TALI SILATURAHIM SELEPAS ISLAM
- Ditulis oleh Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani)
- Kategori Hukum
- Read 6859 times
Saya saudara baru. Bolehkah saya menyapa atau mengucapkan selamat kepada kawan yang bukan Muslim?
Jawapan : Kita hendaklah bersikap baik dan membiasakan memberi ucapan yang baik kepada mereka seperti selamat pagi dan seumpamanya. Seorang Muslim itu lemah lembut orangnya dan baik dalam kelakuan dan perkataannya.
Namun Muslim tidak digalakkan memulai salam kepada mereka sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: “Janganlah memulai salam kepada orang Yahudi dan Nasrani.”(Riwayat Muslim)
Tetapi jika mereka terlebih dahulu memberi salam, maka kita boleh menjawabnya dengan baik. Rasulullah bersabda maksudnya: “Apabila ahli kitab memberi salam kepada kamu, maka balaslah: ‘Wa ‘alaikum.’” (Riwayat al-Bukhari)
Hubungan Tidak Akan Putus
Soalan : Bagaimana pula tanggungjawab dan caranya bagi anak-anak yang telah memeluk agama Islam dalam melayani ibubapa mereka yang masih belum Islam?
Jawapan : Selagi ibubapa tidak menunjukkan permusuhan dan penentangan yang nyata sehingga mengancam keselamatan diri dan akidah anak yang Muslim itu, maka si anak hendaklah menghormati dan berbuat baik terhadap ibubapanya.
Silaturahim hendaklah dijaga dan jangan sesekali diputuskan tanpa sebab yang wajar dan syarie. Tetaplah menziarahi mereka, menghulurkan bantuan kewangan atau apa saja keperluan mereka yang dapat dipenuhi.
Islam agama persaudaraan, silaturahim, rahmat dan kasih sayang. Islam bukan agama pemutus dan pemecah. Jangan kerana agama putus saudara dan hubungan kekeluargaan.
Firman Allah s.w.t. mafhumnya: “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak pula mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah: 8)
Asma’ Binti Abu Bakar pernah dikunjungi ibunya ketika masih musyrik sewaktu perundingan damai antara Nabi dan penduduk Makkah sedang berlangsung. Ibunya datang meminta bantuan. Namun Asma’ meminta izin terlebih dahulu daripada Nabi sama ada beliau boleh berhubungan dengan ibunya.
Lantas Rasulullah bersabda dengan maksudnya: “Sambunglah silaturahim dengannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Maka adalah tidak menjadi kesalahan bagi seorang anak yang Muslim untuk terus berhubung secara baik dan menghormati kedua ibu-bapanya yang masih belum Muslim. Mudah-mudahan Allah akan membuka pintu hati mereka untuk menerima hidayah.
Majlis Boleh Hadir
Soalan : Saya saudara baru daripada keturunan India. Ibu bapa dan saudara mara saya masih beragama Kristian. Bolehkah saya menghadiri majlis sambutan hari lahir anak saudara saya?
Jawapan : Boleh dan harus untuk menghadiri majlis atau program yang dianjurkan oleh orang bukan Islam sekiranya majlis itu bersifat kemasyarakatan atau peribadi seperti kejayaan anak, kenaikan pangkat, perkahwinan dan sebagainya. Seperkara lagi, pastikan makanan yang disediakan itu halal.
Majlis Haram Hadir
Soalan : Bagaimana pula dengan ciri-ciri majlis yang tidak boleh saya hadiri?
Jawapan : Majlis yang tidak boleh dihadiri adalah sebarang majlis yang ada berkaitan dengan agama mereka atau yang mengandungi unsur pemujaan. Menghadiri dan mengikut serta dalam sambutan perayaan keagamaannya dikira sebagai tasyabbuh iaitu menyerupai dan menyertai orang kafir. Tasyabbuh hukumnya haram.
Firman Allah mafhumnya: “Kemudian kami jadikan kamu berada atas satu syariat daripada urusan (agama). Maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang yang tidak mengetahui.” (Surah al-Jathiyah: 18)
Begitu juga sabda Rasulullah maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai dengan sesuatu kaum maka ia tergolong dalam kaum berkenaan.” (Riwayat Abu Daud)
Wallahu a‘lam.
Dr. Abdul Basit Abd Rahman
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 10
Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani)
Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, dikenali juga sebagai Abu Anas Madani. Beliau adalah pendakwah yang tidak asing lagi di kalangan pencinta ilmu agama. Menjawat jawatan Pensyarah di Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Musyrif (Penyelia) Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan, Panel Penasihat Dakwah, Kerajaan Negeri Kelantan tahun 1428-1429H serta beberapa jawatan lain.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.