Menu

 

A+ A A-

PENANGAN AIR TANGAN

MASAKAN ibu ialah masakan yang paling sedap. Begitu selalunya dikatakan orang. Realitinya pun begitu. Percayalah seorang anak akan sentiasa merindui masakan ibunya jika terpisah sekian lama.

Rindu masakan ibu sering melanda anak-anak. Walaupun si anak mungkin pernah menjamah makanan yang lebih mahal, eksotik dan sebagainya tetapi manakan sama masakan ibu. Mengapa?

Kata orang, itulah penangan “air tangan”. Memasak melalui pelbagai proses daripada menyiang, membasuh, menggaul, menguli dan lain-lain aktiviti yang kebanyakannya melibatkan sentuhan tangan secara lang sung. Tangan tukang masaklah yang paling banyak menyentuh makanan. Jadi, dalam masakan ibu, air tangannyalah yang paling banyak 'terlarut’ bersama bahan-bahan masakan.

Benarkah air tangan itu yang memberi kelazatan pada makanan yang dimasak. Benarkah begitu?

1Penangan Air Tangan images

Hakikatnya, itu bukan sebabnya. Air tangan yang dimaksudkan bukanlah “air” dalam erti kata yang fizikal dan material. Air tangan sebenarnya ialah aliran kasih sayang, kesungguhan, keceriaan dan ketulusan hati seorang ibu yang memasak untuk anaknya. Hati itulah yang mengalirkan “air tangan”. Jadi, air tangan pada hakikatnya ialah aliran kasih sayang semasa ibu memasak untuk anaknya.

Pakar motivasi dan psikologi sepakat menegaskan bahawa orang yang melakukan satu kerja dengan penuh kasih sayang, ceria dan tulus, hasil kerjanya akan berkualiti. Dorongan kerjanya bukan untuk “mendapat” tetapi untuk “memberi”. Seorang ibu yang memasak adalah didorong untuk memberi kasih sayang kepada anaknya, berbanding seorang chef yang memasak atas dorongan ganjaran komersial. Itulah faktor yang menyedapkan masakannya.

Justeru semakin ikhlas, ceria dan kasih seseorang pada pekerjaannya dan kepada siapa dia tujukan atas kerjanya itu, maka semakin tinggilah kualiti kerja tersebut. Dan semakin kurang keikhlasan, keceriaan dan kasih seseorang semasa melakukan kerjanya, maka semakin rendahlah kualiti dan produktiviti kerja tersebut.

Realitinya, “air tangan” bukan hanya ada pada kerja memasak. Ia ada dalam setiap jenis pekerjaan. Ia adalah aliran kasih sayang dan kecintaan yang seharusnya mengalir dalam setiap pekerja, pemimpin, guru, imam, jurutera, doktor, jururawat sehingga seorang buruh kasar.

Setiap individu Muslim wajar bekerja kerana Allah untuk “memberi khidmat” kepada manusia. Seorang yang paling kasihkan Allah, dialah yang paling kasihkan manusia dan orang seperti inilah yang paling tinggi kualiti kerjanya. “Air tangannya” akan sentiasa mengalir untuk memberi bakti yang terbaik dan sempurna.

Falsafah di sebalik “air tangan” inilah saya kira dapat merealisasikan dorongan Rasulullah s.a.w. agar setiap kita memperelokkan kerja menerusi sabdanya yang bermaksud:

“Bahawasanya Allah s.w.t. suka apabila seseorang dari kamu membuat sesuatu kerja, dia memperelokkan kerjanya. ¤

 

Solusi

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.3

 


 

Solusi

Berteraskan motto untuk menjadikan majalah Solusi sebagai panduan ke arah hidup yang bersyariat yang bersasarkan al-Quran & Sunnah. Berkonsepkan keagamaan yang menyentuh soal fardhu ain dan juga motivasi. Sesuai untuk dijadikan bahan bacaan harian untuk mendidik diri, menambah ilmu dan dikongsikan bersama.

 

Dapatkan majalah Solusi keluaran terbaru di Addeen Online Store!

Kembali ke atas