Menu

 

A+ A A-

HIDUPKAN RAMADAN

Amalan Sunat Mengikut Sunnah

RAMADAN akan menjelma tidak lama lagi. Bolehkah ustaz terangkan amalan-amalan sunat yang wajar dilakukan berdasarkan sunnah Rasulullah s.a.w.?

Berikut adalah antara amalan-amalan sunat yang sangat digalakkan pada bulan Ramadan:

1. Membaca al-Quran

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Jibrail a.s. membacakan al-Quran untuk Baginda pada setiap tahun (pada bulan Ramadan) sebanyak sekali. Namun pada tahun kewafatan Baginda, dia membacanya sebanyak dua kali. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

2. Qiamullail

Pada bulan Ramadan, kita akan melaksanakan dua jihad diri:

a.Jihad pada siang hari dengan berpuasa.

b.Jihad pada malam hari dengan qiamullail.

Sesiapa yang berjaya melakukan dua jihad ini dengan sebaik-baiknya, baginya ganjaran yang amat besar. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang bangun (solat) pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lepas.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Qiamullail merupakan rutin harian Nabi dan para sahabat. Aisyah r.ha. pernah berkata: “Jangan kamu tinggalkan qiamullail. Rasulullah s.a.w. tidak pernah meninggalkannya. Jika Baginda sakit atau kepenatan, Baginda akan solat sambil duduk.” (Riwayat Abu Daud)

3. Bersedekah

Ibn Abbas r.a. berkata: “Rasulullah s.a.w. ialah seorang yang pemurah. Baginda akan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan. Pemurahnya Baginda dalam kebaikan lebih daripada angin yang kencang.” (Riwayat al-Bukhari)

4. Menjaga lidah

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan dusta dan terus mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat pada usahanya yang tidak makan dan minum (puasa).” (Riwayat al-Bukhari)

5. Perbanyakkan doa, zikir dan istighfar

Setiap saat pada bulan Ramadan adalah mulia. Justeru ambillah kesempatan ini dengan memperbanyakkan zikir dan doa, khususnya pada waktu-waktu yang mustajab seperti:

a. Ketika hampir waktu berbuka. Nabi menyebutkan tiga doa yang tidak ditolak antaranya ialah doa orang yang sedang berpuasa sehingga dia berbuka. (Riwayat al-Tirmizi)

b.Pada sepertiga malam ketika Allah menyeru: “Adakah ada orang yang berdoa, maka aku akan perkenankan. Adakah orang yang memohon keampunan, maka Aku akan ampunkannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

6. Memberi makan kepada orang yang berpuasa

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa, dia akan mendapat pahala sepertimana orang yang berpuasa itu, dan tidak dikurangkan sedikit pun pahalanya.” (Riwayat al-Tirmizi)

7. Umrah pada bulan Ramadan

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Satu umrah pada bulan Ramadan ganjarannya menyamai satu haji.” Dalam riwayat yang lain: “Menyamai satu haji bersama-samaku.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

8. Beriktikaf

Khususnya pada 10 malam terakhir. Aisyah r.ha. meriwayatkan: “Pada 20 malam terawal, Nabi mencampurkan antara solat dan tidur. Apabila tiba 10 malam terakhir, Baginda bersungguh-sungguh dan mengetatkan kainnya.” (Riwayat Ahmad) Bahkan Rasulullah turut mengejutkan ahli keluarganya untuk beribadah, supaya mereka juga tidak ketinggalan dalam mendapat kebaikan yang disediakan oleh Allah s.w.t. Menghidupkan malam bukan sahaja hanya dengan solat, malahan dengan pelbagai jenis ibadah seperti membaca al-Quran, beristighfar dan berdoa.

hidupkan-ramadan-1

Hadis Fadilat Tarawih Setiap Malam

Saya difahamkan bahawa hadis yang menyatakan fadilat menunaikan Tarawih pada setiap malam Ramadan ialah hadis palsu. Namun saya dapati ia masih lagi disebarkan, bahkan oleh imam dan ustaz sendiri di sesetengah tempat. Mohon ulasan ustaz.

Setelah dibuat kajian tentang kedudukan hadis ini, maka ulama tidak dapat mengesan sumber asalnya. Kalau ia hadis, maka kita akan dapati ia direkodkan dalam mana-mana kitab hadis yang muktabar. Dan sekiranya ia hadis palsu, maka kita akan dapatinya direkodkan dalam mana-mana kitab al-mawdu‘at (kitab yang merekodkan hadis-hadis palsu).

Jadi kesimpulannya, hadis ini merupakan hadis palsu yang baru diada-adakan sehinggakan ulama-ulama hadis terdahulu pun tidak mengetahui kewujudannya. Alhamdulillah, pihak berkuasa agama di negara kita telah mengeluarkan fatwa tentang status palsu hadis ini.

Tambahan: Kelebihan solat tarawih dan kedudukannya dalam sunnah begitu besar sekali. Memadailah kita berpegang dengan berita gembira yang Nabi sampaikan yang bermaksud: “Sesiapa yang bangun (solat) pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lepas.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan janji palsu yang menyebabkan mereka mengerjakan amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang tidak benar.

hidupkan-ramadan-2

Dr. Abdul Basit Abd Rahman
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.4


Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani)

Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, dikenali juga sebagai Abu Anas Madani. Beliau adalah pendakwah yang tidak asing lagi di kalangan pencinta ilmu agama. Menjawat jawatan Pensyarah di Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Musyrif (Penyelia) Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan, Panel Penasihat Dakwah, Kerajaan Negeri Kelantan tahun 1428-1429H serta beberapa jawatan lain.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

 

Kembali ke atas