Menu

 

A+ A A-

JOM PUASA ENAM

Hukum “Puasa Enam”

Saya berazam untuk berpuasa enam pada tahun ini. Mohon ustaz sebutkan hadis Nabi yang menggalakkan kita melakukan puasa tersebut.

Jawapan:

Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kemudian mengikutinya dengan (puasa) enam hari pada bulan Syawal, maka seolah-olahnya dia berpuasa sepanjang tahun.” (Riwayat Muslim) Berdasarkan hadis ini, kebanyakan ulama menetapkan bahawa puasa enam hari pada bulan Syawal ialah puasa sunat yang dituntut.

Afdal Bersegera dan Berturut-Turut

Atuk saya dahulu sentiasa mula ber"puasa enam" pada 2 Syawal terus. Dia akan berpuasa selama enam hari secara berturutan. Menurutnya ia lebih afdal .Apabila saya tanya tentang dalil, dia tidak menjawab. Apa pandangan ustaz?

Jawapan:

Memang tiada dalil khusus yang menuntut puasa tersebut sunat dilakukan pada hari tersebut dan secara berturutan. Namun kesungguhan dan amalan atuk saudara sangat terpuji di sisi agama. Allah sendiri yang mendidik sikap bersegera membuat kebaikan. Firman Allah yang bermaksud: “Dan bersegeralah kepada keampunan Tuhanmu dan syurga yang luasnya antara langit dan bumi yang disediakan kepada orang yang bertakwa.” (Surah Ali Imran 3: 133) Justeru ia lebih afdal daripada sudut prinsip bersegera dalam membuat kebaikan.

Namun tiada keaiban langsung jika kita berpuasa tidak berturutan. Ikutlah kemampuan dan keikhlasan. Dalam hadis tersebut, Nabi hanya menyebut tentang berpuasa enam hari secara umum sahaja. Baginda langsung tidak memperincikan pelaksanaannya sama ada mesti berturut-turut atau tidak. Oleh sebab itu, para ulama tidak mensyaratkan puasa enam dilakukan selama enam hari berturut-turut di bulan Syawal.

jom puasa 6

Hendak Puasa Sunat, tetapi belum Qada

Jika seseorang masih ada puasa Ramadan yang wajib digantikan, bolehkan dia ber"puasa enam"?

Jawapan:

Sebaik-baiknya bagi mereka yang ada puasa ganti, lakukan qada puasa terlebih dahulu sebelum ber“puasa enam” di bulan Syawal. Prinsip ini berdasarkan hadis yang menceritakan ada seorang lelaki datang kepada Nabi. Beliau bertanya: “Ibu saya telah meninggal dunia dan ada meninggalkan puasa bulan Ramadan. Adakah boleh saya mengqadanya? Nabi menjawab: “Hutang Allah lebih berhak untuk kamu mengqadanya.” (Riwayat al-Bukhari). Justeru, secara umumnya ibadah yang wajib sebaik-baiknya hendaklah didahulukan daripada ibadah yang sunat.

Jemputan Rumah Terbuka.

Apakah hukum seseorang memenuhi jemputan menghadiri rumah terbukaAidil fitri yang begitu banyak dan padat sekali di bulan Syawal ini, sedangkan pada masa yang sama dia telah mengabaikan puasa enamdi bulan Syawal?

Jawapan:

Memenuhi jemputan untuk menghadiri rumah terbuka (open house) adalah sunat tidak diwajibkan oleh hukum syarak. Ianya berlainan dengan memenuhi undangan untuk menghadiri kenduri perkahwinan ( walimatul urus) yang dihukumkan oleh kebanyakan ulama sebagai wajib. Hukum ini dengan syarat selagi mana tiada keuzuran syar’i dan tidak ada aktiviti yang melanggar hukum Allah Taala atau maksiat di majlis tersebut seperti ada hidangan arak dan hiburan yang melanggar hukum syarak.

Mengabaikan puasa enam Syawal semata-mata memenuhi jemputan rumah terbuka sehingga terluput untuk berpuasa sunat tersebut adalah suatu perkara yang silap walaupun tidak dikira berdosa kerana tidak melakukannya. Ianya seolah-olah tidak merebut peluang dan kurniaan yang banyak sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi s.a.w. di dalam hadis yang disebut pada mukadimah kolum ini.

Cara sebaik-baiknya ialah dengan memenuhi jemputan rumah terbuka tersebut dengan bertanya khabar dan meminta keuzuran dari tuan rumah di samping meneruskan berpuasa enam di bulan Syawal. Dengan cara ini dapat mengelakkan syak wasangka di samping mengeratkan silaturrahim antara sesama saudara se-Islam. Nabi s.a.w. menyebut dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Sesiapa yang suka ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menghubungkan silaturrahim.

Rujukan:

1.Fatawa al-Azhar

2.Fatawa al-Syabakah al-Islamiyah

Ustaz Mohammad Nor Mohammad Endut
Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.6


Mohammad Nor Mohammad Endut

Sarjana Muda Syariah, Universiti al-Azhar. Sarjana Pengajian Islam, American Open Universiti, Mesir. Sedang menyambung pengajian di peringkat PhD di UIAM. Berguru secara langsung dengan beberapa ulama besar antaranya Syeikh ‘Atiyyah Saqr, Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya‘rawi, Syeikh Ali Juma‘ah. Kini editor syariah di Telaga Biru Sdn. Bhd.

Terkini daripada Mohammad Nor Mohammad Endut

Kembali ke atas