GHARAR DIJAUHI, PERNIAGAAN DIBERKATI
- Ditulis oleh Prof Dr Ashraf Md Hashim
- Kategori Jual Beli
- Read 23429 times
Saya menjalankan perniagaan butik pengantin dan perkahwinan. Saya berazam untuk menjadikan perniagaan saya patuh syariah. Seorang sahabat saya ada memberi peringatan supaya saya menjauhi perkara-perkara gharar dalam perniagaan. Saya masih tidak memahami maksud gharar dengan sebaiknya lagi. Mohon penjelasan ustaz.
JAWAPAN :
Gharar dari sudut bahasa bermaksud kekurangan, bahaya dan kecenderungan yang mengarah kepada ketidakpastian. Dari segi istilahnya bermaksud merujuk kepada sesuatu yang tidak diketahui hasilnya.
Secara mudahnya, gharar ialah sesuatu yang tidak jelas kepada mana-mana pihak yang berkontrak sama ada di pihak penjual atau pembeli dan selainnya. Elemen ketidakjelasan, ketidaktentuan atau ketidakpastian ini boleh membawa kepada persengketaan antara mereka.
Sebagai seorang peniaga, saudara hendaklah memastikan bahawa segala urusan yang dijalankan adalah jelas dan disepakati oleh pihak-pihak yang berkontrak. Gharar boleh berlaku pada mana-mana bahagian dalam urusan perniagaan. Mengambil contoh daripada situasi saudara, gharar boleh berlaku dalam kes seperti berikut:
1. Berkaitan barang jualan atau sewaan. Contohnya spesifikasi baju pengantin, hiasan hantaran dan pelamin tidak disepakati dengan terperinci terlebih dahulu sebelum disediakan.
2. Berkaitan tempoh sewaan barangan. Contohnya tidak dimuktamadkan sistem pengiraannya sama ada secara jam,hari atau minggu.
Syariah amat mengambil berat hal-hal sebegini untuk mengelakkan persengketaan antara pihak yang berkontrak. Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. dengan jelas melarang sebarang bentuk jual beli yang ada elemen gharar atau ketidakjelasan.(Riwayat Muslim)
Kesan Gharar
SOALAN : Adakah ini bermakna tidak sah proses jual beli yang ada unsur gharar?
JAWAPAN :
Tidak juga, ia bergantung kepada beberapa faktor penentu lain.
1.Satu akad menjadi batal atau tidak sah sekiranya unsur gharar itu bersifat gharar fahish (ketidaktentuan yang keterlaluan). Misalnya ketidaktentuan terhadap kewujudan barang jualan atau kemampuan peniaga untuk menyerah barang tersebut kepada pihak yang membeli atau menyewa.
Contoh kes: Peniaga menyewakan baju pengantin yang masih belum dipulangkan oleh penyewa terdahulu yang telah tempohnya dan tidak dapat dikesan lokasinya. Dalam kes ini, wujud unsur gharar yang keterlaluan iaitu ketidakpastian sama ada pakaian tersebut boleh diserahkan kepada penyewa baru pada waktu yang disepakati ataupun tidak.
2.Gharar yasir atau unsur ketidaktentuan yang sedikit adalah dimaafkan. Justeru, ia tidak membatalkan kontrak. Biasanya, ketidaktentuan sebegini diselesaikan oleh uruf iaitu amalan setempat yang saling difahami dan tidak sampai membawa kepada pertelingkahan antara pihak yang berkontrak.
Contoh kes: Peniaga menetapkan kadar sewaan baju pengantin bagi tempoh sebulan adalah sama sahaja biar pun ada bulan keseluruhan 31, 30 atau 29hari.
Tidak Semua Gharar Fahish Membatalkan
Namun tidak semua kontrak yang ada gharar fahish itu membatalkan akad. Gharar fahish hanya akan membatalkan akad sekiranya:
1.Berkaitan dengan barangan yang dijual atau disewa itu sendiri, bukannya pada perkara “mengikut” (tabi’) barang tersebut.
Contoh 1: Jual beli anak lembu yang masih dalam kandungan. Urusan ini tidak sah kerana terdapat ketidaktentuan iaitu sama ada anak lembu tersebut akan dilahirkan hidup dan cukup sifatnya atau sebaliknya.
Contoh 2: Jual beli lembu bunting. Urusan ini dibenarkan walaupun terdapat gharar berkenaan kandungannya. Hal ini kerana barangan jualan utama ialah ibu lembu tersebut. Janin lembu itu hanyalah “mengikut” atau tabi’ sahaja kepada barangan utama.
2.Berkaitan kontrak yang bersifat pertukaran seperti jual beli, sewa dan sebagainya. Ada pun gharar dalam kontrak yang bersifat amal seperti derma, sumbangan atau barangan percuma adalah dimaafkan. Dengan kata lain,derma tersebut masih sah.
Contoh: Satu pakej perkahwinan menawarkan sebiji kek percuma tanpa memperincikan spesifikasinya. Urusan ini tetap sah.
Sistem muamalat Islam telah menggariskan rukun dan syarat yang amat jelas dan cantik untuk menjaga hubungan baik sesama manusia. Malahan, syariat terbukti berfungsi dengan lebih berkesan sehingga turut membuat larangan terhadap sebarang elemen antaranya gharar, yang berkemungkinan besar membawa kepada persengketaan terhadap sesama manusia pada bila-bila masa. Inilah indahnya Islam dan syariah Ilahi.
Harga Berubah
SOALAN: Untuk upacara perkahwinan saya yang berlangsung pada bulan September yang lepas, saya telah mengupah seorang perunding yang bertanggungjawab mengatur segala urusan majlis. Setelah selesai, saya amat terkejut dengan bil bayaran upah yang dimintanya begitu mahal berbanding anggaran harga biasanya. Apa yang patut saya lakukan?
JAWAPAN :
Ini antara contoh gharar pada kadar upah yang biasa berlaku. Sepatutnya hal ini dapat dielakkan sejak awal lagi. Namun, memandangkan kes itu sudah berlaku, terdapat tiga pilihan yang boleh diambil oleh saudara dan perunding tersebut:
1. Berbincang dan bersetuju di atas harga yang munasabah.
2. Merujuk kepada uruf perniagaan iaitu kadar upah yang biasanya dibayar bagi khidmat yang diberikan oleh perunding tersebut. Adalah lebih baik jika pihak ketiga yang berkecuali boleh dilibatkan untuk menentukan kadar upah tersebut.
3. Jika kedua-dua belah pihak masih lagi tidak dapat mencapai kata sepakat melalui dua cara di atas, maka perkara ini bolehlah dirujuk kepada mahkamah atau penimbang tara.
Prof. Dr. Ashraf Md Hashim
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08
Prof Dr Ashraf Md Hashim
Sarjana Muda Syariah,Universiti Islam Madinah, Sarjana Fiqh dan Usul al-Fiqh, Universiti Jordan dan Doktor Falsafah, Universiti Birmingham, United Kingdom. Memegang banyak jawatan penting antaranya anggota Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia (MPS BNM), ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dan Profesor (Syariah) di Pusat Pendidikan Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (INCEIF). Pengarah Urusan, ISRA Consultancy dan juga Timbalan Presiden, Persatuan Penasihat Shariah Kewangan Islam Malaysia.