Menu

 

A+ A A-

HARI-HARI MAKRUH BERPUASA

Ditulis oleh 

Saya ada kemusykilan berkenaan Isnin, Selasa dan Rabu. Pada hari Khamis saya berbuka kerana menghadiri majlis rumah terbuka dan menyambung puasa pada hari Jumaat. Kemudian saya menyambung kembali puasa pada hari Isnin depan dan seterusnya hingga selesai. Persoalannya, adakah puasa hari Jumaat itu dibolehkan oleh syarak? Saya ada mendengar sahabat saya menyatakan ia tidak dibenarkan.

Jawapan

Makruh berpuasa pada hari Jumaat Dalam sebuah hadis, Nabi bersabda: “Janganlah seseorang daripada kamu berpuasa pada hari Jumaat kecuali ia telah berpuasa sebelum atau selepasnya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Begitu juga hadis yang diriwayatkan oleh Juwairiyah binti al-Harith, salah seorang isteri Nabi. Beliau menceritakan: “Nabi telah masuk menemuiku pada hari Jumaat. Pada ketika itu aku sedang berpuasa. Lalu Nabi bertanya kepadaku: ‘Adakah kamu telah berpuasa semalam?’ Jawab Juwairiyah: ‘Tidak.’ Nabi bertanya lagi: ‘Adakah kamu ingin Berbukalah’.” al-Bukhari)

Berdasarkan kepada zahir dalildalil ini, kebanyakan ulama dalam kitab-kitab mereka menghukumkan makruh berpuasa pada hari Jumaat sahaja.

Oleh kerana itu, saudara tidak digalakkan untuk berpuasa pada hari Jumaat sahaja kecuali telah berpuasa sebelumnya atau ingin berpuasa selepasnya (hari Sabtu). Walaupun puasa itu dianggap sah, secara umumnya Rasulullah tidak menggalakkannya sebagaimana dalam hadis Juwairiyah tadi.

Puasa Sabtu dan Ahad

Saya dengar ada ulama yang tidak membenarkan berpuasa tunggal sama ada hari Sabtu atau Ahad sebagaimana berpuasa tunggal pada hari Jumaat. Benarkah begitu, ustaz?

Jawapan

Berpuasa pada hari Sabtu secara tunggal hukumnya makruh. Ia tidak digalakkan walaupun sah jika dilakukan. Begitu juga hukum berpuasa pada hari Ahad. Ini berdasarkan hadis Nabi: “Janganlah seseorang daripada kamu berpuasa pada hari Sabtu kecuali yang telah difardukan kepada kamu.” (Riwayat al-Tirmizi)

Syeikh Atiyyah Saqr menegaskan bahawa berdasarkan hadis ini, makruh berpuasa sunat pada hari Sabtu dan Ahad. Ini kerana kedua-duanya merupakan hari kebesaran bagi golongan Yahudi dan Nasrani. Orang Yahudi amat membesar-besarkan hari Sabtu manakala orang Nasrani pula membesar-besarkan hari Ahad.

Akan tetapi sekiranya berpuasa pada hari Sabtu dan Ahad itu dengan dihimpunkan dengan hari-hari yang lain, maka ia tidak makruh. Ia merupakan sunnah Nabi. Imam Ahmad meriwayatkan Nabi berpuasa pada hari Sabtu dan Ahad. Baginda bersabda: “Sesungguhnya kedua-duanya (Sabtu dan Ahad) adalah hari raya golongan Musyrikin dan aku ingin bertentangan dengan mereka.” (Riwayat Ahmad)

Puasa Sepanjang Tahun

Betulkah ada pendapat menyatakan puasa sepanjang tahun itu dimakruhkan oleh syarak?

Jawapan

Siyam al-Dahr atau puasa sunat yang dilakukan setiap hari sepanjang tahun dikira makruh sekiranya menjejaskan hak dan tanggungjawab kita terhadap orang lain. Contohnya jika puasa itu menghalang kita daripada mencari nafkah untuk anak-anak dan isteri.

Ini berdasarkan kisah daripada sebuah hadis: “Nabi mempersaudarakan antara Salman dan Abu Darda’. Satu ketika, Salman melawat saudaranya. Dia melihat Ummu Darda’ memakai baju yang lusuh.

Salman bertanya: ‘Apa yang terjadi kepadamu?’

Ummu Darda’ menjawab: ‘Saudaramu tidak peduli tentang hal-hal keduniaan lagi.

Kemudian, Abu Darda’ dating dan membuatkan makanan untuk saudaranya. Dia berkata: ‘Makanlah, saya berpuasa.’

Salman berkata: ‘Saya tidak akan makan selagi kamu tidak makan.’

Maka Abu Darda’ pun makan. Di sebelah malam, Abu Darda’ bangun untuk mendirikan malam.

Kata Salman: ‘Tidurlah dahulu.’ Maka Abu Darda’ pun tidur. Kemudian, dia bangun lagi.

Salman berkata lagi: ‘Tidurlah.’ Ketika akhir malam, Salman pun berkata: ‘Bangunlah sekarang.’ Maka kedua-duanya pun bersembahyang. Salman berkata kepadanya:

‘Sesungguhnya bagi Tuhanmu ada hak, diri kamu ada hak, dan keluargamu juga ada hak. Maka berikanlah yang empunya hak itu haknya.’ Selepas itu dia datang berjumpa Nabi dan menyebutkan tentang perkara yang berlaku. Maka Nabi pun bersabda: ‘Benarlah Salman’.”(Riwayat al-Bukhari)

Jika puasa itu tidak memudaratkan dirinya dan tidak mengabaikan hak ibu bapa, isteri, anak-anak dan keluarganya, maka puasa tersebut tidak dimakruhkan, bahkan sunat baginya berbuat demikian. Hal ini kerana puasa adalah ibadat yang paling afdal dan mengandungi fadilat yang banyak kerana pahalanya dibalas sendiri oleh Allah.

Ibn Umar ditanya tentang puasa sepanjang tahun. Beliau menjawab: “Mereka (yang berpuasa setahun itu) ada dalam kalangan kita (para sahabat).” (Riwayat al-Baihaqi)

Bahkan menurut sejarah Islam, ramai dalam kalangan para sahabat, tabiin dan salafus soleh yang mengerjakan puasa sepanjang tahun kecuali pada hari-hari yang diharamkan berpuasa. Pandangan ini merupakan pendapat jumhur ulama.

Wallahu a‘lam.

hari-hari-makruh-berpuasa-2

 USTAZ MOHAMMAD NOR MOHAMMAD ENDUT

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.18


Read 10691 times
Mohammad Nor Mohammad Endut

Sarjana Muda Syariah, Universiti al-Azhar. Sarjana Pengajian Islam, American Open Universiti, Mesir. Sedang menyambung pengajian di peringkat PhD di UIAM. Berguru secara langsung dengan beberapa ulama besar antaranya Syeikh ‘Atiyyah Saqr, Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya‘rawi, Syeikh Ali Juma‘ah. Kini editor syariah di Telaga Biru Sdn. Bhd.

Terkini daripada Mohammad Nor Mohammad Endut