KISAH NABI MUSA : FIRAUN DITELAN LAUT MERAH
- Ditulis oleh Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif
- Kategori Sirah Para Anbiya'
- Read 58486 times
Apabila semua keajaiban ahli sihir itu ditewaskan Musa dengan menggunakan dua mukjizat berkenaan, pengaruh Nabi Musa a.s. semakin kuat sehingga sebahagian dalam kalangan pengikut Firaun,termasuk isterinya, beriman mengikuti ajaran yang dibawa Musa a.s.
Melihatkan ahli sihir dan sebahagian pengikutnya sudah beriman dengan ajaran Nabi Musa, Firaun marah, lalu menghukum golongan berkenaan. Malah isterinya sendiri diseksa hingga meninggal dunia.
Bagi menghentikan pengaruh Musa a.s., Firaun dan para pembesarnya merancang untuk membunuh Nabi Musa a.s. seperti mana yang diceritakan oleh Allah s.w.t. dalam firman- Nya: “Dan berkatalah Firaun (kepada orang-orangnya): “Biarkanlah aku membunuh Musa, dan biarlah dia memohon kepada Tuhannya (meminta pertolongan)! Sesungguhnya aku bimbang dia akan menukar ugama kamu, atau ia menimbulkan kerosakan di muka bumi” (Surah Ghafi r 40: 26).
Firaun juga tidak henti-henti menghina Nabi Musa a.s dalam usaha menyekat pengaruhnya serta mengambil tindakan kekerasan terhadap Bani Israel. Oleh sebab berbagai penindasan dan kezaliman dilakukan oleh Firaun yang tetap dalam keingkaran, lalu Allah s.w.t. menurunkan berbagai bala sebagai pembalasan yang nyata.
Firman Allah s.w.t. dalam surah al-A’raf ayat 130 hingga 133: “Dan sesungguhnya Kami telah menimpakan Firaun dan kaumnya dengan musim kemarau dan kekurangan buah-buahan, supaya mereka insaf mengambil pelajaran. Kemudian apabila datang kepada mereka kesenangan mereka berkata: “Ini ialah hasil usaha kami”, dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka mengatakan nahas dan malang itu disebabkan oleh Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya. (Tuhan berfirman), Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya di tetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.
Dan mereka berkata: “Walau apa sahaja (jenis-jenis) keterangan (mukjizat) yang engkau bawa kepada kami; (Wahai Musa), untuk menjalankan sihirmu kepada kami, maka kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu.”
(Allah berfirman): Kami pun menghantarkan kepada mereka taufan, dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda-tanda dan bukti yang jelas nyata, maka mereka juga tetap berlaku sombong takbur dan menjadi kaum yang menderhaka.”
Menurut Ibnu Kathir dalam Qashasul Anbiya, ketika Allah s.w.t. mengirim ribut taufan, iaitu banjir besar, semua permukaan negeri Mesir terbenam dan warna airnya sangat kotor. Mereka tidak dapat bekerja di ladang dan tidak dapat berbuat apa pun.
Dalam waktu beberapa hari mereka menahan rasa lapar sebagaimana yang disebutkan dalam surah al-A’raf, ayat 134, bermaksud: Dan apabila azab yang tersebut itu menimpa mereka, mereka (merayu dengan) berkata: “Wahai Musa! pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami dengan (kehormatan) pangkat Nabi yang diberikan-Nya kepadamu. Sesungguhnya jika engkau hapuskan azab itu daripada kami, tentulah kami akan beriman kepada-Mu, dan sudah tentu kami akan membebaskan kaum Bani Israel (pergi) bersamamu.”
Musa a.s. berdoa kepada Allah s.w.t., lalu azab tersebut dicabut daripada mereka. Setelah mereka bebas dari azab tersebut, mereka bukannya beriman, yakni mungkir akan janji yang diucap, maka Allah s.w.t. kembali mengirimkan azab kepada mereka, kali ini berupa serangan belalang.
Setiap tanaman dan pokok-pokok berdaun yang ada di permukaan bumi, habis dimakan belalang daun-daunnya. Setelah habis bahan makanan belalan itu, daun-daun pintu mereka yang dibuat dari kayu pula menjadi mangsa belalang itu sehingga rumah-rumah mereka telopong tanpa pintu. Ahli tafsir mengatakan bahawa kaum Bani Israel meminta izin kepada Firaun agar di benarkan mereka keluar untuk merayakan hari kebesaran mereka. Firaun mengizinkan, walaupun tidak menyukainya. Benarlah kebimbangannya,kaumnya sebenarnya telah mempersiapkan diri untuk melarikan diri.
