Menu

 

A+ A A-

Tambah Senang, Kurang Tenang

SEORANG budak ditemui sedang menangis oleh seorang lelaki tua.

Lelaki tua itu bertanya, “Mengapa engkau menangis?”

Anak itu menjawab, “Duit saya hilang.”

“Berapa jumlah duit kamu yang hilang?” orang tua bertanya lagi.

“Lima puluh sen,” anak itu menjawab sambil teresak-esak.

Kasihan melihat budak itu menangis, orang tua itu menyeluk poketnya dan memberikan lima puluh sen kepada anak itu. “Nah, ini ganti duit kau yang hilang. Dah, jangan menangis lagi.”

Ia pun terus berlalu dari situ. Namun belum jauh berjalan, orang tua itu mendengar budak itu menangis dengan lebih kuat.

“Apa pula kali ini? Bukankah duit kamu telah pak cik ganti?”

“Kerana itulah saya menangis. Sekiranya duit saya tadi tidak hilang, tentu saya sekarang ada seringgit. Tapi sekarang cuma ada lima puluh sen sahaja,” jawabnya dan terus menangis.

 

TELADAN: Ramai manusia yang tidak syukur dengan yang ada dan tidak sabar dengan apa yang tiada. Jika miskin, ramai yang merintih inginkan kekayaan. Tetapi bila kaya, hati terus gelisah kerana hendakkan lebih kekayaan. Kekadang tambah senang, menjadikan kita kurang tenang.

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu Perdana

 


 

Selanjutnya...

Bukan Senang Nak Senang

SEORANG pemuda ditemui sedang berlegar-legar di tepi sebuah tiang lampu di tepi sebatang jalan. Habis dikais-kaisnya rumput dan kertas di bawah naungan lampu itu. Walaupun hari sudah larut senja, tapi pemuda itu tetap tercari-cari akan sesuatu di bawah sinaran lampu itu.

Sikap pemuda itu menarik perhatian seorang mak cik yang kebetulan sedang bersiap-siap untuk menutup kedainya. Lalu mak cik itu datang dan bertanya, “Kenapa sejak tadi mak cik tengok anak berlegarl-egar di bawah tiang lampu ini?”

“Cincin saya mak cik, cincin saya hilang.”

Mak cik tadi kasihan dan turut sama-sama membantu mencari cincin itu. Namun, cincin berkenaan tidak juga ditemui. Lalu mak cik itu bertanya, “Betulkah cincin itu hilang di sini?”

“Siapa pula kata cincin itu terjatuh di sini… Tak lah.”

“Habis, cincin itu jatuh di mana?”

“Di sana, di tempat gelap tu,” ujar budak itu menunjukkan satu kawasan gelap agak jauh dari situ.

“Laa... Tapi mengapa kamu mencarinya di sini?” Mak cik itu kehairanan.

“Yalah mak cik… saya carilah di tempat yang terang, di bawah tiang lampu ni. Sini mudah. Kalau cari kat sana tu susah. Gelap pulak,” jawabnya selamba.

Mak cik itu menggeleng-gelengkan kepala.

 

TELADAN: Manusia kerap memilih jalan pintas untuk senang dan berjaya. Mereka cenderung memilih jalan senang untuk senang, walaupun tahu kesenangan itu tidak akan ditemui melalui cara itu. Apa yang dipentingkan, jalan itu mudah. Padahal secara sunnatullah memang telah Allah tetapkan – no pain, no gain.

Bukankah syurga itu dipagar dengan segala kesusahan? Justeru, untuk melakukan kebaikan dan kebajikan (yakni jalan menuju ke syurga) begitu sukar dan mencabar. Tapi tempuhilah.

Bukan senang nak senang.

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu Perdana

 


 

Selanjutnya...

Mencari Syurga Dalam Senang?

