MENCARI CINTA DI KESESAKAN JALAN RAYA
- Ditulis oleh Pahrol Mohd Juoi
- Kategori Terkini
- Read 7241 times
KETIKA memandu pulang ke utara pada musim cuti yang lalu saya benar-benar teruji. Lebuh raya selatan ke utara begitu sesak. Terasa seperti merangkak menuju destinasi. Sangat menguji kesabaran.
Teringat kata seorang teman, kesesakan lalu lintas adalah praktik mujahadah para “sufi” di akhir zaman. Ada kebenarannya. Jalan raya kini hakikatnya “ladang” untuk menuai kesabaran, timbang rasa, kemaafan dan lain-lain sifat mahmudah.
Teringat Akhirat
Oh, sesak yang begini sudah terasa seksa bagaimana pula sesak di padang mahsyar. Dalam belaian hawa dingin kereta pun masih terasa “seksanya” menunggu, inikan pula penantian dalam kepanasan di akhirat nanti. Mampukah kita? Mudah-mudahan ini juga menjadi satu motivasi untuk meraih darjat tujuh golongan yang bakal mendapat naungan Arasy di mahsyar nanti.
Apabila sesak, semuanya bergolak. Pemandu dan siapa yang bersamanya di dalam kereta sama-sama teruji. Silap-silap, bahang “di luar” menerjang ke dalam. Alangkah baiknya bila ada CD atau kaset ceramah, ayat al-Quran sepanjang. Dapat juga belajar dan berhibur mengubat kejemuan.
Tetapi bukan itu yang saya hendak kongsikan bersama anda. Ada sesuatu yang lain, yang saya kira lebih tersirat dan menyentuh. Melihat kesesakan di jalan raya umpama melihat “kesesakan” dalam kehidupan kita. Ada yang marah, ada yang selamba dan ada yang tenang sahaja. Apabila menghadapi kesesakan, pemandu-pemandu di lebuh raya juga terbahagi kepada beberapa golongan (persis pembahagian golongan manusia di padang mahsyar nanti?)
Golongan pertama, golongan yang hilang sabar. Mereka ini terus sahaja memasuki lorong kecemasan dan memecut ke hadapan, memintas orang lain dengan melanggar undang-undang. Ramai juga yang buat begitu. Asalkan matlamat diri tercapai, peduli apa undang-undang atau nilai-nilai murni. Disaman polis? Mungkin itu sahaja yang menggerunkan mereka. Tetapi bagi sesetengah yang berduit, setakat dua tiga ratus ringgit, tidak menjadi kudis. Bayar dan redah sahaja!
Golongan kedua. Tidak seberani golongan yang pertama. Hendak redah? Kalau kena saman bagaimana? Nanti dilihat orang bagaimana? Rasa malu dan segan masih ada. Congak untung ruginya masih ketara. Jika disaman nanti, tidak “berbaloi” tetapi dalam hati, Tuhan sahaja yang tahu betapa geramnya melihat golongan pertama begitu “daring” dan
“kurang ajar”.
Hendak ditiru golongan pertama? Ops, tidak berani. Jadi? Tidak ada pilihan. Teruskan perjalanan dengan hati yang “terseksa”! Menyumpah sepanjang jalan. Muka berkerut dan geram. Jika terperangkap dua jam, dua jam itulah hilang kebahagiaan dan ketenangan.
Apabila pemandu hilang bahagia, hati-hati seluruh penumpang yang bersamanya… Jangan ada yang tersilap, habis semua menerima padahnya. Ikut undang-undang dengan terpaksa, itulah padahnya.
Sekarang kita lihat golongan ketiga. Mereka ini lain pula keadaannya. Mereka tenang dan senang-senang sahaja. Sesak? Ya, itu memang sudah dijangkakan. Maka, dia lebih bersedia. Memintas di lorong kecemasan? Oh, tidak sama sekali. Dia ini mempunyai prinsip nilai dan harga diri yang tinggi.
