Menu

 

A+ A A-

IRHAS NABI MUHAMMAD

Apakah perbezaan antara mukjizat dan irhas?

Mukjizat ialah keajaiban yang dikurniakan Allah kepada para rasul-Nya semasa perjuangan dakwah mereka. Mukjizat para rasul biasanya dikurniakan mengikut kesesuaian zaman masing-masing. Contohnya Nabi Musa a.s. dikurniakan mukjizat tongkat yang mampu mengalahkan ahli sihir Firaun. Nabi Isa pula dikurniakan kelebihan merawat pesakit kerana zaman baginda ialah zaman perubatan. Manakala Nabi Muhammad s.a.w. pula dikurniakan al-Quran dalam bahasa Arab yang mengalahkan semua penyair Arab.

Irhas pula bermaksud petanda kenabian sebelum para rasul dilantik secara rasmi. Ia boleh muncul sebelum atau selepas kelahiran mereka.

Adakah al-Quran menyebut tentang irhas Nabi Muhammad?

Ya. Peristiwa bergajah dalam surah al-Fil.

Bagaimanakah peristiwa kemusnahan tentera bergajah Abrahah boleh dikaitkan dengan irhas Nabi Muhammad?

Peristiwa itu berlaku pada tahun kelahiran Baginda. Lebih tepat lagi pada bulan Muharam kira-kira 50 atau 55 hari sebelum kelahiran Baginda. Sebenarnya peristiwa kebiadaban pihak kafir memusnahkan rumah Allah sudah beberapa kali berlaku dalam sejarah manusia. Antaranya seperti tindakan raja Bukhtanassar pada tahun 587 sebelum Masihi dan maharaja Rom pada tahun 70 Masihi yang memusnahkan Baitul Maqdis. Pencerobohan kedua-kedua empayar tersebut tidak mengundang hukuman segera daripada Allah walaupun penduduk Baitul Maqdis ialah orang Islam.

Sebaliknya Makkah sama sekali tidak dapat dimusnahkan oleh Abrahah walaupun ramai penduduknya mensyirikkan Allah. Maka tidak syak lagi bahawa kemuliaan Nabi s.a.w. yang bakal lahir pada tahun itulah menjadi penghalang pemusnahan Kaabah. (Al-Rahiq al-Makhtum)

irhas-nabi-muhammad-1

Adakah terdapat irhas Nabi s.a.w. selain daripada hal tersebut?

Ada. Bahkan para ulama hadis seperti Imam al-Baihaqi dan Imam Abu Nuaim al-Asbahani telah mengarang kitab yang khusus menghimpunkan hadis-hadis berkaitan dalil kerasulan Baginda s.a.w. seperti kitab Dala’il al-Nubuwwah.

Antara irhas yang berlaku selepas kelahiran Baginda adalah: Pada malam kelahiran Nabi, istana maharaja Rom bergegar dan sebanyak 14 buah balkoninya runtuh. Api sembahan orang Majusi di Parsi tiba-tiba terpadam sedangkan ia tidak pernah padam selama 1000 tahun.

irhas-nabi-muhammad-3

Kedua-dua peristiwa ini seolah-olah memberikan gambaran bahawa kelahiran Baginda akan menghapuskan dua agama besar dunia pada waktu itu. Imam Ibn Kathir juga menyebut sebuah riwayat menarik tentang keadaan Baginda semasa bayi. Menurut kebiasaan masyarakat Quraisy, bayi yang baru dilahirkan akan diberikan kepada kaum wanita Quraisy untuk satu upacara tradisi. Dalam upacara tersebut, bayi akan ditutup dengan sejenis pasu hingga pagi.

Menjelang pagi, Abdul Mutalib pergi untuk melihat keadaan Nabi yang dijaga oleh seorang wanita Quraisy. Wanita tersebut berkata: “Kami tidak pernah melihat keadaan sebagaimana yang berlaku kepada bayi ini. Pada waktu pagi ketika melihat bayi ini, kami dapati pasu yang menutupnya telah terbelah dua dan matanya terbuka melihat ke langit.” (Al-Sirah al-Nabawiyyah li al-Imam Ibn Kathir)

Ketika kecil, Baginda pernah didatangi oleh dua malaikat yang membelah dada Baginda. Kedua-dua malaikat itu juga telah mengeluarkan hati Baginda, membersihkannya serta memasukkan ke dalamnya iman. (Musnad Ahmad, Mustadrak al-Hakim dan Sunan al-Darimi)

irhas-nabi-muhammad-2

Adakah para nabi lain juga dikurniakan irhas?

Para nabi sebelum Nabi Muhammad juga dikurniai irhas. Contohnya kisah Nabi Musa yang terselamat daripada tragedi pembunuhan bayi lelaki (surah Taha 20: 36-39 dan al-Qasas 28:7-13). Begitu juga peristiwa Nabi Isa yang bercakap ketika bayi demi membersihkan nama ibunya daripada tuduhan zina (surah Maryam 19: 28-33).

Abdullah Bukhari Abdul Rahim
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.4


Abdullah Bukhari Abdul Rahim

Sarjana Usuluddin (Tafsir al-Quran), UM. Kini pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Tulisan beliau kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian. Tumpuan penulisan beliau ialah kefahaman dan interaksi dengan al-Quran. Dekati beliau di abdullahbukhari.blogspot.com. 

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas