Menu

 

A+ A A-

PEMBUNUHAN : TAKRIF, ANCAMAN DAN HUKUMNYA

Untuk mencapai maksud tajuk ini, penulis bahagikan kepada tiga bahagian; pertama: Takrif atau definisi, kedua: Ancaman daripada pembunuhan, dan ketiga: Hukum pembunuhan.

Takrif atau Definisi Bunuh

Pembunuhan pada bahasa memberi maksud mematikan seseorang dengan cara pukulan, atau dengan batu, atau racun, atau sakit. Kadang-kadang, dimaksudkan bunuh dengan laknat. Begitu juga dengan mempertahankan diri sehingga terpaksa membunuh.

Mengikut istilah, takrif pembunuhan seperti kata Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh:

Pembunuhan ialah perbuatan mencabut, iaitu yang membunuh nyawa atau satu perbuatan hamba-hamba yang menghapuskan kehidupan iaitu satu kemusnahan kehidupan manusia. Dalam kitab ‘Uqubah al-I’dam, pembunuhan ialah yang mati kerana perbuatan yang dilakukan oleh manusia terhadap manusia lain.

Dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyebut; tidak terkeluar antara makna istilah daripada makna lughawi. Justeru, kata al-Babarti: “Sesungguhnya pembunuhan adalah perlakuan daripada hamba untuk menghilangkan dengannya kehidupan.

Ancaman daripada Pembunuhan

Terdapat banyak dalil-dalil yang menunjukkan amaran keras terhadap perbuatan membunuh jiwa yang tidak bersalah atau tanpa hak. Antaranya:

Pertama: Daripada al-Quran, antaranya:

Surah al-Isra’, ayat 33 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya kami telah menjadikan warisnya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah dia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya dia mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum syarak).”

Surah al-Ma’idah, ayat 32 yang bermaksud:

“Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu Kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya…”

Surah al-Baqarah, ayat 178-179 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman qisas (balasan yang seimbang) dalam perkara orang yang mati dibunuh iaitu; orang merdeka dengan orang merdeka, dan hamba dengan hamba, dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah orang yang mengampunkan itu, mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti rugi), dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan bayaran ganti rugi itu) dengan sebaik-baiknya.

Yang demikian itu adalah suatu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Dan dalam hukuman qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa.”

Surah alMa’idah, ayat 45 bermaksud:

“Dan Kami telah tetapkan atas mereka dalam Kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus dosa baginya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

Surah alNisa’, ayat 93 yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal dia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melaknatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.”

Kedua: Daripada sunah, antaranya: Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Tidak halal darah seseorang Muslim (ditumpahkan) kecuali dengan salah satu daripada tiga sebab berikut: Janda atau duda yang berzina, nyawa dengan nyawa, orang yang keluar daripada agamanya serta meninggalkan jemaah.” (Riwayat al Bukhari)

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Tidak halal darah seseorang kecuali dengan salah satu daripada tiga sebab berikut: ‘Kufur sesudah beriman, atau berzina sesudah berkahwin, atau membunuh seseorang tanpa hak.” (Riwayat alBukhari)

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Membunuh seorang mukmin lebih besar (dosanya) di sisi Allah s.w.t. daripada lenyapnya dunia ini.” (Riwayat alNasa’ie)

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya darah dan harta benda kamu adalah haram ke atas kamu, seperti haramnya dari kamu ini, dalam bulan kamu ini dan di negeri kamu ini.” (Riwayat alBukhari)

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Jauhilah tujuh keburukan (dosa besar), lalu baginda menyebut: Pembunuhan jiwa yang diharamkan oleh Allah s.w.t., kecuali dengan kebenaran.” (Riwayat alBukhari)

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Seorang hamba akan sentiasa dalam kelapangan dari agamanya, selama dia tiada menyebabkan tercurahnya darah yang haram.” (Riwayat alBukhari dan Ahmad)

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:“Pertama-tama yang akan diadili di antara manusia pada hari kiamat adalah dalam perkara pembunuhan.” (Riwayat alBukhari, Muslim, Nasa’ie dan Ibn Majah)

