat terus meninggalkan perayaan tersebut. Ini menggambarkan bahawa penggantian tersebut merupakan perkara yang besar kerana perayaan agama bukan Islam mempunyai kaitan dengan aqidah dan iman.
Oleh sebab itu, tidak seharusnya dan tidak sewajarnya bagi individu Muslim untuk menyambut perayaan agama bukan Islam. Sikap bantu-membantu dalam menjayakan sambutan perayaan agama bukan Islam juga sewajarnya dielakkan. Ini termasuklah dengan tindakan memberi derma untuk majlis tersebut.
Begitu juga elakkan daripada mengucapkan kegembiraan sempena sambutan perayaan bukan Islam. Dibimbang ia akan melonggarkan ikatan aqidah yang kuat terhadap Islam. Apatah lagi untuk bersama-sama membuat persiapan.
Maka usah terlibat dalam sebarang jawatankuasa sambutan perayaan agama bukan Islam. Dibimbangi individu Muslim yang terlibat akan turut bergembira dalam menjayakan sambutan perayaan bukan Islam dan reda dengan kekufuran tersebut. Sewajarnya perayaan bukan Muslim diuruskan oleh jawatankuasa bukan Muslim sahaja.
Namun sumbangan dan bantuan kebajikan terhadap orang bukan Islam sempena kedatangan perayaan mereka tidaklah ditegah. Maka tindakan pihak kerajaan, pihak berkuasa dan sebagainya yang memberi bantuan kepada mereka tidaklah bertentangan dengan agama dengan syarat ia sekadar bantuan dan aktiviti kemasyarakatan bukan bertujuan untuk mengagungkan perayaan agama.
Wallahu a‘lam
Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir (Al-Jarumi)
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09
Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir
Lulusan diploma KUSZA, Sarjana Muda Universiti al-Azhar, Kaherah dan Ijazah Sarjana dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Juga pengalaman pengajian di Pondok Pasir Tumboh. Kini pensyarah di UIAM. Boleh dihubungi di e-mel (nidiium@yahoo.com).
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.