Menu

 

A+ A A-

AKAD DI SEBALIK AKAUN SIMPANAN

Semasa saya ingin membuka akaun simpanan di bank, saya dimaklumkan bahawa akaun itu berdasarkan kontrak mudarabah. Saya difahamkan bahawa mudarabah bermaksud pelaburan. Jadi bagaimana wang dalam akaun simpanan saya menjadi satu pelaburan? Mohon penjelasan.

 Jawapan : Secara ringkasnya, mudarabah ialah suatu kontrak antara dua pihak untuk melaksanakan suatu kerja atau urus niaga. Dalam kontrak ini, pihak pertama iaitu pemodal atau pelabur akan menyediakan dana modal, manakala pihak kedua iaitu pengusaha akan menjalankan urus niaga tersebut.

Keuntungan yang terhasil daripada urus niaga tersebut akan dibahagikan dan dikongsi bersama antara pelabur dan pengusaha berdasarkan nisbah pembahagian keuntungan yang telah dipersetujui antara kedua pihak tersebut seperti 70:30, 40:60 dan 50:50. Sekiranya berlaku sebarang kerugian maka ia akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak pelabur.

Pada hari ini, kontrak mudarabah biasanya digunakan dalam penerimaan deposit seperti akaun semasa, akaun simpanan dan akaun pelaburan. Jadi semasa pihak pelanggan meletakkan wang dalam akaunnya, maka dia ketika itu berperanan sebagai pelabur. Pihak bank pula berperanan sebagai pengusaha yang akan menggunakan wang pelanggan sebagai modal untuk sebarang pelaburan berdasarkan kepakaran yang ada pada pihak bank.

Ketika membuka akaun simpanan tersebut, pihak pelanggan dan pihak bank akan bersetuju dalam menentukan nisbah pembahagian keuntungan daripada pelaburan tersebut. Oleh yang demikian, sekiranya terdapat keuntungan, maka ia akan dibahagikan mengikut nisbah pembahagian tersebut.

Keluarkan Wang

Soalan :Dalam melabur biasanya wang tidak dapat diambil semula sesuka hati. Namun kenapa kita boleh mengeluarkan wang daripada akaun simpanan yang berkonsepkan mudarabah itu bila-bila masa sahaja?

Jawapan : Akaun semasa yang berasaskan mudarabah memberikan peluang kepada pihak pelanggan untuk mendapatkan sebahagian daripada keuntungan yang diperoleh berdasarkan nisbah perkongsian keuntungan yang dipersetujui semasa pertubuhan akaun.

Berhubung kebenaran atau keharusan untuk membuka akaun semasa berasaskan kontrak mudarabah, pihak Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia pada mesyuaratnya yang ke-4, bertarikh 14 Februari 1998 dan mesyuarat ke-59 bertarikh 25 Mei 2006 telah memutuskan bahawa produk akaun semasa berasaskan konsep mudarabah adalah selaras dengan syarak selagi ia memenuhi syarat-syarat mudarabah.

Selain itu, berkenaan pengeluaran deposit yang dibuat pada bila-bila masa boleh dilakukan bagi akaun semasa yang berasaskan mudarabah. Ini kerana keperluan had baki minimum tertentu dalam akaun semasa ini menyediakan syarat wujudnya model mudarabah dipenuhi.

Sehubungan dengan itu, sekiranya pendeposit mengeluarkan keseluruhan jumlah deposit, maka kontrak mudarabah dianggap tamat kerana pengeluaran keseluruhan jumlah deposit tersebut dilihat sebagai tindakan pelabur menarik balik modal pengurusan modal.

Akaun Pelaburan Umum

AKAD1Soalan : Institusi perbankan Islam ada menawarkan produk akaun pelaburan umum (general investment account) GIA kepada pelanggan. Boleh ustaz terangkan produk ini secara ringkas dan perbezaannya dengan akaun simpanan tetap (fixed deposit) di bank-bank konvensional?

Jawapan :Secara ringkasnya akaun pelaburan umum (GIA) ialah satu produk yang memberikan peluang kepada pelanggan untuk menyimpan dan pada masa yang sama boleh membuat pelaburan secara khusus.

Secara praktisnya, akaun pelaburan ini mempunyai tempoh matang. Pelanggan akan dimaklumkan bahawa pihak pelanggan tidak boleh untuk mengeluarkan wang tersebut sehingga sampai tempoh matang tersebut.

Setelah sampai tempoh matang tersebut, maka keuntungan akan diberikan berdasarkan nisbah pembahagian keuntungan yang telah dipersetujui. Segala pelaburan yang dilakukan oleh pihak bank sebagai pengusaha mestilah tidak bertentangan dengan syarak.

Berbeza dengan akaun simpanan tetap di bank-bank konvensional, pelanggan akan meletakkan wang dalam akaun bagi tujuan simpanan dan pelaburan. Pihak bank akan menggunakan wang yang disimpan oleh pelanggan tersebut bagi tujuan pelaburan. Dalam hal ini, pihak bank secara tidak langsung dikira telah meminjam wang daripada pihak pelanggan.

Pada masa yang sama, pihak bank akan berjanji untuk memberikan pulangan tetap kepada pihak pelanggan. Oleh yang demikian, pihak bank bertanggungjawab untuk membayar pulangan tersebut dalam apa keadaan sekalipun.

Keadaan ini adalah bersalahan dengan kaedah syara’ yang bermaksud: “Setiap pinjaman yang memberi manfaat (kepada pemberi pinjaman) maka ia riba.”

Seperkara lagi, pihak bank konvensional bebas untuk melakukan pelaburan, sama ada ia patuh syariah ataupun tidak.

Wallahu a‘lam.

 

Ustaz Mohd Hafiz Fauzi

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 10

 


 

Ustaz Mohd Hafiz bin Hj. Fauzi

Ketua Jabatan Syariah Bank Muamalat Malaysia Berhad. Lulusan Sarjana Muda Undang-undang (Sivil dan Syariah) UIA dan Sarjana Undang-undang Perbandingan (Bidang Perbankan dan Kewangan Islam) UIA. Beliau pernah menjadi panel Forum Perdana Hal Ehwal Islam TV1 dan penceramah Radio IKIM.FM.

Kembali ke atas