HADIS-HADIS LEMAH DAN PALSU TENTANG RAMADAN DAN PUASA
- Ditulis oleh Umar Muhammad Noor
- Kategori Terkini
- Read 29059 times
Hari ini telah ada ustaz-ustaz yang memperingatkan tentang hadis-hadis palsu berkaitan puasa dan Ramadan. Bolehkah ustaz berikan kupasan lanjut tentang hadis-hadis berkenaan dalam ruang ini? Terima kasih.
MUKADIMAH: Hadis-hadis yang menyebutkan keutamaan Ramadan dan puasa sangat banyak. Sebahagiannya sahih, namun tidak kurang juga yang lemah bahkan palsu. Berikut ialah beberapa hadis palsu dan lemah sehingga tidak boleh dijadikan hujah (namun sebahagian yang lemah boleh jadi pendorong perlakuan amal atau penyokong dalil yang kuat) yang tersebar dalam kalangan masyarakat setiap kali tibanya Ramadan:
1. Hadis “Berpuasalah, nescaya sihat.”
Ibadah puasa memang terbukti baik untuk kesihatan. Namun bukan bererti hadis ini benar-benar disabdakan oleh Nabi s.a.w. Hadis ini dikeluarkan oleh Imam al-Tabarani dari pada Zuhair bin Muhammad, daripada Suhail bin Abi Saleh, daripada bapanya, daripada Abu Hurairah, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Berperanglah, maka engkau akan mendapati ghanimah. Berpuasalah, maka engkau akan sihat. Dan bermusafirlah, maka engkau akan kaya.”
PENILAIAN: Al-Tabarani berkata: “Tidak ada sesiapa yang meriwayatkan hadis ini daripada Suhail dengan lafaz sebegini melainkan Zuhair bin Muhammad.” Al-‘Uqaily pula berkomentar: “Tidak ada (hadis lain) yang menyokongnya hadis ini kecuali dari jalan yang lemah.”
Zuhair bin Muhammad ini seorang perawi yang cukup terkenal. Namun beliau dilemahkan oleh ramai ahli hadis. Al-Zahabi mengulas dalam Siyar: “Beliau tidak kuat dan teliti (dalam riwayat) meskipun para penulis kutub sittah (kitab hadis yang enam) meriwayatkan hadis-hadisnya.” Oleh sebab itu, riwayat ini boleh dinilai sebagai munkar. Sebenarnya hadis ini turutdiriwayatkan dalam MusnadAhmad dengan sanad lain. Namun sanad itu juga daif kerana dua orang perawinya iaitu Abdullah bin Lahi’ah dan Darraj bin Sam‘an terkenal sangat lemah.
2. Hadis kelebihan solat tarawih setiap malam
Kononnya hadis tersebut diriwayatkan oleh Sayidina Ali: “Rasulullah ditanya tentang keutamaan solat tarawih pada bulan Ramadan. Baginda lalu menjawab: ‘Seorang Mukmin akan terlepas daripada dosanya pada malam pertama seperti bayi yang baru dilahirkan. Pada malam kedua, dia dan ibu bapanya akan diampuni, jika keduanya Mukmin. Pada malam ketiga, malaikat dari bawah Arasy menyeru kepadanya: ‘Mulalah beramal lagi, Allah telah mengampuni dosamu yang terdahulu...’”
Begitulah seterusnya hingga malam ke-30. Setiap malam memiliki balasan ibadah yang sangat besar.
PENILAIAN: Hadis ini palsu. Sanadnya tidak dijumpai langsung. Maka tidak halal menyebarkan hadis ini kepada masyarakat walaupun dengan niat menggalakkan orang beramal.
3. Hadis Mengharapkan Ramadan Sepanjang Tahun
Jarir bin Ayyub meriwayatkan daripada al-Sya’bi, dari Nafi ‘bin Burdah, daripada Abu Mas‘ud: “Aku mendengar Rasulullah bersabda pada suatu hari setelah terlihat hilal (anak bulan) Ramadan: ‘Andai manusia mengetahui apa itu Ramadan, nescaya umatku akan berharap sepanjang tahun ialah Ramadan.’”
PENILAIAN: Hadis ini dikeluarkan oleh Ibn Khuzaimah dalam kitabnya. Beliau mengisyaratkan lemahnya hadis ini kerana berasal daripada Jarir bin Ayyub al-Bajali. Al-Bukhari menyebut beliau sebagai “munkar al-hadis” (perawi yang banyak meriwayatkan hadis munkar) Al-Nasa’i pula menilainya “matruk.” (riwayatnya mesti ditinggalkan dan tidak boleh diterima) Manakala Abu Nu‘aim berkata bahawa dia pernah memalsukan hadis. Disebabkan semua penilaian negatif ini kepada perawinya, Ibn al Jawzi menghukum hadis ini sebagai palsu dalam kitabnya al-Mawdu‘at.
4. Hadis Fadilat Puasa Ramadan di Makkah
Abdul Rahim bin Zaid al-‘Ami meriwayatkan daripada bapanya, daripada Said bin Jubeir, daripada Ibn Abbas bahawa Nabi bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mendapati Ramadan di Makkah, lalu ia melakukan puasa dan kiam semampunya, maka Allah akan mencatatkan buatnya 100 ribu Ramadan, pahala membebaskan seorang hamba setiap hari dan pahala membebaskan seorang hamba setiap malam. Dan Allah menulis baginya setiap hari satu kebaikan dan setiap malam satu kebaikan.”
PENILAIAN: Hadis ini dikeluarkan oleh Ibn Majah. Sanadnya sangat lemah. Berkata al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman: “Abdul Rahim bin Zaid bersendirian dalam riwayat ini. Dan ia tidak kuat.” Abdul Rahim ini sangat lemah dalam hadis. Bahkan ramai ulama yang menilainya “matruk”. Saya tidak keberatan jika ada yang menilai hadis ini palsu.
Umar Muhammad Noor
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.4
Umar Muhammad Noor
Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.