Menu

 

A+ A A-

IMAM HANAFI

SEJARAH hidupnya sarat dengan perjuangan menegakkan kebenaran berasaskan al-Quran dan sunah Nabi s.a.w. Justeru kandang penjara sudah biasa baginya. Bukan saja dipenjarakan, diperlakukan seperti seorang pesalah yang telah melakukan jenayah dalam negara. Begitulah kehidupan yang dilalui oleh ulama terbilang bernama Nukman bin Thabit bin Zautha bin Maha.

Beliau adalah seorang daripada empat pengasas mazhab fiqah yang dikenali dengan gelaran Imam Hanafi atau Imam Abu Hanifah. Kemasyhuran nama tersebut menurut ahli sejarah berdasarkan beberapa sebab:

1. Kerana ia mempunyai seorang anak laki-laki yang bernama Hanifah, maka ia diberi julukan dengan Abu Hanifah.

2. Kerana semenjak kecilnya sangat tekun belajar dan menghayati setiap yang dipelajarinya, maka ia dianggap seorang yang hanif (kecenderungan/condong) pada agama. Itulah sebabnya ia masyhur dengan gelaran Abu Hanifah.

3. Menurut bahasa Persia, hanifah” bererti tinta. Imam Hanafi sangat rajin menulis hadis-hadis, ke mana pergi ia selalu membawa tinta. Kerana itu ia dinamakan Abu Hanifah.

Imam Hanafi dilahirkan pada tahun 80 Hijrah (699 Masihi) di Kufah, Iraq. Kepandaiannya yang luar biasa sudah terserlah sedari usia remaja lagi. Imam Hanafi membuktikannya di hadapan seluruh umat Islam Baghdad dalam satu sesi debat dengan seorang pendakyah Yahudi bernama Dahri. Akhirnya Dahri akur pada kepintaran dan keluasan ilmu yang dimiliki oleh Imam Hanafi.

Kealimannya semakin ketara selepas berguru dengan lebih ramai syeikh-syeikh besar serta alim ulama terbilang. Kealiman Imam Hanafi kemudiannya menarik minat pihak pemerintah untuk diserahi tanggungjawab dalam pemerintahan. Namun semua tawaran ditolak. Imam besar ini lebih suka bergerak bebas tanpa terikat dengan jawatan dalam kerajaan.

Pendirian Imam Hanafi yang beberapa kali menolak perintah istana nyata mengundang murka pihak penguasa. Yazid bin Hurairah al-Fazzari yang menjadi gabenor Iraq memerintahkan Imam Hanafi menghadapnya di istana. Diberi ancaman dengan hukuman penjara serta pukulan cambuk sekiranya masih juga tidak mahu menerima jawatan.

Diperlakukan seperti pesalah

“Demi Allah, aku tidak akan menerima jawatan yang ditawarkan kepadaku, sekalipun aku akan dibunuh oleh pihak kerajaan,” tegas Imam Hanafi dengan berani. Tiada lagi kompromi, Imam Hanafi diheret ke penjara. Di situ dia tidak diperlakukan sebagai seorang alim yang perlu dihormati, sebaliknya dikira sebagai pesalah yang lain juga. Pukulan dan penderaan tidak mengenal mangsa lagi.

Puas dengan penganiayaan berhari-hari dikenakan terhadap tahanan, gabenor membebaskan semula Imam Hanafi. Selama menjalani hukuman dan seksaan di penjara meninggalkan kesan fizikal yang sangat ketara. Hampir seluruh tubuh Imam Hanafi bengkak dan lebam. Begitu juga mukanya. Hukuman dengan cambuk sengaja untuk menghina Imam Hanafi. Tetapi tidak dikisahkannya. Kata Imam Hanafi, “Hukuman dera di dunia lebih ringan daripada hukuman neraka di akhirat nanti.”

Selepas dua tahun berlalu pada tahun 132 Hijrah, sekali lagi Imam Hanafi berdepan ujian yang sama. Kali ini daripada pemerintah lain, di bawah kekuasaan dinasti Abbasiyyah pula, selepas bertukar tangan daripada kerajaan Bani Umaiyyah. Pada usia 56 tahun, Imam Hanafi masih sangat aktif menyampaikan ilmu dan pengajarannya. Namanya terus harum sebagai ulama besar yang amat disegani. Tempat rujuk umat Islam.

Suatu hari Imam Hanafi mendapat panggilan daripada Khalifah Abi Jaafar al-Mansur di Baghdad. Sampai di istana barulah diketahui tujuan khalifah memanggil, untuk diserah tugas menjadi kadi di Baghdad. Kalangan pegawai istana yang memahami pendirian ulama ulung itu bertanya, “Adakah guru masih akan menolak jawatan yang ditawarkan ini?”

