Menu

 

A+ A A-

HASAD DENGKI MEMBAKAR DIRI

Sejarah Hasad Dengki

Seorang rakan sekerja saya tidak senang jika ada orang lebih daripadanya. Sekiranya ada, ia akan memburuk-burukkan orang tersebut. Adakah sikap demikian sama dengan sikap iblis yang tidak mahu sujud kepada Nabi Adam?

Jawapan: Hasad dengki telah bermula sejak Allah s.w.t. menciptakan Nabi Adam lagi. Apabila Allah memerintahkan para malaikat dan iblis sujud kepada Nabi Adam, para malaikat mematuhi perintah Allah, manakala iblis mengengkari-Nya. Ia berasa iri hati terhadap Nabi Adam dan merasakan dirinya lebih baik. Akibat kesombongan itu, Allah mengisytiharkan iblis sebagai penghuni neraka. Inilah sifat permulaan hasad dengki. Punca yang menghalang Iblis untuk sujud kepada Nabi Adam tidak lain dan tidak bukan adalah daripada dengki, bongkak, sombong dan riak. Ia berasa dirinya jauh lebih baik daripada Nabi Adam.

Sejarah Qabil dan Habil

Apabila berlaku konflik antara Qabil dan Habil, Allah menurunkan perintah agar kedua-duanya mempersembahkan korban. Habil menerima perintah tersebut dengan lapang dada dan memilih binatang ternakan yang paling berkualiti untuk dipersembahkan kepada Allah. Sebaliknya, Qabil menerima perintah Allah dengan rasa terpaksa dan mempersembahkan hasil pertanian yang paling buruk. Dengan dua bentuk korban yang amat berbeza, sudah tentulah Allah memilih korban yang dipersembahkan dengan hati yang ikhlas dan penuh pengharapan sebagai hamba. Walaubagaimanapun, Qabil tidak berasa senang dengan keadaan tersebut. Perasaan iri hati yang meluap-luap, akhirnya menimbulkan perasaan dendam dalam dirinya. Akhirnya, Qabil membunuh Habil akibat hasad dengki yang tidak tertahan lagi.

takbur1Dengki Membawa Benci

Apakah akibat jika seseorang itu selalu mempunyai sifat hasad dengki? Dan mengapakah sikap ini begitu mudah bertapak dalam masyarakat?

Jawapan: Hasad atau dengki merupakan penyakit hati paling berbahaya yang terdapat dalam diri manusia. Merujuk kepada kamus al-Mu‘jam al-‘Arabi al-Asasi, hasad ditakrifkan sebagai sifat dalam diri seseorang yang mengharapkan supaya nikmat yang ada pada seseorang itu berpindah kepadanya atau terhapus daripada orang itu. Dapat disimpulkan, hasad dengki ialah satu perasaan tidak senang hati dalam diri seseorang apabila melihat orang lain mendapat kebaikan.

Syeikh Abdul Samad al-Falembani menyatakan dalam kitabnya Hidayah al-Salikin bahawa hasad adalah salah satu daripada maksiat batin yang boleh membinasakan seseorang. Sifat dengki yang diwarisi daripada iblis telah bertapak dalam masyarakat dan berkembang sehingga kini. Oleh itu, jatuh dan bangunnya seseorang pemimpin kadang-kadang hasil daripada sifat hasad dengki. Hasad dengki menyebabkan jiran bertelingkah dan kawan menjadi musuh. Terdapat jiran yang tidak senang hati apabila jiran sebelahnya membeli perabot baru, menukar kereta baru dan sebagainya. Persaingan di tempat kerja untuk mendapatkan pangkat dan kedudukan di sisi majikan juga dapat membibitkan perasaan hasad dengki di kalangan teman sekerja. Apa yang lebih dahsyat, seseorang yang tidak berjaya memusnahkan saingannya secara terbuka, bertindak menggunakan ilmu hitam, sihir dan sebagainya. Ini semua mengundang kecelakaan di dunia dan di akhirat.

Ubat Penyakit Hasad

takbur2Bagaimanakah cara terbaik untuk mengatasi sifat hasad dengki ini agar kita tidak terus dikuasai tipu daya daripada iblis dan syaitan?

Jawapan: Menurut Muhammad Jamaluddin al-Qasimi dalam kitab Maw’izah al- Mu’minin, sifat dengki merupakan penyakit hati. Oleh itu, ubat bagi penyakit hati ini ialah ilmu dan amal. Seseorang itu hendaklah mengetahui bahawa dengki akan memudaratkan dirinya sendiri dan ia langsung tidak memudaratkan orang yang didengkinya. Dengki itu memberi mudarat kepada orang yang bersifat dengki kerana ia membatalkan segala pahala kebajikan yang telah dilaksanakan.

Selain itu, seseorang yang berdengki, sebenarnya telah mengundang murka Allah. Justeru, mudarat dengki melibatkan dunia dan akhirat. Di dunia, dia selalu dukacita kerana tidak seronok melihat kebahagiaan orang lain. Di akhirat pula, dia akan dihumbankan ke dalam neraka sekiranya tidak bertaubat. Seterusnya, dengki itu memberi manfaat kepada seteru yang didengkinya itu. Ini kerana kebajikannya akan digandakan, dan dipindahkan pahala orang yang berdengki kepada orang yang didengki. Orang yang berdengki diumpamakan orang yang membaling batu kepada seterunya. Batu itu tidak kena pada sasaran, malah melantun ke arah dirinya sendiri lalu membutakan matanya. Ubat bagi penyakit dengki ialah dengan melakukan sifat yang berlawanan dengan sifat dengki. Ringkasnya, seseorang yang ingin menghindarkan sifat hasad dan dengki, hendaklah menanamkan dalam jiwa perkara-perkara berikut:

1. Menanamkan sifat seorang hamba yang tawaduk kepada Allah.

2. Tidak memperhambakan diri kepada keduniaan dan kebendaan.

3. Bertakwa.

4. Yakin kepada qada dan qadar.

5. Tidak meninggalkan amalan wajib seperti solat lima waktu dan menghindarkan diri daripada perkara maksiat yang ditegah oleh Allah.

 

 

Wallahu a‘lam

 

Dr. Mohd Sukki Othman

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 12

 


 

Dr. Mohd Sukki Othman

Sarjana Muda B. Arab dan Syariah, Universiti Yarmouk, Jordan. Sarjana Pengajian Islam, UKM. dan PhD dalam bidang I’jaz al-Quran, UM. Panelis Tanyalah Ustaz, TV9 ini merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM). Lebih daripada 12 buku karyanya telah berada di pasaran. Dekati beliau di www.ustazshauqi.com

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas