Menu

 

A+ A A-

MEMELIHARA IMAN DI BARCELONA

TANGGAL 5 Januari 2010 adalah hari yang bersejarah bagi saya kerana dapat menjejakkan kaki ke negara orang. Perasaan bercampur-baur–gembira kerana dapat melanjutkan pelajaran di luar negara, dan sedih kerana terpaksa berjauhan daripada keluarga dan rakan-rakan di Malaysia. Tepat jam 9.30 pagi saya menjejakkan kaki di Lapangan Terbang El Prat, Barcelona, Sepanyol.

Saya disambut oleh rakan senior, Zulkifly Jemaat yang telah tinggal di negara asing ini setahun lebih awal bersama keluarganya. Setelah itu, saya ditempatkan di Cerdanyola Del Valles, Barcelona. Di sini saya menyambung pengajian PhD dalam ‘gas treatment’ untuk proses ‘waste watertreatment’ selama tiga tahun di Unversidad Autonoma de‘Barcelona.

Bercerita tentang Sepanyol, selain daripada kehebatan sukan bola sepak yang sememangnya diketahui umum, dari sudut sejarahnya pula negara ini dulunya terkenal dengan sejarah Islam Andalusia. Yang mana pemerintahan Islam pernah bertakhta selama 781 tahun (711-1492). Namun selepas itu perpecahan berlaku antara sesama pemerintah sehingga Islam menjadi lemah seterusnya dikuasai semula oleh Kristian ortodoks.

Jika ingin bercerita tentang sejarahnya, Sepanyol banyak menyimpan rahsia peperangan antara agama Islam dan Kristian. Insya-Allah, jika ada kudrat dan masa, satu masa nanti saya bercerita tentang sejarah Sepanyol.

barcelona 1

Islam kini di Sepanyol

Walaupun masyarakat Islam di Sepanyol kini adalah minoriti, namun amalan-amalan yang berkaitan dengan agama tidak diabaikan. Malah mereka telah membentuk jemaah Islam. Hasil sumbangan orang ramai dan juga persatuan Islam Sepanyol, banyak bangunan yang disewa dan dibeli untuk dijadikan masjid. Setiap kali waktu solat, Muslimin hadir untuk berjemaah walaupun masjidnya tidak seindah masjid di negara Islam.

Kuliah pengajian agama di sini disampaikan dalam bahasa Arab atau Castillano (Sepanyol) yang diajarkan kepada anak-anak kariah masjid serta orang ramai. Itu yang membuat saya terharu, walaupun minoriti tetapi mereka istiqamah dengan iman mereka.

Sebenarnya pada tahun 2010 Malaysia telah mula menghantar pelajar ‘undergraduate’ untuk menyambung pengajian mereka di sini. Antara faktornya adalah kerana yuran pembelajaran tahunan adalah murah berbanding negara Eropah lain.

Oleh kerana masyarat Islam Malaysia yang belajar di sini minoriti, maka ikatan ukhuwah amat kuat – amalan ziarah, melakukan riadah bersama, menganjurkan majlis membaca yasin dan tazkirah pada setiap bulan.

barcelona 2

Menuntut ilmu di Sepanyol

Sistem pendidikan di sini agak lebih terbuka dan mudah kepada pelajar-pelajar dari dalam mahupun luar negara. Namun yang menjadi sedikit halangan adalah pengunaan bahasa. Barcelona mempunyai bahasanya tersendiri yang sedikit berbeza daripada bahasa Sepanyol. Ia dipanggil Catalan – dan mempunyai percampuran dengan bahasa Arab.

Budaya membaca di sini menjadi sebahagian dalam masyarakat. Sejak kecil lagi ibu bapa mereka menerapkan budaya membaca. Yang menariknya, sistem pembelajaran kanak-kanak prasekolah menekankan praktikal di luar berbanding di dalam kelas. Contohnya sekiranya mereka belajar tentang binatang, pada akhir sesi kelas mereka akan dibawa ke zoo atau taman untuk melihat sendiri binatang tersebut. Dengan cara begini, kanak-kanak mudah ingat dan sistem pembelajaran menjadi lebih menarik.

barcelona 3

Di sebalik kehidupan di Sepanyol

Hidup di tengah masyarakat bukan Islam di sini banyak membuatkan saya berfikir. Sebenarnya, apa yang saya lihat, masyarakat Sepanyol lebih menerapkan kehidupan yang harmoni yang dianjurkan oleh Islam. Mungkin ia telah menjadi adat atau budaya dek period pemerintahan Islam yang lama suatu masa dahulu.

Rumusannya, sama-samalah kita mempunyai semangat yang tinggi dan tanamlah dalam diri untuk terus mencari ilmu di mana saja kita berada. Kemudian, gunakan ilmu tersebut untuk disumbangkan kepada agama Islam. Semoga niat itu mempermudahkan usaha kita. Amin.¤

 

Shafik Bin Husni

Sumber artikel daripada majalah Gen Q Isu Perdana

 


 

Shafik Bin Husni

Pengajian Phd Universidad Autonoma De‘ Barcelona

Kembali ke atas