Menu

 

A+ A A-

IMAM SHAFIE

IMAM Syafie merupakan seorang ulamak yang menguasai pelbagai ilmu. Berkata al-Rabi’: Imam Syafie bila beliau bermuzakarah dengan manusia, beliau akan bercakap mengikut kadar kefahaman mereka sahaja. Kalaulah beliau bercakap mengikut ketinggian ilmunya, pasti mereka tidak akan memahaminya.”

Beliau sangat mahir dalam kesusasteraan bahasa Arab dan percakapannya dianggap sebagai hujah dalam bahasa. Berkata Ibnu Hisyam: Percakapan dianggap sebagai hujah dalam bahasa. Berkata Ibnu Hisyam: Percakapan “Imam Syafie adalah hujah dalam bahasa.” Katanya al-Jahiz pula: “Aku banyak membaca penulisan orang-orang yang hebat dalam ilmu, tetapi tiada seorang pun yang lebih cantik penulisannya berbanding ImamSyafie. Perkataannya seolah-olah permata-permata yang diatur.”

Imam Syafie mempelajari bahasa Arab selama tujuh belas tahun dan daripada Huzail, iaitu kabilah Arab Badwi yang sangat fasih.

Khatam Al-Quran

Nama Imam Syafie ialah Muhammad bin Idris bin al-Abbas bin Usman bin Syafie. Gelarannya ialah Abu Abdillah dan beliau berketurunan Quraisy. Nasab keturunan beliau bertemu dengan nasab Rasulullah s.a.w. pada Abdul Muttalib. Imam Syafie adalah daripada keturunan Hasyim, bapa saudara Nabi s.a.w. Dilahirkan di Ghazzah (Semenanjung Gaza), di Palestin pada tahun 150H, ayah beliau meninggal semasa beliau masih kecil dan ibunyalah yang menjaga dan membawanya tinggal di Makkah.

Imam Syafie telah khatam menghafal al-Quran ketika berumur tujuh tahun dan hafal kitab Muwatta’ Imam Malik ketika berumur sepuluh tahun. Beliau dikatakan mengkhatam al-Quran pada setiap hari. Dan dalam perjalanan untuk menuntut ilmu dari Makkah ke Madinah, beliau sempat khatam sebanyak enam belas kali.

Beliau merupakan pengasas ilmu Usul Fiqh. Kitabnya yang masyhur ialah Al-Risalah dan Al-Um. Imam Syafie belajar mendalami bahasa Arab dan sejarah selama dua puluh tahun dan beliau berkata, “Tidak ada tujuan lain bagiku daripada pelajaran tersebut melainkan untuk membantu kefahaman (ilmu fiqah)”.

Beliau juga sangat mahir dalam tafsir. Berkata Yunus bin Abdul A’la, “Sesungguhnya Imam Syafie bila beliau menghuraikan tafsir, seolah-olah beliau juga berada ketika penurunan al-Quran.”

Imam Syafie sangat menyanjungi para muhaddisin (ahli hadis) dan beliau pernah berkata, “Para muhaddisin adalah tetamu Allah. Bila aku melihat seorang ahli hadis, maka seolah-olah aku melihat seorang sahabat Nabi s.a.w.” Dan beliau juga merupakan salah seorang daripada mereka.

Mengenali Selok-belok Ilmu Hadis

Beliau berkata, “Aku dipanggil di Baghdad sebagai Nasirul Hadis (penegak hadis).” Al-Zahabi berkata, “Imam Syafie adalah seorang penghafal hadis dan beliau juga orang yang mengenali selok-belok ilmu hadis.”

Imam Syafie pernah berkata: “Apabila hadis itu sahih, maka itulah mazhabku.” Beliau juga berkata: “Setiap pendapatku yang mana berlawanan dengan hadis Nabi yang sahih, maka hadis Nabi lebih perlu diikuti, dan janganlah kamu taqlid kepadaku.”