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Tidak ada manusia yang dibunuh secara kejam, melainkan atas tanggungan anak Adam yang pertama, dialah yang bertanggungjawab atas darah yang mengalir itu, sebab dialah yang memulai terjadinya pembunuhan itu.” (Riwayat alBukhari dan Muslim)

JENAYAHH

Hukum Pembunuhan

Hukumnya adalah haram jika pembunuhan tanpa hak yang sebenarnya. Dalam membincangkan isu ini, dinukilkan di dalam kitab Al-Kaba’ir; dalam sebuah riwayat dari pada Abu Sulaiman alKhattabi r.hm., hukumnya sedemikian seandainya kedua-dua orang itu saling berbunuhan bukan atas petunjuk agama. Hal ini umpama mereka berbunuh-bunuhan kerana permusuhan, atau fanatik kebangsaan atau kesukuan, atau kerana menuntut harta kekayaan dunia, ataupun kerana merebut kepimpinan dan darjat tinggi (berebut pangkat).

Bagaimanapun orang yang keluar berperang terhadap pemberontak yang keluar daripada ketaatan kepada pemerintahan Islam yang sebenar, yang menurut hukum syariat harus dibunuh. Begitu juga membunuh kerana untuk membela diri sendiri, atau untuk membela isterinya, atau keluarganya yang diancam orang, maka semua orang tersebut tidak termasuk dalam kelompok orang yang dimaksudkan oleh hadis di atas.

Hal ini demikian kerana kita diperintahkan untuk mempertahankan diri dan dibolehkan membunuh orang yang mengancam itu kerana untuk membela diri. Dalam hati mereka, tidak ada niat untuk membunuh orang yang mengancam itu tanpa sebab, atau kerana ada perasaan dendam. Kecuali, memang kita berniat atau bermaksud untuk membunuhnya tanpa sebab, maka berdosalah kita.

Sedangkan orang yang membunuh, atau memerangi pemberontak, atau perompak dari kaum Muslimin, maka yang demikian itu, tidaklah dengan niat semata-mata untuk membunuhnya tanpa sebab, tetapi untuk membela diri dari angkara jahatnya. Hal ini, jika orang yang mengancam itu berhenti dari niat jahatnya, atau melarikan diri, maka dalam hal yang demikian dia tidak harus lagi dikejarnya.

Isu pembunuhan bukanlah suatu perkara yang remeh, tetapi perasaan takut dan amat membimbangkan mutakhir ini kerana kesnya makin meningkat dan parah. Justeru, kefahaman berkenaan dengan bahaya pem bunuhan dan natijah serta implikasi yang buruk menimpa masyarakat hendaklah di war-warkan di samping memberi kesedaran kepada masyarakat.

Dengan pendidikan yang benar-benar meresap dalam sanubari mereka diharapkan semoga indeks jenayah pembunuhan dapat dikurangkan seminimum mungkin. ¤.

 

 


Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Sumber artikel daripada majalah Solusi 10

 


 

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Dilahirkan di Terengganu. Melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Pertama di Universiti Madinah dalam bidang Syariah. Berpeluang belajar secara talaqqi dengan beberapa ulama tersohor di sana. Kemudian melanjutkan pelajaran ke Jordan dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana (Masters) di Syria, seterusnya berjaya memperolehi Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Sains Malaysia. Beliau pernah bertugas di Kolej UNITI, Port Dickson, Negeri Sembilan dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan. Kini beliau bergerak secara bebas sebagai penulis. penceramah, penasihat agama dan pakar rujuk. Di samping itu, beliau ialah AJK Fatwa Terengganu (sejak 2005). Antara jawatan terkini beliau ialah ahli Panel Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji, ahli Panel Syariah dan Aqidah JAKIM dan ahli Panel Syariah Bank Muamalat. Beliau juga dikenali sebagai Muryid dalam rancangan al-Daurah di Radio IKIM.FM.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  

 

Kembali ke atas