Menu

 

A+ A A-

DIALOG GEN Y ANTARA IMAN DAN KUFUR

“Susah betul saya nak datang program ini, ustaz,” kata Salina.“Kenapa tu?” saya bertanya. “Mama dengan Papa bergaduh tentang program ini. Papa suruh saya datang. Tetapi Mama tak  bagi,” ceritanya.

Telus.

“Boleh ustaz tahu, kenapa Mama awak tak bagi awak ikut program ini?” Saya melanjutkan perbualan. “Mama tak suka anak dia pergi program-program yang ada video mati-mati ni, ada menangis-menangis dalam gelap dan lain-lain. It’s kinda stupid!” jawab Salina tanpa
Berselindung-selindung.

“So, what do you think?” saya meneruskan soalan. “Well, dalam program ini ada ke benda-benda tu, ustaz?” tanya beliau lagi.

“Kalau tak ada, awak nak ke?” saya menyoal dengan nada provokasi sambil tersenyum. “Kalau ada, boring. Kalau tak ada, saya nak tahulah kenapa tak ada?” beliau menyoal saya.

“Sebab apa boring?” saya menjawab semua soalan dengan soalan. “Ye lah, too predictable.   Dah banyak dah kursus macam tu. Kalau tutup lampu sahaja, mesti nak suruh menangis. Kenapa dalam kem-kem agama kena menangis-nangis,  ustaz?” tanyanya lagi.

Wah, saya suka dengan pelajar ini.

Beliau berani bertanya dan membuka dirinya untuk difahami. Bagi saya yang bersungguh cuba beramal dengan kaedah “seek first to understand, then to be understood”, bertemu dengan orang yang let themselves to be understood adalah satu bonus. Biar sekeras mana sekali pun pendedahan dirinya.

Ukuran Keberkesanan

“Kami dibayar oleh ibu bapa kamu. Selain daripada bayaran itu adalah untuk harga makan, minum, penginapan dan semua alat yang diguna pakai di sini, ia juga komitmen kami untuk pastikan kursus yang dibuat ini berkesan. Malangnya, ramai pihak yang mencari jalan mudah untuk mengukur kesan. Kalau berjaya mengeluarkan air mata peserta, berkesanlah tu,” saya menjelaskan. “Habis, kalau program ini tiada menangis-nangis, macam mana ustaz mengukur berkesan atau tidak berkesannya program ini?” tanyanya lagi.

“Apabila persoalan hidup peserta terjawab. Apabila Pengalaman berinteraksi dengan anak-anak remaja, menunjukkan betapa banyak rahsia yang bersarang di benak fikiran mereka.  Kita perlu yakinkan mereka bahawa kita faham  tentang mereka, dunia mereka, masalah mereka, dan kita bukannya untuk membasuh akal atau mendoktrinkan mereka. Jawapan itu menyebabkan mereka pulang dengan berfikir. Kursus ini adalah rawatan kepada penyakit malas berfikir,” saya memberi penjelasan. Hampir terlupa yang sebenarnya pelajar di hadapan saya itu bersama dua lagi rakannya adalah pelajar Tingkatan 4.

Keberaniannya amat saya hargai. Biar pun bagi sesetengah orang, pertanyaan-pertanyaan sebegitu boleh dianggap biadab, namun saya amat mengalu-alukan dialog sebegini. “Kalau macam itu, saya ada satu soalan yang saya nak tanya ustaz. Dah lama saya nak tanya benda ni tapi saya takut” katanya. “Tanyalah. Semalam ustaz dah sebut, kan? Apa sahaja yang tidak boleh ditanya di luar sana, boleh ditanya di sini” saya memberi lampu hijau.

“Ok. Saya rasa selagi soalan ini tidak berjawab, saya pun tak pasti adakah saya ni sebenarnya Islam atau tidak!” tegas beliau. Aduh, begitu sekali. Mujurlah dia teringat untuk bertanya.

gen-y

Soalan Maut

“Saya rasa, Allah berikan semua benda supaya kita percayakan Dia. Beri al-Quran, beri alam semesta dan macam-macam lagi. Tapi satu sahaja yang Allah tidak beri. Dan saya rasa disebabkan oleh Allah tidak beri yang ini, saya susah nak bulatkan kepercayaan saya kepada-Nya. Kenapa Allah tidak beri peluang kita tengok Dia?” Tanya Salina.

