Menu

 

A+ A A-

BERBEKAM

PADA era teknologi yang semakin canggih, dunia perubatan turut mengalami kemajuan yang pesat. Manusia pada kebiasaannya apabila mereka ditimpa penyakit, mereka akan terfikir hospital atau klinik.

Mungkin ada dalam kalangan orang Islam sendiri tidak pernah terfikir dalam Islam ada perubatan atau rawatan. Nabi Muhammad s.a.w. bukanlah sahaja seorang Rasul, tetapi Baginda juga merupakan doktor yang merawat pesakit, memperkenalkan pencegahan serta perubatan yang terbaik kepada umat manusia. Rawatan Baginda merupakan wahyu perkhabaran daripada Tuhan, yang mengurniakan kesihatan juga penyakit. Salah satu bentuk perubatan dan rawatan yang diperkenalkan Rasulullah s.a.w. adalah berbekam.

Tidak dinafikan, ada yang mengatakan perubatan cara ini ketinggalan zaman. Mungkin jika dibandingkan dengan perubatan moden ia agak kelihatan tidak meyakinkan. Hakikatnya berbekam ini merupakan rawatan yang mengubati banyak penyakit seperti pening, penyakit sendi, banyak tidur dan sebagainya. Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa berbekam adalah sebaik-baik rawatan penyakit. Antara hadis yang menyebutnya iaitu sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim. Anas bin Malik r.a. melaporkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik pengubatan yang kamu gunakan untuk berubat adalah berbekam.”

Antara kelebihan berbekam pula Rasulullah s.a.w. bersabda dalam beberapa hadis Baginda s.a.w. antaranya:

Daripada Ibn Abbas bahawasanya Rasulullah s.a.w. berbekam pada ketika dia ihram, untuk menghilangkan rasa sakit yang ada di kepalanya.

Daripada Jabir bahawasanya Nabi s.a.w. berbekam pada masa Baginda ihram kerana penyakit reumatisme yang menimpanya.

Adapun Imam alNasa’i melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w. berbekam ketika Baginda ihram untuk menghilangkan sakit tulang yang ada pada belakangnya.

Pengenalan Rawatan Berbekam

Bekam atau hijamah adalah teknik pengubatan dengan cara membuang darah kotor (racun yang berbahaya) dari dalam tubuh melalui permukaan kulit. Perkataan al-hijamah berasal dari bahasa Arab hijama yang bererti pelepasan darah kotor. Dalam bahasa Inggeris disebut cupping dan dalam bahasa Melayu dikenali dengan istilah bekam.

Bekam merupakan pengubatan yang digalakkan oleh Nabi s.a.w., sebagaimana dijelaskan dalam hadis.

Daripada Ibn Abbas r.a. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Kesembuhan (ubat) itu ada pada tiga hal: dengan minum madu, pisau hijamah (bekam), dan dengan besi panas. Dan aku melarang umatku dengan besi panas.” (Riwayat alBukhari)

Waktu Berbekam

Daripada Nafi , daripada Ibn Umar bahawa ia berkata: “Ya Nafi ’, darah saya membeku, carikan untukku seorang pembekam. Kalau boleh carikan pembekam daripada kalangan hamba, jangan mencari orang tua atau kanak-kanak kecil, kerana saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, berbekam kepada seorang hamba itu lebih baik, di dalamnya ada kesembuhan dan barakah, serta menambah kekuatan menghafal. Maka berbekamlah untuk mencari berkat Allah pada hari Khamis dan jauhilah berbekam pada hari Rabu, Jumaat, Sabtu dan Ahad untuk kepanasan. Berbekamlah pada hari Isnin dan Selasa, kerana itu adalah hari ketika Allah sembuhkan Nabi Ayub daripada penyakit dan menguji dengannya dengan penyakit pada hari Rabu. Sesungguhnya tidak muncul penyakit sopak dan kusta kecuali pada hari Rabu atau malam Rabu.” (Riwayat Ibn Majah)

Berbekam paling baik dilakukan ketika pertengahan bulan kerana ketika itu, darah toksik berhimpun. Bagaimanapun, berbekam boleh dilakukan pada bila-bila masa untuk tujuan mengubati penyakit.

Mereka yang hendak berbekam dinasihatkan tidak makan makanan berat antara dua hingga tiga jam sebelum berbekam dan lebih baik berpuasa sebelum berbekam.

2Berbekam

Jenis Bekam

1. Bekam Kering

Bekam kering atau bekam angin adalah menghisap permukaan kulit tanpa mengeluarkan darah toksik. Biasanya orang tidak tahan suntikan jarum atau takut melihat darah. Mengikut kaedah tradisional, kulit yang dibekam akan kelihatan merah kehitaman dan hilang selepas kira-kira tiga hari.

 2. Bekam Basah

Bekam ini dilakukan dengan melukai permukaan kulit menggunakan jarum tajam. Darah toksik dikeluarkan menggunakan alat pengamal bekam. Setiap kali proses mengeluarkan darah toksik adalah antara tiga hingga lima minit. Darah toksik dikenal pasti berdasarkan warna merah pekat dan berbuih. Mereka yang berbekam dinasihati tidak mandi selama tiga jam selepas berbekam.

Alat Berbekam

Pada zaman Nabi Muhammad, cawan atau mangkuk kaca digunakan untuk berbekam, manakala orang Cina pada zaman kuno, menggunakan tanduk. Orang Eropah pada abad ke18 menggunakan lintah untuk menghisap darah toksik dan kaedah ini masih digunakan di sesetengah tempat di Barat hingga sekarang.

Ketika masih ada pengamal bekam menggunakan kaedah tradisional, perubatan bekam mula menerapkan unsur moden melalui penggunaan alat seperti mangkuk, pisau pembedahan, bahan antiseptik, manakala pengamal bekam menggunakan sarung tangan yang sama seperti pengamal perubatan moden.

Larangan Berbekam

Tidak semua orang boleh berbekam kerana dikhuatiri boleh memudaratkan kesihatan. Mereka termasuk orang yang mempunyai masalah tekanan darah rendah, pesakit kudis, perempuan mengandung dan ketika haid, masalah kulit yang serius atau dalam keadaan sangat letih, lapar dan kenyang. Antara anggota bahagian tubuh yang tidak boleh dibekam ialah mata, telinga, hidung, mulut, alat kelamin dan dubur.¤

 

Ustaz Mohd Wahid Abd Hanif

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.3

 

Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif

Lulusan BA (hons) Usuluddin (Akidah dan Falsafah) di Universiti al-Azhar, Mesir. Antara guru beliau Syeikh ‘Ali Jumaah (mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki. Antara buku yang beliau hasilkan iaitu buku mengaji Kaedah al-Matien bersama Ustaz Zamri Zainuldin. Kini beliau bertugas sebagai Editor Majalah di syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas