Menu

 

A+ A A-

Soal Jawab - Umum

Soal Jawab - Umum

Soalan : Islam larang memberi gelaran yang buruk kepada seseorang, tetapi bagaimana kalau gelaran itu tidak menjadi masalah kepada orang yang digelar? Yakni, dia boleh terima…

Jawapan : Sama ada dia suka atau tidak, bukan soalnya. Walau apa pun, panggilan yang buruk eloklah diberhentikan. Katalah kita memanggil kawan kita dengan panggilan yang buruk, dia tidak marah, tetapi bagaimana kalau ibu bapanya turut mendengar? Tidakkah mereka berkecil hati apabila mendengar anaknya dipanggil dengan gelaran yang buruk dan tidak sedap didengar?

Bagaimana pula kalau kawan-kawan yang lain mendengar? Tentu mereka memandang rendah, kalaupun tidak pada kawan yang dipanggil itu tetapi mungkin kepada kita yang memanggilnya. Kita akan dianggap tidak beradab. Sebab itulah Rasululllah s.a.w. menukar nama sahabat-sahabatnya yang bermaksud negatif kepada yang positif, walaupun ada di antara mereka boleh menerima gelaran yang negatif itu.

 

Remaja dengan Ustaz

(Majalah Solusi Isu No 2)

 

Soalan: Kita ada mendengar hadis Rasulullah menyebut, kebersihan itu sebahagian daripada iman. Apa maksudnya ustaz?

Jawapan : Mari kita cuba fahamkan apa makna iman itu dulu. Iman itu apa yang diakui hati, diikrarkan dengan lidah dan dibuktikan dengan perbuatan. Iman itu ialah keyakinan yang bersih. Bersih daripada syirik dan penyembahan selain Allah. Bukti iman yang bersih itu sudah bersemadi dalam hati ialah lahirnya amalan-amalan yang bersih. Bukti hati baik, lahir amalan baik. Ertinya, kebersihan dalaman (hati) membawa kepada kebersihan luaran (lahiriah) yakni perbuatan. Apa yang dimaksudkan kebersihan luaran atau lahiriah ini adalah bersihnya diri kita daripada najis, sama ada najis yang berat atau najis yang ringan. Juga bersih daripada bahan-bahan yang kotor walaupun bukan bertaraf najis, misalnya habuk, kertas buruk dan kain buruk. Jadi kebersihan iman kita boleh diukur daripada kebersihan luaran. Bagaimana tempat tinggal kita, bilik kita, kenderaan kita dan sebagainya… Kalaulah kebersihan luaran pun payah nak dijaga, apalagi kebersihan dalaman, lebih payah lagi. Bandingannya begini. Kalaulah sampah di halaman rumah pun payah nak disapu, maka lebih payah lagi nak bersihkan hasad-dengki, dendam, marah dan banyak penyakit hati yang lain. Betul tak?

Remaja Dengan Ustaz

(Majalah Solusi Isu 4)

 

Soalan: Ustaz, ada tak perbezaan antara makna kebersihan yang dimaksudkan dalam syariat Islam berbanding kebersihan dalam pengertian biasa?

Jawapan : Memang berbeza. Sebab Islam bukan menilai dengan akal dan mata sahaja tetapi juga diukur dengan kehendak Allah. Dalam Islam bersih itu juga makna suci. Kalau membasuh najis misalnya, mesti menurut kaedah syariat. Kalau najis berat mesti sekali dengan air tanah dan enam kali dengan air mutlak. Kalau guna kaedah lain, mungkin hanya bersih tetapi tidak suci. Tetapi apabila digunakan kaedah Islam barulah sesuatu itu bersih dalam erti kata sebenarnya. Binatang yang disembelih bukan atas nama Allah, tetap dianggap bangkai walaupun dibersihkan sebersih-bersihnya. Walaupun ajaran Islam menitikberatkan kebersihan tetapi kenapa umat Islam masih gagal merealisasikan kebersihan itu? Kita lihat sampah dibuang merata-rata di tempat tinggal orang Islam Kebersihan ini fitrah manusia. Ia disukai oleh semua orang sekalipun oleh si pengotor. Si pengotor tetap sukakan kebersihan, soal dia tidak mampu untuk bersih itu soal lain. Begitu juga Islam. Islam ialah agama kebersihan tetapi norang Islam belum tentu boleh mengamalkan kebersihan. Ajaran dan amalan nampaknya sudah terpisah. Mengapa terjadi demikian? Sebabnya, Islam tidak dihayati hingga meresap ke hati dan membentuk keyakinan. Sebaliknya, Islam hanya berlegar-legar dalam bentuk teori dalam pemikiran. Misalnya, tahu Allah ada dengan rasa Allah ada berbeza. Satu bentuk pengetahuan, yang satu lagi bentuk keyakinan. Inilah masalah umat Islam hari ini. Yang ada hanya pengetahuan, bukan keyakinan.