Sepi seketika. Nampaknya semakin ramai yang menyertai perbualan kami. Bagus sebenarnya dikosongkan waktu antara Maghrib dan Isyak kerana berdasarkan pengalaman saya, inilah waktu santai yang bisa mencungkil pelbagai cerita yang tidak boleh dicungkil di dewan kuliah.

“Salina pelajar kelas Sains ke?” “Ya,” jawabnya. “Ok, ustaz jawab ikut pelajaran sains awak ya!” saya memulakan jawapan. Dia mengangguk. “Untuk membolehkan kita melihat sesuatu, benda itu mestilah lemah. Lemah dalam erti kata ia perlu tunduk kepada undang-undang tertentu. Awak rasa undang-undang apa?” saya mengujinya secara bertahap.

“Sunnatullah!” katanya. Mungkin memetik kuliah saya sebelumnya. “Kita ketepikan istilah sunnatullah. Kita guna istilah yang awak lebih familiar. Benda yang kita nak tengok, ia kena lemah dalam erti kata, ia kena tunduk dan tertakluk kepada hukum sains. Ia perlu berimej. Cahaya dan rupanya mestilah boleh dilantun ke mata, ditafsirkan oleh mata, dihantar ke otak dan difahami sebagai apa dan apa. Kita tidak nampak Allah sebab Allah berada “di atas” undang-undang tersebut. So, apa sahaja yang mampu dilihat oleh mata, adalah lemah, dan ia adalah makhluk, bukan Tuhan. Sebab ia tertakluk kepada hukum alam iaitu sains,”

Saya mencuba perlahan-lahan. Terkenang diskusi saya bersama Prof. Khazani dan beberapa orang rakan tentang hal-hal sebegini. Memanfaatkan sains untuk mengukuhkan kepercayaan. “Maksud ustaz, bukan Allah tak bagi kita tengok Dia, tapi kita yang tak mampu tengok Dia?” tanya beliau.

“Exactly!!! Benar. Betul sekali,” saya terpana dengan kesimpulan yang dibuatnya. “Itulah makna kita menyebut AllahuAkbar!” saya menambah paku.  Beliau mengangguk. “Awak rasa macam mana?” saya menyoal.  “Logik. Ok, thanks ustaz. Tu ramai lagi nak tanya soalan kepada ustaz. Saya minta diri dulu,” katanya. Beliau mula bangun meminta diri. “So, betullah esok tak ada menangis-nangis?” tanyanya sambil membetulkan tudung.

 “Kalau ada pun, bukan sebab saya. Tapi sebab awak menangis sendiri,” saya mengakhiri perbualan.

Kepedulian

Petikan dialog di atas adalah suatu kisah yang berlaku semasa saya mengendalikan sebuah kem remaja. Ia menjadi punca mengapa saya tidak mahu membuat program dengan jumlah peserta mencecah seratus atau lebih.

Pengalaman berinteraksi dengan anak-anak remaja hari ini, menunjukkan betapa banyak rahsia yang bersarang di benak fikiran mereka, yang perlu dicungkil dan dileraikan. Sebelum rahsia itu boleh dicungkil, kita harus membantu agar mereka percaya untuk bertanya kepada kita. Kita perlu yakinkan mereka bahawa kita faham tentang mereka, dunia mereka, masalah mereka, dan kita bukannya bertindak untuk membasuh akal atau mendoktrinkan mereka.

Apa yang kita perlukan adalah kembali kepada pendekatan Rasulullah s.a.w. tatkala berdepan dengan minda dan jiwa remaja. Baginda tidak menghukum atau menutup ruang perbicaraan, malah menggunakan kaedah bersoal jawab yang amat menarik.

Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad daripada Abi Umamah, pada suatu ketika seorang anak muda mendatangi Nabi s.a.w. dan Nabi ketika itu sedang duduk bersama-sama dengan para sahabat. Anak muda itu berkata, “Ya Rasulullah, benarkan aku berzina!” Keberanian anak muda itu sungguh luar biasa. Meminta kebenaran untuk berzina daripada Nabi Allah, di tengah-tengah majlis bersama para sahabat. Keberanian dan ketelusan yang mana hari ini dikaitkan dengan tabiat Generasi-Y. Generasi anak-anak muda semasa.