Sesiapa pun hendak cepat, tetapi apa maknanya kalau kita hilang nilai sabar, timbang rasa, tolak ansur dan hormat-menghormati, begitu bisik hati mereka. Mereka tahu apa yang perlu “dikejar” dalam hidup ini. Terseksa? Tidak sekali-kali. Sebaliknya mereka bahagia. Susah? Memang susah tetapi mereka telah bersedia dengan “bahan” atau “alatalat” tarbiah dan hiburan sebagai bekalan. Kesesakan itu bukankah sudah menjadi rutin perjalanan? Mereka sudah menjangka malah sudah bersedia untuk menghadapinya.
Malah ada masanya terperangkap sejam dua, “menghadiahkan” masa untuk menimba
ilmu melalui ceramah atau kuliah mahupun diskusi bersama keluarga atau teman-teman
sekereta. Boleh jadi satu permasalahan keluarga dapat diselesaikan. Ada kalanya, masalah organisasi dapat dirungkaikan. Sering juga, masalah komunikasi dapat diatasi.
Apalagi kalau kita “terperangkap” dalam kesesakan bersama dengan orang yang kita cintai… ah, tidak terasa segalanya. Malah, anehnya kekadang makin lama terperangkap makin “nikmat” rasanya. Rasa cinta kata orang, ajaib nikmatnya. Cinta mengubah kesesakan jalan raya menjadi kelapangan jiwa. Dan cinta mampu memutar jarum waktu menjadi terlalu “laju” dalam arloji rasa. Tup, tup... sudah sampai ke destinasi. Tak sedar rasanya.
Pengukur Cinta
Kalau begitu, kesesakan jalan raya boleh juga dijadikan “barometer” untuk mengukur cinta anda kepada sesiapa yang bersama anda di dalam kereta itu. Maksud saya, bukan hanya cinta kepada isteri, anak-anak, malah juga cinta kepada teman, bos, pekerja atau sesiapa sahaja yang bersama anda.
Bahagiakah “menikmati” kesesakan lalulintas bersama mereka? Jika ya, Alhamdulillah itu petanda ada cinta. Rasa biasa? Ya, mungkin cinta anda di tahap biasa-biasa sahaja. Kata orang cinta yang suam-suam kuku. Tidak hangat dan menyala-nyala. Derita, marah, menyampah? Wah, ini masalah. Anda perlu cepat memperbaiki hubungan.
Kalau yang bersama itu hanya kenalan, tidak mengapa juga (walaupun itu pun sudah dikira buruk) apatah lagi kalau anda bersama isteri! Itu lebih parah. Tindakan pembetulan mesti dibuat segera. Cinta itu memang indah. Jadi, kalau sudah bersama yang dicintai tetapi
masih tidak terasa indah... satu persoalan timbul, apakah anda masih benar-benar mencintainya?
Alihkan Pandangan
Lain kali, apabila terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, cuba alihkan pandangan sekali-sekala ke kereta di sebelah, di belakang atau di hadapan anda. Lihat pemandu dan penumpangnya. Anda boleh lihat apakah ada “cinta” di dalamnya. Pada wajah yang ceria,
senyum, selamba, masam dan berkerut... tidak sukar menebak semua itu. Kata orang, jika
ada cinta, pasti ada “syurga” di wajah kita.
Di mana kita? Golongan pertama yang rakus hidup tanpa nilai? Golongan kedua, pengecut yang hidup marah-marah tanpa ketenangan? Atau golongan ketiga yang hidup dengan ketenangan atas keyakinan kerana ada cinta yang menjadi teman menghadapi cabaran dalam perjalanan.
Ah, ketika orang menjadi rakus, buas dan berebut-rebut memburu kejayaan dengan mengorbankan nilai-nilai kemanusiaan dan agama, apakah kita menjadi marah kerana tidak “mampu” menjadi mereka. Atau kita terus bahagia mengikut jalan kebenaran kerana tidak “mahu” menjadi mereka. ¤
Pahrol Mohd Juoi
Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.5
Pahrol Mohd Juoi
Seorang penulis buku, kolumnis majalah, pencipta lirik dan skrip, serta pengacara tv dan jurulatih berkelulusan UiTM, Shah Alam. Beliau berpengalaman mengendalikan program latihan dan motivasi untuk lebih 50 badan kerajaan dan swasta. Kini beliau sebagai Pengurus Besar dan Pengarah Penyelidikan di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Bukunya Tentang Cinta mendapat sambutan yang baik di kalangan remaja terutamanya pelajar pusat pengajian tinggi.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.