DICERITAKAN pada satu malam, seorang raja bernama Ibrahim Adham, sedang berehat dan bersenang-senang di tilam empuk dalam istananya, sementara menunggu melelapkan mata. Tiba-tiba dia terdengar bunyi menunjukkan sesuatu sedang bergerak-gerak di atas siling istananya. Makin lama, makin jelas. “Siapa di atas tu?” bentak Ibrahim Adham. “Saya, pengembala kambing,” sahut satu suara dari atas menjawab dengan jelas. “Apa yang kau buat di atas atap istanaku?” Tanya raja lagi. “Aku mencari kambingku yang hilang,” jawab suara itu. “Cis, pelik sungguh! Masuk akalkah bahawa kau mencari kambing yang hilang di atas atap istanaku?” Dengan tegas suara itu menjawab, “Begitulah wahai Ibrahim. Adalah pelik kalau kau inginkan keredhaan Allah hanya dengan bersenang-senang di atas tilammu yang empuk itu? Itu sama sahaja dengan mencari kambing yang hilang di atas atap!” Selepas insiden itu Raja Ibrahim Adham tersedar daripada kelalaiannya. Suara itu telah menyentak kelalaiannya dalam buaian nikmat sebagai seorang raja, tanpa memikirkan kesusahan rakyat. Tidak lama selepas itu, baginda menyerahkan takhta kerajaannya kepada orang kepercayaannya manakala baginda sendiri mula mengembara mencari ilmu dan bermujahadah sebagai seorang sufi. Bertahun-tahun baginda berjuang mendidik diri, darjat ketaqwaan semakin meningkat, hingga terkenallah baginda seorang seorang waliullah yang tersohor.

 

PENGAJARAN: Tidak ada jalan mudah untuk mencari keredhaan Allah. Sesungguhnya, syurga sentiasa dipagari oleh kesusahan manakala neraka sentiasa dihiasi oleh kesenangan. Justeru, hadapilah kesusahan yang sementara di dunia demi kesenangan yang abadi di syurga.

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No. 2

 


 

Selanjutnya...

Bukan Salah Saya

SEBUAH rumah tangga mengalami keadaan yang kacau bilau. Untuk mencari puncanya, ayah, ibu dan anak dalam keluarga itu menemui seorang pakar untuk mendapat kaunseling. Setelah melalui sesi bersemuka bersama, kaunselor tersebut menemui ketiga-tiganya secara berasingan.

“Agak-agak awak, apa yang menyebabkan rumah tangga ini bergoncang?” tanya kaunselor kepada si ayah.

“Ini semua gara-gara isteri saya. Dia tidak pernah patuh. Apa sahaja yang saya katakan, dia pasti melawannya.”

“Jadi bukan salah awak?”

“Pasti. Ini semua salah isteri saya. Dia derhaka,” jawab si ayah.

Selepas itu, giliran isteri pula ditemu duga oleh kaunselor tersebut.

“Ya, apa penjelasan puan?”

“Tak payah selidik panjang-panjang. Confirm salah suami saya.”

“Kenapa?”

“Macam mana saya nak beri ketaatan kepada suami yang cakap tak serupa bikin.”

“Jadi?”

“Lawan tetap lawan! Bukan salah saya. Salah dia.”

Kaunselor terdiam. Pening.

Tiba giliran si anak, kaunselor bertanya, “Mengapa awak menagih dadah sebagai jalan penyelesaian?”

“Bukan salah saya...” jawab si anak perlahan. Muram.

“Awak boleh berfikir. Mengapa memilih jalan yang salah?”

“Tuan sendiri dah lihat betapa teruknya persengketaan ibu dengan ayah saya. Saya jadi macam ni disebabkan mereka...”

“Jadi?”

“Saya salahkan dua-dua ibu bapa saya!”

Kaunselor mengumpulkan semula ketiga-tiga mereka dan berkata, ”Saya beri peluang kepada awak semua untuk berbincang. Berbincanglah dari hati ke hati dengan harmoni. Cari jalan penyelesaian. Jangan salah menyalah antara satu sama lain lagi ok?”

Selang tidak berapa lama setelah berbincang ketiga-tiga mereka pergi menemui kaunselor dengan wajah berseri-seri.

“Setelah berbincang, kami dah capai persetujuan.”

“Bagus,” puji kaunselor dengan penuh harapan.

“Kami semua tidak bersalah,” kata si ayah.

“Ya, bukan kami penyebab rumah tangga ini bergolak,” kata si ibu.

“Yang salah Internet. Ia penyebab kami tidak punya cukup waktu bersama,” kata si anak.

“Yang salah jiran sebelah. Dia menghasut saya melawan suami,” tambah si isteri.

“Yang salah media massa. Ia kerap menyiarkan berita negatif. Saya terpengaruh.” ujar si suami.

Kaunselor terpinga-pinga.

Selanjutnya...

Sampaikan Sunnah, Jangan Bertengkar

IMAM Ahmad bin Hanbal terkenal dengan kepakarannya dalam ilmu hadis. Beliau juga sangat teguh berpegang kepada sunnah.

Satu hari, al-Abbas bin Ghalib al-Warraq bertanya kepadanya: “Jika aku berada dalam satu majlis, dan tidak ada yang mengetahui sunnah dalam majlis itu kecuali diriku, lalu seorang ahli bidaah berbicara. Bolehkah aku membantahnya?”

Imam Ahmad menjawab: “Beritahukanlah sunnah itu, namun jangan bertengkar.”

Al-Warraq mengulangi soalannya beberapa kali, namun Imam Ahmad tetap melarangnya. Beliau tidak menyukai pertengkaran walaupun untuk menegakkan sunnah sekalipun. Setelah didesak berkali-kali, akhirnya Imam Ahmad menjadi marah.

Beliau berkata: “Aku mendapati engkau orang yang suka bertengkar!”

Diceritakan oleh Ibn Muflih al-Hanbali dalam kitab al-Adab al-Shar‘iyyah.

Pengajaran:

Kewajiban kita hanya menyampaikan sunnah. Jika orang lain tidak menerimanya, maka kita tidak wajib memaksa apalagi bertengkar dengannya. Pertengkaran hanya akan membawa kepada permusuhan. Dan tiada siapa yang mendapat manfaat daripada permusuhan sesama kaum Muslimin selain musuh-musuh Islam.

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.5

 


 

Selanjutnya...

Berhikmah Dalam Menegur

Atikah binti Zaid seorang wanita yang sangat cantik. Khalifah Umar bin al-Khattab menikahi beliau pada tahun 12 Hijrah setelah suaminya terbunuh. Sayidina Umar sangat mencintai isterinya ini dan selalu menuruti segala keinginannya.

Salah satu kesukaan Atikah adalah menghadiri solat berjemaah di masjid. Meskipun Umar tidak suka isterinya keluar rumah, namun beliau tidak pernah menghalang Atikah daripada melakukan apa-apa yang ia inginkan. Namun begitu, Umar merancang sesuatu agar Atikah tidak lagi keluar rumah atas kehendaknya sendiri.

Pada suatu malam yang gelap, Umar berdiri di tepi jalan. Beliau menunggu Atikah yang akan melintas untuk pergi ke masjid. Apabila Atikah melalui jalan tersebut, Umar mendekatinya dari arah belakang, menepuk punggung Atikah dengan tangannya, lalu pergi meninggalkan tempat tersebut.

Atikah yang tidak mengetahui bahawa lelaki yang menepuknya itu ialah suaminya sendiri menjadi ketakutan. Beliau segera balik ke rumah dan sejak hari itu tidak pernah lagi keluar ke masjid.

Sumber: Al-Bidayah wa al-Nihayah, Ibn Kathir.

 

Pengajaran:

Seorang isteri mesti peka dengan perasaan suaminya. Ia mesti meninggalkan apa-apa yang tidak disukai oleh suaminya tanpa harus diminta. Pada saat yang sama, suami mesti pandai menjaga perasaan isterinya. Sedapat mungkin ia menegur isterinya dengan hikmah tanpa melukai perasaannya.

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.5

 


 

Selanjutnya...

Sepasang Selipar

PADA suatu hari, Juha telah dijemput ke satu majlis perkahwinan. Sebaik sampai di pintu rumah pengantin, tidak ada seorang pun yang menyambutnya dan tidak ada seorang pun yang bertugas menjaga selipar. Lalu dia pun mengeluarkan sapu tangan dari poketnya dan membungkus selipar dengan sapu tangan tersebut. Dia membungkus seliparnya dengan cantik agar orang lain tidak mengetahui yang isi bungkusan itu adalah sepasang selipar.

Lalu dia masuk ke dalam rumah pengantin dan dibawa ke bilik para jemputan oleh pelayan. Bungkusan tersebut dikepit dibawah ketiaknya. Ketika dia hendak duduk, maka tetamu yang hadir terlihat bungkusan yang dikepit itu. Lalu salah seorang daripada mereka bertanya kepada Juha: “Adakah bungkusan yang kamu kepit itu mengandungi kitab yang susah diperolehi wahai Juha?” Juha menjawab dengan penuh wibawa: “Ya!”

Seorang yang lain bertanya: “Kitab yang kamu bawa itu membahaskan persoalan apa wahai Juha?” Juha menjawab, “Oh, kitab yang aku bawa ini membahaskan persoalan ekonomi.” Lalu bertanya pula seorang yang lain: “Adakah kamu membelinya di pasar kitab?” oleh kerana letih menjawab persoalan orang ramai dengan muka selamba Juha pun menjawab, “Oh tidak. Sebenarnya aku telah membeli kitab ini dari pasar selipar.” Mendengar jawapan Juha itu orang ramai pun tercengang.   


Amly Bin Asenar
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.2

 


 

Selanjutnya...

Untungnya Kalau Diam

INI tentang bercakap-cakap di dalam masjid, sama ada waktu luang antara azan dan iqamat mahupun bila-bila masa yang bukan dalam waktu solat. Namun diingatkan, tiada menjadi kesalahan jika bercakap tentang ilmu dan mendengar kuliah. Malah digalakkan untuk mengimarahkan masjid dengan perkara-perkara tersebut. Yang menjadi kontroversinya apabila bercakap tentang dunia; gosip, tuduh, gelak ketawa yang tidak bermotif. Itu semua adalah melalaikan dan menghodohkan jiwa.

Selanjutnya...

Ikatan Membawa Rezeki

PERISTIWA yang selalu mengeratkan silaturahim antara kita dan keluarga, saudara-mara, sahabat-handai dan jiran-tetangga ialah ketika tibanya hari raya. Sambil makan ketupat rendang dan kuih muih, disertai dengan air sirap bandung, suasana pada hari itu sangat menyeronokkan.

Namun yang sebenarnya, mengeratkan ikatan silaturahim  bukanlah terletak pada tarikh atau dalam peristiwa tertentu. Ia perlu terjalin setiap masa – tidak kira hari, minggu, bulan atau tahun. Selagi nyawa dikandung badan dan kita hidup bermasyarakat, selagi itulah kita perlu sangat memelihara silaturahim.

Jika dalam satu hari kita tidak menjaga ikatan itu sehingga terlerai dan bermasam muka, maka hilanglah nikmat rezeki kita. Seperti riwayat al- Bukhari dan Muslim, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, hendaklah menyambung silaturahim.”  Q

 

Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.2

 


 

 

 

Selanjutnya...

Tak Terima Hakikat

BIASANYA apabila kita kehilangan sesuatu dalam suatu masa, apa yang terfikir ialah ada orang lain yang mengambilnya. Contohnya kalau basikal kita hilang, yang kita bayangkan ialah ada orang yang mencurinya. Dengan tidak semena-mena dan tanpa usul periksa, lahirlah kata-kata tuduhan dan makian yang tidak sepatutnya keluar dari mulut.

Jadi, usahlah kita menjadi orang yang tidak bertamadun. Terimalah hakikat – qadak dan qadar – yang Allah telah tentukan. Ada hikmah di sebalik setiap kejadian. Kalau pen kita hilang, mungkin kita akan dapat pen yang lebih canggih yang boleh keluarkan bunyi misalnya. Mana tahu, kan? Tak perlulah nak tuduh sesiapa dan keluarkan kata-kata yang tak elok.

Ada riwayat daripada al-Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Bukan termasuk golongan kami orang yang menampar-nampar pipi, mencarik- carik pakaian dan mengeluarkan kata-kata jahiliah (apabila mendapat musibah).” Q

 

Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.2


 

Selanjutnya...