Bagaimanakah sikap Nabi kepada permintaan anak muda ini? Sahabat yang berada di situ mula arah, tetapi Baginda adalah Rasul yang mesra remaja. Baginda memanggil anak muda itu agar dekat dan duduk di sisinya. Berlakulah dialog berikut: Baginda bertanya, “Apa engkau mahu zina itu terjadi kepada ibumu?”

Si pemuda menjawab, “Sekali-kali tidak! Demi Allah yang menjadikan saya sebagai tebusan tuan.”

Maka bersabda Rasul, “Begitu pula orang lain. Mereka tidak mahu zina itu terjadi pada ibu mereka.”

Baginda bertanya lagi, “Apakah engkau mahu zina itu terjadi pada adik beradik perempuanmu?”

Si pemuda menjawab, “Sekali-kali tidak! Demi Allah yang menjadikan saya sebagai tebusan  tuan.”

Maka bersabda Rasul, “Begitu pula orang lain. Mereka tidak mahu zina itu terjadi pada adik beradik perempuan mereka.”

Rasulullah bertanya lagi, “Apa kau mahu zina itu terjadi pada saudara-saudara perempuan bapamu?”

Si pemuda menjawab, “Sekali-kali tidak! Demi Allah yang menjadikan saya sebagai tebusan tuan.”

Maka bersabda Rasul, “Begitu pula orang lain. Mereka tidak mahu zina itu terjadi pada saudara-saudara perempuan bapa mereka.” Rasulullah bertanya lagi, “Apa kau ingin zina itu terjadi pada saudara-saudara perempuan ibumu?”

Si pemuda menjawab, “Sekali-kali tidak! Demi Allah yang menjadikan saya sebagai tebusan tuan.”

Maka bersabda Rasul, “Begitu pula orang lain. Mereka tidak ingin zina itu terjadi pada saudara-saudara perempuan ibu mereka.” Jika kamu tidak merestui zina itu berlaku sedemikian rupa, bagaimanakah mungkin kamu mengharapkan orang lain merestui  zina itu kamu lakukan terhadap perempuan mereka?

Dialog ini telah begitu menggoncang jiwa anak muda. Lalu beliau berkata, “Mintalah daripada Allah agar membersihkan hatiku, ya Rasulullah!” Lalu baginda s.a.w. meletakkan tangannya ke atas anak muda itu dan berdoa, “Ya Allah bersihkanlah hati anak muda ini, peliharalah kemaluannya dan ampunkanlah dosanya!” Perbualan dialektik ini adalah pendekatan Nabi s.a.w. dalam mendidik generasi mudanya.

Pendekatan yang tenggelam oleh sikap kita yang dewasa ini dalam mengenakan nasihat, amaran dan kemarahan kepada anak muda. Sesungguhnya demi menyelamatkan generasi pewaris ini: Jangan dijatuhkan harga diri mereka. Jangan diremehkan keupayaan berfikir mereka.

Lebih banyak peserta seperti ini hadir ke program “Islamik” yang “menghina upaya berfikir” mereka, lebih teruklah agama dibidas persepsi dan pandangan sinikal Generasi-Y. Remaja oh remaja, banyak yang kupelajari daripada kalian ¤.


Oleh Ust Hasrizal Abd Jamil
Sumber artikel daripada majalah Solusi

 


 

Hasrizal Abdul Jamil

Lahir di Ipoh, Perak dan mendapat Ijazah Sarjana Muda (Hons) Syariah dan Pengajian Islamic, dari Universiti Mu’tah, Jordan. Berpengalaman sebagai guru, pengetua dan imam sambilan di Northen Ireland, dan pernah menjadi Pen. Pengarah Penyelidikan dan Modul Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Sedang menyambung pelajaran di peringkat Sarjana, Sains Kemanusiaan (Sejarah dan Tamadun) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Di samping sebagai kolumnis beberapa majalah, beliau kini beliau sebagai kaunselor pesakit di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur. Beliau aktif di dalam laman web beliau, www.saifulislam.com.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

gb0043 gb0043

Kembali ke atas