Remaja Dengan Ustaz

(Majalah Solusi Isu 4)

 

Soalan: Sudah jadi satu tanggapan pula, kalau rumah orang bujang biasanya dikaitkan dengan kotor dan bersepah, kecuali saya [lawak]. Apakah ustaz bersetuju dengan anggapan ini? Bagaimanakah caranya untuk mengubah tanggapan ini?

Jawapan : Itu saya tak bersetuju.n Sebab kalau kita benar-benar menghayati ajaran Islam, kita akan bersih tidak kira sama ada kita masih bujang ataupun telah berkahwin. Saya biasa melihat rumah orang bujang yang bersih, malah lebih bersih daripada rumah orang yang dah berkahwin. Tapi sekarang, tanggapan biasanya begitulah. Hasil pengalaman. Rumah orang bujang, semak samun, sampah sarap tidak bersapu dan sebagainya. Sebab dia tak ada tanggungjawab. Anak-anak tak ada. Rumah pun bukan rumah sendiri. Manakala orang yang dah berkahwin, kenalah bersih. Isteri dan anak-anak ada. Kena jadi contoh. Jadi orang yang sudah berkahwin biasanya lebih bersih hasil dorongan isteri dan anak-anak… Tetapi kalau orang bujang ada dorongan yang kuat, dia juga mampu bersih. Dan dorongan yang kuat tadi ialah keimanannya kepada Allah. Walaupun belum ada isteri, belum ada anak, tetapi kerana keimanannya kepada ajaran Islam misalnya dia yakin Allah suka orang bersih, malaikat suka masuk rumah bersih dan sebagainya, nanti dia akan jadi pembersih. Dia jadi pembersih dia kerana dorongan Allah bukan atas dorongan orang lain.

 

Remaja Dengan Ustaz

(Majalah Solusi Isu 4)

 

Soalan: Mengapa kita perlukan hati yang bersih sebagai tapak mula sebelum kita menanam azam, menyemai tekad seterusnya melakukan sesuatu perbuatan? Semuanya mesti bermula dengan hati?

Jawapan : Hidup kita ini adalah satu perjalanan menuju kepada Tuhan. Dalam musafir ini, kita perlu membawa bekalan yang cukup baik. Dalam tubuh atau diri manusia itu ada hati yang merupakan hakikat insan yang sebenar. Tubuh fizikal adalah sebagai tunggangan atau kita katakan sebagai kenderaan. Manakala hati umpama enjinnya. Bagaimanakah kenderaan itu jika enjinnya rosak? Begitulah juga manusia, bagaimana kehidupannya boleh lancar sekiranya hatinya kotor atau berpenyakit? Hasilnya, perjalanan hidup tidak dapat dilalui dengan baik. “Enjin” yakni hati bertujuan untuk memperelokkan seluruh tingkah laku. Jika hati baik, mata, kepala, kaki dan segala anggota yang lain juga baik. Semuanya menjalankan fungsi masing-masing dengan lancar. Misalnya tangan untuk bekerja dan kaki untuk berjalan.

Hati manusia perlukan ilmu makrifah (mengenal) Tuhan, untuk diisi hikmah dan lain-lain input baik yang menjadi inti pati dalam kehidupan. Jika hati tidak diberikan ilmu yang baik, hati itu menjadi hati yang sakit. Walaupun pada lahirnya kita hebat, tetapi hakikatnya kita tidak mempunyai apa-apa nilai. Harta yang banyak, pangkat yang tinggi, nama yang tersohor tidak akan membawa apa-apa ketenangan jika hati sakit atau kotor.

 

Oleh Profesor Madya Mohamad Kamil Abdul Majid,

Ketua Jabatan Dakwah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

(Majalah Solusi isu 4)

Soalan: Apabila kita mula bermuhasabah, mungkin kita tiba pada satu kesedaran, bagaimanakah status hatiku? Sihat atau sakit? Bersih atau kotor? Ini terlalu maknawi dan seni, Prof. Kalau sakit fizikal boleh kita buktikan dengan pemeriksaan kesihatan. Tapi sakit hati bagaimana? Bagaimana kita nak tahu status hati kita?

