Menu

 

A+ A A-

CINTA DUNIA, BENCI AKHIRAT, GELAP MASA DEPAN

Melihat kepada penglibatan remaja dalam aktiviti mat rempit pada akhir-akhir ini, cukup menggambarkan kepada kita betapa mereka tidak sayang nyawa. Meskipun saban hari mereka melihat rakan mereka terlibat dalam kemalangan maut, namun mereka terus merempit. Seolah-olah mereka tidak takut mati.

Sebelum ini, remaja dikatakan terlibat dengan kegiatan menagih dadah. Dalam pusat serenti penuh dengan remaja yang beragama Islam. Meskipun mereka sedar masa depan penagih dadah adalah kematian, namun kerana kenikmatan seketika bersama dadah itu mereka tidak sayangkan nyawa. Oleh sebab itu, mereka tidak takut dengan kehadiran mati.

Sebenarnya sifat mereka yang tidak takut kepada mati itu adalah sebahagian daripada sifat terpuji. Umat Islam pada zaman Rasulullah amat cintakan mati dan tidak takut untuk mati. Tapi adakah sikap remaja ini menepati sifat terpuji seperti yang dikehendaki oleh Islam? Inilah persoalan yang perlu kita halusi.

Walaupun sikap remaja dalam dua keadaan ini seolah-olah mereka tidak takut mati tetapi sebenarnya mereka tidak pernah membayangkan kematian, sebaliknya satu kemenangan sedang menanti di hadapan. Bagi mat rempit mereka yakin dengan kehandalan mereka menunggang motosikal, boleh mengelak kemalangan apatah lagi maut.

Bukan itu sahaja, mereka akan mendapat tepukan semangat daripada wanita dan seterusnya akan mendapat hadiah tubuh wanita tersebut.

Manakala bagi penagih dadah, mereka tidak pernah menyangka bahawa dengan penagihan boleh membawa maut. Tetapi setelah terjebak, sukar untuk kembali ke pangkal jalan. Jadi, mereka terus gagal dalam perjalanan hidup meskipun telah cuba mengatasinya.

 

Realiti Orang Melayu 

Penglibatan remaja secara serius dalam dua perkara di atas sebenarnya berasaskan gaya hidup Barat yang sudah lama diterapkan dalam masyarakat dunia. Remaja sejak di bangku sekolah telah dihidangkan dengan hiburan, pergaulan bebas, berfoya-foya, berkhayal, dan seks bebas.

Kesan daripada itu, mereka terjebak dalam aktiviti mat rempit dan dadah kerana di sini mereka akan beroleh semua di atas. Namun, tidak adil kalau kita salahkan mereka sahaja kerana yang mendidik mereka ke arah itu adalah ibu bapa mereka. Pendedahan awal daripada ibu bapa adalah punca segala-galanya apatah lagi kalau mereka sendiri tidak pernah melarang anak mereka daripada terjebak ke kancah itu sejak awal lagi.

Bayangkan apa akan terjadi kalau semua ibu bapa mengambil sikap seperti itu sewaktu mendidik anak mereka 15 tahun lalu, tentu warisannya ialah apa yang kita dapat lihat pada hari ini. Dan kalau ibu bapa pada hari ini meneruskan tradisi itu, maka berpanjanganlah penyakit itu pada masa akan datang.

Inilah barangkali apa yang dimaksudkan oleh sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Aku bimbang suatu hari nanti umat Islam dikeroyok dan diganyang umat dunia seperti mereka meratah makanan dalam satu hidangan. Sahabat bertanya, ‘Adakah ketika itu kita sedikit?’ Baginda bersabda, ‘Bahkan ketika itu kamu ramai, cuma ramainya seperti buih-buih di lautan, lalu Allah cabutkan perasaan gerun daripada hati musuh kamu, sebaliknya dicampakkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahan.’ Sahabat bertanya, ‘Ya Rasulullah apakah yang dimaksudkan dengan al-wahan itu?’ Sabda Baginda: ‘Cinta dunia dan benci mati.’” (Riwayat Abu Daud)

Kebimbangan Rasulullah itu sudah dirasai sekian lama, dan termasuklah kita umatnya pada hari ini. Ternyata kini, walaupun umat Islam ramai, malah di Malaysia umat Islam adalah majoriti, tetapi begitu mudah dipermainkan oleh pihak lain. Kehidupannya  seperti dicatur oleh pihak lain, politiknya seperti dikuasai oleh pihak lain. Kini tiada lagi pihak yang menyanjung tinggi umat Islam, seperti mana zaman kegemilangan Islam dahulu.

 

Kualiti Menurun

Melihat kepada cabaran masyarakat dunia terhadap Islam sekarang, seolah-olah tiada peluang bagi umat Islam untuk kembali menguasai dunia seperti zaman kegemilangannya. Lihatlah, hiburan menguasai dunia, bukan sahaja remaja malah 90 peratus penduduk dunia terpaku padanya.

Lihat sahaja keadaan sosial masyarakat dunia, umat Islam dilihat mudah terpengaruh dengan gaya hidup orang yang langsung tidak mencerminkan gaya hidup Islam. Pergaulan bebas sukar dikawal lagi, pakaian mereka terdedah di sana sini. Bahkan segala-gala yang dilakukan mereka dirasakan tidak salah dan masih bermoral.

Seorang artis yang berpakaian seksi ketika ditanya wartawan hiburan, adakah kamu hendak mengekalkan imej seksi ini selepas dikritik oleh peminat? Dia dengan penuh yakin berkata, “Saya pun tidak faham maksud seksi itu, saya rasa apa yang saya pakai ini tidak seksi.”

Mungkin padanya, mendedahkan dada dan sebahagian pahanya itu tidak seksi. Hal ini mungkin menurut “guru”nya, yakni artis di Barat, tidak meletakkan ukuran seksi seperti itu. Begitulah lunturnya iman sebahagian umat Islam kini.

Pernah penulis bertemu dengan seorang pemuda yang memakai rantai di lehernya. “Maafkan saya nak tanya, untuk apa awak pakai rantai ini?” soal penulis.

“Tak ada apa-apa, saja nak pakai,” katanya dengan tanpa rasa malu.

“Kalau begitu, kalau saya minta awak bagi kat saya rantai itu boleh tak?” tanya penulis menguji.

Hasil kaji selidik tentang kehidupan dan budaya keluarganya, penulis mendapati pemuda itu tidak tahu hukum memakai rantai selain emas juga haram.

Ramai lagi umat Islam seperti ini, yang tidak mengambil kisah tentang agamanya, walaupun banyak pihak sering menyarankan supaya masing-masing kembali kepada agama. Sebaliknya kita lihat, kuil hindu sejak akhir-akhir ini sudah dipenuhi penganutnya setiap minggu. Begitu juga dengan penganut Buddha dan Kristian.

  ggjg

Pentingkan Dunia

Rata-rata umat Islam pada hari ini mementingkan keduniaan, setiap hari memikirkan bagaimana hendak kaya, bagaimana hendak hidup lama, dan bagaimana menjadi masyhur. Inilah yang dibayangkan oleh Rasulullah dalam hadis di atas dengan penyakit al-wahan.

Allah mencabut perasaan gerun daripada hati musuh kamu, sebaliknya dicampakkan ke dalam hati kamu penyakit “al-wahan” adalah pakej yang Allah sediakan untuk umat akhir zaman sebagai tempelakan terhadap sikap mereka yang meninggalkan agama dalam kehidupan.

Dengan penyakit al-wahan itu, kini umat Islam di mana-mana sahaja dilihat tidak berkualiti walaupun mereka berusaha dengan pelbagai kaedah untuk memajukannya. Pelbagai pakar telah dibawa untuk membetulkan keadaan tetapi kualiti umat Islam tetap sama.

