Menu

 

A+ A A-

Keldai Yang Memakai Serban

SEORANG ahli hikmah masuk ke dalam sebuah kampung dengan mengenderai seekor keldai. Beliau yang memakai serban besar kelihatan begitu letih dan ingin beristirehat di kampung itu sebelum meneruskan kembaranya. Melihat ahli hikmah itu datang ke kampung mereka, orang kampung itu pun segera menyambutnya. “Assalamuaikum orang alim,” sapa seorang lelaki. “Selamat datang tuan,” sapa seorang yang lain. Tidak lama kemudian, hebohlah seluruh isi kampung. Hampir semua penduduk kampung keluar menyambut ahli hikmah tersebut. “Tolong ajarkan kami...” pinta mereka. “Jadilah guru kepada kami semua.” “Syukur tuan datang. Jika tidak jahillah kami.” Ahli hikmah turun dari keldainya dan bertanya, “Bagaimana kamu semua tahu yang aku ini orang alim?” Orang-orang kampung itu pun menjawab, hampir serentak, “Kerana kami lihat tuan memakai serban besar. Jika serban yang tuan pakai besar, tentulah ilmu tuan banyak. Tolong, tolong ajarlah kami.”

Sambil tersenyum, ahli hikmah itu membuka serbannya dan terus memakaikan serban itu di atas kepala keldainya. “Ha, sekarang keldaiku telah memakai serban yang besar! Sila kamu semua belajar daripadanya.” Orang kampung tercengang-cengang. Tidak sangka mereka telah mendapat “pelajaran pertama” daripada ahli hikmah itu dengan cara yang begitu bersahaja, tetapi sangat sinis sekali. Ya, pengajaran ada kalanya pahit sedikit.

 

PENGAJARAN: Ramai antara kita yang masih mengukur nilai dalaman seseorang hanya berdasarkan rupa lahiriahnya. Walaupun tanda-tanda lahiriah juga penting sebagai petanda baik atau buruknya keperibadian seseorang, tetapi sikap terlalu cepat menerima atau menolak seseorang hanya berdasarkan pakaian, kelulusan, gelaran atau lain-lain ukuran fizikal atau material, adalah tidak tepat. Pakaian, hanyalah umpama “topeng” yang kita pakai. Tidak salah memakai topeng yang baik. Namun, pastikan bahawa kita adalah lebih baik daripada topeng yang kita pakai!

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No. 4


 

Selanjutnya...

Mencari Syurga Dalam Senang?

DICERITAKAN pada satu malam, seorang raja bernama Ibrahim Adham, sedang berehat dan bersenang-senang di tilam empuk dalam istananya, sementara menunggu melelapkan mata. Tiba-tiba dia terdengar bunyi menunjukkan sesuatu sedang bergerak-gerak di atas siling istananya. Makin lama, makin jelas. “Siapa di atas tu?” bentak Ibrahim Adham. “Saya, pengembala kambing,” sahut satu suara dari atas menjawab dengan jelas. “Apa yang kau buat di atas atap istanaku?” Tanya raja lagi. “Aku mencari kambingku yang hilang,” jawab suara itu. “Cis, pelik sungguh! Masuk akalkah bahawa kau mencari kambing yang hilang di atas atap istanaku?” Dengan tegas suara itu menjawab, “Begitulah wahai Ibrahim. Adalah pelik kalau kau inginkan keredhaan Allah hanya dengan bersenang-senang di atas tilammu yang empuk itu? Itu sama sahaja dengan mencari kambing yang hilang di atas atap!” Selepas insiden itu Raja Ibrahim Adham tersedar daripada kelalaiannya. Suara itu telah menyentak kelalaiannya dalam buaian nikmat sebagai seorang raja, tanpa memikirkan kesusahan rakyat. Tidak lama selepas itu, baginda menyerahkan takhta kerajaannya kepada orang kepercayaannya manakala baginda sendiri mula mengembara mencari ilmu dan bermujahadah sebagai seorang sufi. Bertahun-tahun baginda berjuang mendidik diri, darjat ketaqwaan semakin meningkat, hingga terkenallah baginda seorang seorang waliullah yang tersohor.

 

PENGAJARAN: Tidak ada jalan mudah untuk mencari keredhaan Allah. Sesungguhnya, syurga sentiasa dipagari oleh kesusahan manakala neraka sentiasa dihiasi oleh kesenangan. Justeru, hadapilah kesusahan yang sementara di dunia demi kesenangan yang abadi di syurga.

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No. 2

 


 

Selanjutnya...

Obsesi Diri

SEORANG tuan guru berkata kepada beberapa murid kanannya, “Aku ingin melihat sejauh mana masyarakat percayakan aku.” “Bagaimana caranya tuan guru?” tanya anak-anak muridnya itu. “Kau sebarkan berita bahawa akan muncul seekor binatang besar di hujung kampung kita pada hujung minggu ini!” Tanpa banyak soal, anak-anak muridnya pun keluar ke seluruh pelusuk kampung menyebarkan berita yang apa yang tok guru mereka ramalkan.

“Sebesar mana?” tanya orang kampung. “10 kali ganda seekor gajah,” jawab seorang anak murid itu. “Setinggi mana?” “Setinggi bukit agaknya. Matanya bersinar merah. Nafasnya berapi-api!” Yang sejengkal jadi sehasta, yang sehasta menjadi sedepa. Dari mulut ke mulut berita kemunculan binatang besar itu menjadi tambah sensasi. Bila tiba hujung minggu, seluruh penduduk kampung keluar untuk menanti kemunculan binatang besar itu. Mereka berarak ke hujung kampung beramai-ramai. Begitu meriah sekali. Bersorak dan melonjak-lonjak, seakan berpesta.

Ironinya, si tuan guru itu turut serta dalam perarakan. Seorang muridnya bertanya, “Tuan guru pun ikut serta dalam perarakan ini?” “Kenapa, apakah tak boleh?” “Bukankah tuan guru hanya mengada-ngadakan berita tentang kemunculan binatang besar ini?” “Ya, begitulah pada mulanya. Tetapi apabila ramai orang mula mempercayainya dan bersedia terfikir pula olehku, manalah tahu berita ini benar-benar akan terjadi?” Murid-muridnya kehairanan. Mereka takjub, apakah berita tipu yang dicanangkan oleh tok guru itu turut juga menipu tok guru sendiri? Pelik!

PENGAJARAN: Takjub pada diri sendiri menyebabkan ramai orang buta pada kebenaran. Sentiasa ada justifikasi yang datang dari dalam diri sendiri untuk mentafsirkan sesuatu mengikut apa yang diingini terjadi dengan menafikan realiti. Sudah hitam, masih dikatakan putih. Hanya kerana ego dan obsesi diri.

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.2

 


 

Selanjutnya...

Ritual Tanpa Spiritual

SEORANG ketua sami tinggal di dalam sebuah kuil besar dengan seekor kucing kesayangannya. Kedua-duanya sangat akrab. Ke mana sahaja ketua sami pergi, si kucing akan ikut bersama. Namun, keadaan ini menimbulkan sedikit masalah, terutamanya apabila si ketua sami sedang menyembah berhala besar di tengah-tengah kuil tersebut. Konsentrasinya sering terganggu apabila kucing kesangannnya itu menggesel dan mengelus-ngelus di sisinya.

Setelah berfikir panjang mencari jalan penyelesaian, akhirnya ketua sami mendapat satu idea. Setiap kali dia melakukan penyembahan, dia mengikat si kucing di sebatang tiang di tepi kuil. Begitulah hari demi hari, minggu demi minggu, dan bulan demi bulan, ketua sami akan mengikat kucing kesayangannya di tiang yang sama semasa upacara penyembahan. Perlakuan ketua sami itu sangat diperhatikan oleh pengikut-pengikutnya.

Beberapa tahun berlalu, ketua sami meninggal dunia. Ketua sami yang baru pula dilantik. Begitu pun, setiap kali ketua sami yang baru hendak mengepalai upacara penyembahan, beliau akan mengikat kucing yang sama pada tiang yang sama juga. Tidak berapa lama, kucing itu pula mati. Ironisnya, ketua sami yang baru ini mencari kucing lain sebagai pengganti, dan diikat juga pada tiang yang sama setiap kali penyembahan berhala.

Begitulah rutin itu berlaku, tahun demi tahun. Kucing dan ketua sami datang dan pergi, silih berganti. Akhirnya terciptalah satu ritual dalam agama tersebut; setiap kali ketua sami akan mengetuai penyembahan berhala, dicari terlebih dahulu seekor kucing untuk ditambati pada tiang kuil!

PENGAJARAN: Sering berlaku dalam ajaran mana-mana agama (termasuk Islam), amalan ritual dengan nilai spiritual telah terlindung oleh sikap ‘taklid’ secara membuta-tuli. Penganut di belakang hari kerap menjadi pak turut tanpa mengerti sebab dan tujuan amalan tersebut. Tanpa disedari agama bertukar menjadi budaya dan syariat dianggap adat.

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No. 2


 

Selanjutnya...