Jawapan: Kita ambil contoh yang mudah. Salah satu sifat hati yang berpenyakit adalah kedekut. Cara hendak membersihkan kedekut adalah dengan menjadi orang yang pemurah. Dengan menjadi pemurah, bermakna kita bersedia untuk memberi. Di mana memberi itu lebih baik daripada yang menerima. Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah, demikian maksud hadis. Ertinya hati kita telah bersih daripada penyakit hati tadi. Namun sekiranya pemberian itu terlampau banyak, maka ia menuju ke arah pembaziran. Itu mazmumah. Itu petanda hati yang kotor. Manakala, kalau kedekut pula, itu juga merupakan satu penyakit hati. Hakikatnya pembaziran dan kedekut, sama sahaja kedua-duanya sifat mazmumah. Kalau dua sifat itu ada pada kita, terbukti hati kita kotor. Jadi, ilmu al-Quran dan sunah sangat diperlukan untuk menyuluh di mana jalan kedekut dan yang mana satu jalan pembaziran.

Begitu juga dengan hati yang penakut dan terlalu berani. Orang kata, berani yang sampai membunuh diri. Sembrono, kata orang. Di antara kedua-dua sifat ini barulah kita katakan al-syaja’ah, yakni, keberanian yang benar dan terpimpin. Jadi semua perkara dalam kehidupan kita mesti berada pada jalan yang benar dan lurus dengan disuluh oleh ilmu wahyu. Hati yang bersih mesti membawa kita ke jalan yang lurus. Oleh sebab itu tidak ada ucapan yang lebih baik daripada “ihdinas siratal mustaqim” – tunjukilah kami jalan yang lurus. Paling tidak 17 kali kita menyebutnya sehari yakni dalam solat. Insya-Allah, dengan doa yang penuh penghayatan, harapan dan sangka baik kepada Allah, hati kita dapat dibersihkan dan berada pada “track” yang betul.

Oleh Profesor Madya Mohamad Kamil Abdul Majid,

Ketua Jabatan Dakwah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

(Majalah Solusi isu 4)

Soalan: Apakah akibat atau impak yang ada pada hati yang kotor dalam kehidupan?

Jawapan: Hati yang kotor menyebabkan manusia merana dan menderita di dunia lebih-lebih di akhirat. Hati kotor menjadikan manusia tamak haloba. Jika diberikan seberapa banyak harta kepada mereka, mereka tidak akan rasa kenyang atau cukup. Jadi ditukar daripada tamak haloba kepada ‘berpada-pada’ atau dalam istilahnya disebut sebagai “qanaah”. Orang yang “qanaah”, misalnya dia mempunyai rM100, dia akan hidup cara rM100. jika dia ada rM1000, dia hidup cara rM1000. Dalam menghadapi masalah ekonomi, tidak kira ekonomi naik atau merudum, dia dapat menyesuaikan diri dan mencapai ketenangan hati. Hati yang menjadi raja dalam kerajaan dirinya itu mampu memberikan arahan-arahan yang betul dan tepat dalam menghadapi apa jua masalah. Malangnya, ada ketikanya manusia tidak mendengar kata hatinya lagi... Ini berlaku apabila hati itu hilang “kuasa” kerana ia kotor atau sakit. Maka ketika itu tangan berbuat apa yang disukai nafsu. Segala perbuatan ikut hawa nafsu. Nafsu pula ada nafsu kebinatangan dan nafsu syaitan. Inilah dua jenis nafsu apabila hati kotor. Keduadua jenis nafsu ini sentiasa mengarah kepada kejahatan. Hanya nafsu rabbani yang dipandu oleh hati yang bersih sahaja mengarah kepada kebaikan. Inilah rahsia ketenangan. Apabila hati baik, di dunia kita hidup sejahtera, di akhirat kita diberi kebahagiaan abadi. Sebaliknya, jika hati kotor, kita menderita hidup di dunia dan lebih derita di akhirat nanti. Nauzubillah.

 

Oleh Profesor Madya Mohamad Kamil Abdul Majid,

Ketua Jabatan Dakwah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

(Majalah Solusi isu 4)

Soalan: Sekiranya kita tahu hati kita kotor, sudah ada unsur-unsur tamak, penakut dan lain-lain sifat mazmumah, bagaimanakah tindakan kita untuk “menyihatkan” kembali hati ini?