“Amirul Mukminin lebih kuat membayar kifarat sumpahnya daripada aku membayar sumpahku,” jawab Imam Hanafi. Khalifah tidak mahu berfikir panjang, Imam Hanafi disumbat ke penjara. Beberapa lama dalam kurungan, Imam Hanafi dibebaskan sebentar untuk dibawa menghadap khalifah. Khalifah masih menaruh harapan mahu mengangkat Imam Hanafi menjadi kadi bersama dua orang lagi ulama terkenal Baghdad, Imam Sufyan al-Thauri dan Imam Syarik al-Nakha’i.

Imam Hanafi tetap dengan keputusannya. Keputusan itu dituruti oleh Imam Sufyan al-Thauri. Hanya Imam Syarik yang menerima pelantikan. Akibatnya sekali lagi Imam Hanafi terpaksa kembali ke penjara. Manakala Imam Sufyan al-Thauri sempat melarikan diri ke Yaman. Takdir telah menentukan penghujung hayat ulama agung ini di dalam penjara dalam usianya 70 tahun. Jenazahnya disolatkan oleh ribuan umat Islam. Kewafatan yang cukup mulia kerana mempertahankan prinsip dan pendirian yang diyakini dari awal, tanpa dapat dibolak-balikkan oleh sebarang ancaman atau tawaran.

Tidak mahu bersekongkol

Kenapa Imam Hanafi begitu tegas tidak mahu berkhidmat dengan pemerintah? Beliau percaya dan yakin pemerintahan yang berlangsung semasa hayatnya tidak berdiri atas dasar sunah Rasul s.a.w. Bentuk pemerintahan bersifat monarki, yang sebahagian besar bertentangan dengan asas Islam. Lebih banyak bertumpu pada kehendak penguasa. Kehendak pemerintah begitu dominan. Imam Hanafi tidak mahu menjadi kadi kerana khuatir tidak dapat menegakkan kebenaran yang sebenar, dikekang pengaruh dan kehendak penguasa.

Sebab itulah beliau lebih senang bergerak bebas tanpa dikawal tuntutan birokrasi, boleh bebas menegakkan kebenaran dan mencegah yang mungkar terhadap sesiapa saja. Perbuatan mungkar perlu dicegah kerana menurutnya kalau kemungkaran itu tidak dicegah, bukan orang yang berbuat kejahatan itu saja yang akan merasakan akibatnya, melainkan semuanya, termasuk orang yang baik yang ada di tempat tersebut.

Selain dikenali sebagai ulama besar yang gigih menyampaikan ilmu serta tekun beribadah; siang dan malam, Imam Hanafi sebenarnya juga seorang saudagar pakaian yang berjaya. Hidupnya senang tetapi kesenangan itu tidak langsung memalingkan hatinya daripada Allah s.w.t. Waktu malam diisi dengan tidur yang sedikit kerana banyak solat dan membaca al-Quran. Mengerjakan solat Subuh dengan wuduk yang diambil semasa solat Isyak adalah perkara biasa baginya.

Pada bulan Ramadan, Imam Hanafi akan mengkhatamkan al-Quran sebanyak dua kali, sekali pada sebelah siang dan sekali lagi pada sebelah malam. Imam Hanafi sangat gemar bersedekah. Beliau memberi bantuan kepada murid-muridnya atau memberi pinjaman kepadamereka yang memerlukan.

Pernah seorang lelaki berpapasan dengan imam besar ini, tetapi lelaki itu memalingkan muka. Apabila ditanya, orang itu menjawab, “Aku malu kerana aku ada berhutang dengan tuan.”

“Janganlah seperti itu. Mulai hari ini hutangmu itu aku halalkan,” balas Imam Hanafi.

Imam Hanafi sangat berhati-hati dalam setiap tindakannya. Beliau lebih rela basah kehujanan daripada berteduh di bawah bumbung rumah orang yang berhutang dengannya. Beliau bimbang dianggap mengambil kesempatan daripada pemiutangnya itu.

Menurut riwayat, Zautha (datuknya) pernah membawa anaknya Thabit (ayah Imam Hanafi) yang sewaktu itu masih kecil menziarahi Sayidina Ali bin Abi Talib r.a. Sayidina Ali mendoakan Thabit agar ada anak keturunannya nanti yang menjadi tokoh yang baik, luhur, dan pintar. Ternyata doa Sayidina Ali r.a. dikabulkan Allah. ¤

 

Zuraimi Ismail

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.5

 

Kembali ke atas