Mereka merancang helah itu agar dapat membebaskan diri daripada Firaun dan tenteranya. Allah s.w.t. memerintahkan supaya mereka meminjam alatan perhiasan daripada musuh mereka untuk keperluan perayaan itu. Musuh mereka meminjamkan perhiasan itu dalam jumlah yang besar. Mereka keluar secara diam-diam pada malam hari dan berjalan dalam kegelapan. Menuju jalan ke timur, menghala ke Syam.
Tatkala Firaun mengetahui bahawa kaum Bani Israel telah melarikan diri, dia sangat marah. Firaun lalu mengarahkan segenap tenteranya untuk mencari mereka.
Jumlah tentera Firaun yang terlibat secara keseluruhannya mencapai 1,600,000 orang. Manakala jumlah kaum Bani Israel yang bertindak keluar ketika itu 600,000 orang, tidak termasuk kanak-kanak.
Nabi Musa a.s. bersama orang beriman terpaksa melarikan diri sehingga mereka sampai di Laut Merah. Namun, Firaun dan tenteranya yang sudah mengamuk mengejar mereka dari belakang.
Allah s.w.t. berfirman: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah wahyukan kepada Nabi Musa: ‘Hendaklah engkau membawa hamba-hamba-Ku (kaummu) keluar pada waktu malam, kemudian pukullah air laut dengan tongkatmu, untuk mengadakan jalan yang kering bagi mereka di laut itu; janganlah engkau menaruh bimbang akan ditangkap oleh musuh, dan jangan pula engkau takut tenggelam.” (Surah Taha 20: 77)
“Maka Firaun pun mengejar mereka bersama-sama dengan tenteranya, lalu ia dan orang-orangnya diliputi oleh air laut yang menenggelamkan mereka semuanya dengan cara yang sedahsyat-dahsyatnya. Dan dengan itu Firaun telah menjerumuskan kaumnya ketempat kebinasaan, dan tidaklah ia membawa mereka ke jalan yang benar.” (Taha: 78-79)
Dalam Qasasul Anbiya, Ibnu Kathir meriwayatkan bahawa keadaan air laut ketika itu berdiri teguh seperti dinding gunung, apabila dipukul oleh Nabi Musa a.s dengan tongkatnya.
Peristiwa ini jelas menunjukkan kekuasaan yang Maha Agung. Apabila Allah s.w.t. menghendaki terjadinya sesuatu, maka dengan berkata, “Kun” (jadilah), maka terjadilah ia.
Pada waktu yang sama, Allah s.w.t.memerintahkan angin barat lalu meniup lumpur hitam di laut hingga menjadi kering, tidak melekat pada kaki kuda atau kaki haiwan lainnya yang dijadikan tunggangan.
Allah s.w.t. berfirman dalam surah al- Dukhan ayat 23-24: “Lalu (diperintahkan kepadanya): ‘Bawalah hamba-hamba-Ku (pengikut-pengikutmu) keluar pada waktu malam, kerana sesungguhnya kamu akan dikejar (oleh Firaun dan orang-orangnya).’Dan tinggalkanlah laut itu dalam keadaantenang – terbelah, kerana sesungguhnya mereka (yang mengejarmu itu) ialah tentera yang akan ditenggelamkan (sehingga binasa).”
Ketika Firaun merasakan tanda-tanda kematiannya telah hampir, muncul kesedaran dan keinsafan di dalam dirinya. Dia lantas bertaubat dan baru menyatakan beriman kepada Allah Yang Esa, namun ketika itu sudah tidak bermakna lagi taubatnya.
Allah s.w.t. berfirman dalam surah Yunus:
“Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): ‘Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil,dan aku adalah daripada orang yang berserah diri.”
Allah seterusnya berfirman: “Adakah sekarang (baru engkau beriman), padahalsesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telah pun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan? Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripadaditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil iktibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!” (Surah Yunus 10: 90-92)
Menurut catatan sejarah, bahawa mayat Firaun terdampar di pantai dan ditemui oleh orang-orang Mesir, lalu diawet hingga utuh sehingga sekarang.
Mohd Wahid Abd Hanif
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 8
Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif
Lulusan BA (hons) Usuluddin (Akidah dan Falsafah) di Universiti al-Azhar, Mesir. Antara guru beliau Syeikh ‘Ali Jumaah (mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki. Antara buku yang beliau hasilkan iaitu buku mengaji Kaedah al-Matien bersama Ustaz Zamri Zainuldin. Kini beliau bertugas sebagai Editor Majalah di syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.