Kualiti kehidupan; umat Islam dilihat masih miskin walaupun banyak pihak yang cuba membantu. Sosial umat Islam juga amat buruk dengan kerap berlaku pembunuhan, perogolan, sumbang muhram, dan sebagainya. Walaupun pakar motivasi sering memberi panduan melalui pelbagai medium, kesannya masih kurang.

Kualiti ekonomi; walaupun kerajaan sehingga ke hari ini. Apakah orang Melayu itu malas atau tidak pandai? Yang pasti mereka ada potensi untuk maju.

Kualiti politik; secara umumnya boleh dikatakan suasana politik umat Islam kini amat kotor, tidak kurang berbanding orang lain. Budaya memburukkan lawan politik menjadi-jadi, tindas menindas, jatuh menjatuhkan lawan dilakukan secara tidak beradab. Malah ada orang lain dilihat begitu bersopan dalam berpolitik, malah saling hormat menghormati kawan dan lawan.

Barangkali benarlah kata cerdik pandai Islam, jika kita mengejar dunia, dunia akan lari daripada kita, tetapi kalau membenci dunia, dunia akan mendekati kita.

 

Mengenali Penyakit Wahan

Para Sahabat yang mendengar kenyataan Rasul itu terus bertanya, “Ya Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan wahan?” Baginda bersabda: “Cinta dunia dan takut mati.”

Jelas, wahan sedang menyerang umat dan kini sudah menjadi virus yang mula berjangkit pada diri umat Islam. Buktinya, tiga kualiti yang disebut di atas adalah kerana mereka amat cintakan dunia dan takut mati. Kerana cinta dunia mereka takut untuk berhadapan dengan mati. Mereka berusaha untuk memajukan itu dan ini tetapi melupai Allah yang sepatutnya memberikan kemajuan itu. Mereka berusaha untuk menjadi orang yang terkenal tetapi lupa kepada Tuhan yang boleh meninggikan seseorang sebaliknya menolak pendekatan agama.

Atas sikap inilah mereka tidak dibantu oleh Allah ke arah yang mereka cita-citakan. Mereka sangka dengan usaha mereka itu akan beroleh kejayaan yang besar. Mereka sangka dengan merujuk kepada kejayaan dunia Barat, mereka akan beroleh kejayaan seperti Barat. Umat Islam diajar supaya tidak membenci mati, malah selalu mengingati mati sebagai motivasi ke arah kejayaan masa depan. Masakan umat Islam boleh membenci mati kerana mati terlalu hampir dengan manusia. Mati boleh datang tiba-tiba tanpa amaran. Jadi, jangan memusuhi mati.

Percayalah orang yang tidak takut kepada mati malah merindui mati dalam kehidupannya, mereka akan bersedia untuk mati. Hal ini kerana mereka ini sudah memastikan hidup mereka mengikut peraturan Allah dan tidak melanggar larangan Allah. Mereka ini sudah tentu akan berjaya dalam bidang yang mereka ceburi.

Kalau semua golongan boleh bertindak seperti yang sebutkan itu, tentulah semua perancangan berjalan dengan sempurna. Keluarga akan bahagia dan makmur, masyarakat akan damai dan gembira, dan kerajaan akan aman damai serta rakyat hidup dengan penuh ceria sepanjang masa. Inilah kesan cintakan mati.

Ustaz Ahmad Baei Jaafar
Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.8


Ustaz Ahmad Baei Jaafar

Lulusan Ijazah Sarjana Muda (Syariah dan Undang-undang) dari Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan, Nilam Puri. Berpengalaman sebagai editor majalah Dewan Agama dan Falsafah, dan sub editor akhbar Sinar Harian. Kini turut ditugaskan sebagai Penolong Pendaftar Nikah di Selangor. Kini sebagai editor Solusi, boleh dihubungi melalui e-mel: baei@telagabiru.net.my Lawati blog: http://baei.blogspot.com

Terkini daripada Ustaz Ahmad Baei Jaafar

Kembali ke atas