Imam Syafie juga seorang yang zuhud dan sangat taatkan ibunya. Beliau menceritakan bahawa setelah pulang ke Makkah, Imam Malik telah memberikannya separuh daripada hartanya. Beliau juga membawa harta-harta yang diperolehi dari Khurasan dan Mesir. Bila sampai di Makkah, ibunya datang menyambutnya dan memeluknya dan berkata: “Adakah kamu mahu pulang ke rumah dengan harta yang sebegini banyak? Kamu keluar sebelum ini dalam keadaan miskin, adakah kamu mahu bermegah-megah dengan sepupu-sepupu kamu?”

Akhirnya ibunya menyuruhnya sedekahkan sahaja harta tersebut, dan Imam Syafie pun menyedekahkannya kepada para fakir miskin. Imam Syafie juga mempunyai kelebihan dalam firasat. Suatu ketika beliau duduk bersama dengan Al-Humaidiyy dan Muhammad bin al-Hasan,

Tiba-tiba lalu seorang lelaki. Lalu Imam Muhammad berkata: “Cuba kamu tengok orang ini.” Imam Syafie memerhatikan orang tersebut tanpa berkata apa-apa.

Imam Muhammad bertanya: “Adakah kamu kesamaran terhadapnya?” Beliau menjawab, “Aku kurang pasti sama ada dia seorang tukang jahit ataupun seorang tukang kayu.” Imam al-Humaidiyy bangun dan pergi bertanyakan orang lelaki tersebut. Lelaki tersebut menjawab: “Aku memang seorang tukang kayu, tetapi hari ini aku sudah mula bekerja sebagai tukang jahit.”

Imam Syafie juga merupakan seorang pemanah yang hebat. Dalam sepuluh panahannya, tidak ada satu pun yang melencong daripada sasaran.

shafie4

Pujian Para Ulama

Sebenarnya terlalu banyak pujian para ulama terhadap Imam Syafie. Al-Husain bin MuhammadAl-Karabisiy berkata, “Aku tidak pernah lihat satu majlis ilmu yang lebih hebat daripada majlis Imam Syafie. Majlis beliau dihadiri oleh para muhaddisin, fuqaha dan juga penyair, dan kesemua mereka mendapat ilmu daripadanya.”

Beliau juga berkata: “Aku tidak pernah jumpa orang yang setaraf dengan Imam Syafie dan beliau (Imam Syafie) juga tidak nampak orang yang setaraf dengannya.”

Berkata Sa’lab, “Imam Syafie merupakan seorang Imam dalam ilmu bahasa.” Abi AbdillahNuftuwaih pula berkata, “Perumpamaan Imam Syafie di kalangan para ulama (di zamannya)adalah seperti bulan purnama di kalangan bintang-bintang di langit.”

Antara guru Imam Syafie selain Imam Malik ialah mufti Makkah iaitu Muslim bin Khalid az-Zanji, dan Syeikh Sufyan bin Uyaynah. Syeikh Sufyan pernah berkata tentang Imam Syafie: “Dialah (Imam Syafie) sebaik-baik pemuda zamannya.”

shafie3

Antara muridnya pula ialah Imam Ahmad bin Hanbal. Imam Ahmad sangat menyayangi Imam Syafi e. Beliau pernah berkata, “Sesungguhnya aku sentiasa berdoa di dalam solatku kepada Imam Syafie semenjak empat puluh tahun. Tidak ada seorang pun di kalangan fuqaha yang terlalu mengikut hadis Nabi berbanding Imam Syafie.” Apabila anak beliau bertanyakan kenapa beliau banyak berdoa kepada Imam Syafie, beliau menjawab, “Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya Imam Syafie itu bagaikan matahari bagi dunia ini dan seperti afiat bagi badan, maka adakah lagi yang kamu nampak yang boleh menggantikan kedua-dua ini?” ¤

 

Solusi

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu Perdana

 

Solusi

Berteraskan motto untuk menjadikan majalah Solusi sebagai panduan ke arah hidup yang bersyariat yang bersasarkan al-Quran & Sunnah. Berkonsepkan keagamaan yang menyentuh soal fardhu ain dan juga motivasi. Sesuai untuk dijadikan bahan bacaan harian untuk mendidik diri, menambah ilmu dan dikongsikan bersama.

 

Dapatkan majalah Solusi keluaran terbaru di Addeen Online Store!

Artikel berkaitan: AL-SYAFII »
Kembali ke atas