Jawapan: Dengan bahasa yang mudah, kita perlu ada fikir dan zikir. Fikir dan zikir ertinya bijak berfikir dan muhasabah. Lidah dan hati kita pula berzikir. Dengan fikir, kita mampu memahami, menilai dan menganalisis masalah. Dengan zikir, kita mempunyai ketabahan dan kekuatan jiwa untuk menghadapi masalah itu. Inilah yang sepatutnya dibuat oleh kita secara personal sebaik mengetahui hati kita kotor dan mahu bertindak membersihkannya. Tetapi ada juga individu yang tidak boleh bertindak bersendirian. Dia perlu kepada pertolongan. Bagi mencari pertolongan, kita perlukan (dalam istilah tasawuf) “syeikh” atau guru yang ikhlas dan ada kredibiliti untuk membimbing kita. Ada sesetengah guru tahu ilmu tentang selok-belok hati. Guru-guru sebegini perlu kita dekati, mereka dianggap sebagai orang yang soleh. Manakala akal atau pemikiran kita perlukan kepada rakan-rakan yang baik. Terdapat satu hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Jika kita hendak kenal seseorang itu, kita kenal rakannya.” Biasanya itik berkawan bersama itik. Begitu juga manusia ada kawannya. Sebenarnya kawan itu bukan sekadar teman, dia juga akan menentukan identiti kita. Siapa kita ditunjukkan oleh siapa kawan kita.

 

Oleh Profesor Madya Mohamad Kamil Abdul Majid,

Ketua Jabatan Dakwah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

(Majalah Solusi isu 4)

Soalan: Dikatakan tadi bahawa kita perlukan fikir dan zikir. Pada masa yang sama kita juga perlukan guru dan kawan-kawan yang baik. Pada pandangan Prof., bagaimanakah semua langkah ini boleh diterjemahkan dalam realiti kehidupan masa kini?

Jawapan: Setiap kita perlu kepada bimbingan. Jadi barangkali masalah yang berlaku, ada orang rasa mereka tidak perlu kepada bimbingan. Jika dia bersekolah, ada bimbingan guru. Di rumah pula ada bimbingan ibu bapa. Dalam masyarakat pula kita ada pembimbing-pembimbing. Tetapi yang menjadi masalah, kata orang, kalau sakit bolehlah pergi ke klinik. Tetapi “klinik hati” ini semacam tidak wujud walaupun sebenarnya tetap ada. Cuma kita harus mencari di mana klinik-klinik yang boleh menyembuhkan hati. Kita boleh melihat bagaimana orang boleh “mati” hatinya setiap hari. Kehidupannya huru-hara. Kita juga boleh lihat bagaimana orang yang hebat kerana hati yang sihat. Kehidupannya aman dan tenang. Ya, dalam musafir kepada Tuhan ini, hati itulah yang sangat penting kita jaga. Saya yakin jika ada pembudayaan dan penghayatan ilmu dan tradisi dakwah dan tarbiah yang berterusan, maka setiap kita boleh membersihkan diri atau melaksanakan “tazkiyatun nafs” secara bersendirian mahupun berkumpulan. Insya-Allah.

Oleh Profesor Madya Mohamad Kamil Abdul Majid,

Ketua Jabatan Dakwah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

(Majalah Solusi isu 4)

Soalan: Apakah faktor-faktor yang mempengaruhi komunikasi dalaman?

Jawapan: Banyak faktor yang menentukan kemampuan atau tahap komunikasi dalaman. Antaranya yang paling utama ialah faktor keyakinan. Keyakinan mempunyai kesan yang sangat besar kepada pancaindera yang lima bila berdepan dengan respon. Siapa yang mempunyai keyakinan yang kuat, maka pancainderanya juga akan kuat untuk mentafsirkan, merasai dan memberi gambaran yang positif terhadap respon yang dihadapinya.

Keyakinan pula dibentuk oleh ibu bapa, suasana, kawan, guru dan peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam hidup. Jika keyakinan kita positif, maka positif jugalah komunikasi dalaman yang berlaku ke dalam diri kita. Orang yang mempunyai keyakinan yang kuat dan positif, akan menjadi seorang yang rajin, positif dan optimis. Sebaliknya, jika keyakinan seseorang lemah, maka seseorang akan menjadi malas, negatif dan pesimis.

Faktor kedua ialah percakapan terhadap diri sendiri. Percayakah kita bahawa dalam sehari kita lebih banyak bercakap dengan diri sendiri berbanding bercakap dengan orang lain. Malangnya, 70% percakapan terhadap diri sendiri ini adalah negatif. Untuk berjaya, percakapan yang negatif ini mesti ditukar kepada yang positif. Jika tidak, kita akan melakukan sabotaj terhadap diri sendiri. ”Aku tidak boleh” mesti ditukar kepada ”aku boleh.”

Jadi, semaklah apa yang kita selalu katakan kepada diri sendiri... Apakah negatif atau positif? Jangan biarkan kita menjadi musuh terhadap diri sendiri dengan komunikasi yang menyebabkan kita ’gagal’ sebelum gagal!

 Komunikasi

(Majalah Solusi Isu Perdana)