Menu

 

A+ A A-

TAKBIR RAYA

Dua Jenis Takbir

Apabila sebut hari raya, antara perkara yang terlintas adalah tentang takbir. Adakah terdapat perbincangan hukum berkaitannya dalam kalangan ulama?

Jawapan:

Ada. Sebenarnya ada dua jenis takbir yang dilakukan iaitu takbir mursal dan takbir muqayyad.

1.Takbir Mursal

Takbir mursal atau takbir mutlak ialah takbir yang tidak dilakukan sejurus selepas solat. Ia sunat diucapkan oleh orang yang bermukim atau musafir, lelaki atau selainnya. Waktunya bermula daripada terbenam matahari pada malam dua hari raya iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

Dalil bagi hukum sunat bertakbir pada Hari Raya Aidilfitri berpandukan firman Allah s.w.t. yang bermaksudnya: “Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya.” (Surah al-Baqarah2: 185)

Manakala dalil bagi hukum sunat bertakbir pada Hari Raya Aidiladha adalah dengan kaedah kias kepada Hari Raya Aidilfitri. Oleh sebab itu, takbir pada Hari Raya Aidilfitri adalah lebih dituntut daripada takbir pada Hari Raya Aidiladha kerana terdapat nas mengenainya.

Takbir ini boleh dilakukan di rumah, jalan, masjid, kedai dan selainnya. Bagi orang lelaki, digalakkan meninggikan suaranya sebagai menzahirkan syiar hari raya. Adapun bagi wanita pula sebaliknya sebagaimana pendapat Imam al-Rafi‘i. Begitu juga dengan khunsa menurut pendapat ulama terkemudian.

Bagi orang yang melakukan solat hari raya bersama imam, sunat bagi mereka mengucapkan takbir ini sehingga imam mengangkat takbir hari raya. Namun menurut pendapat Syeikh Umairah, ia dilakukan sehingga akhir takbir imam. Ada juga pendapat yang mengatakan had masanya sehingga imam keluar untuk solat hari raya. Sekiranya seseorang yang solat sendirian, maka hadnya sehingga takbir solat hari rayanya.

2.Takbir Muqayyad

Takbir Muqayyad pula ialah takbir yang dilakukan sejurus selepas solat. Takbir ini sinonim dengan Hari Raya Aidiladha. Adapun pada malam Hari Raya Aidilfitri, ia tidak disunatkan mengikut pendapat yang lebih sahih kerana tidak ada nas. Pendapat ini disokong oleh Imam al-Rafi‘i dan al-Khatib al-Sharbini.

Ada juga pendapat yang mengatakan ia sunat dilakukan pada malam Hari Raya Aidilfitri sebagaimana yang dinukilkan daripada al-Baihaqi dalam Fada’il al-Awqat. Bagi orang mengamalkan pendapat ini, mereka boleh bertakbir sejurus selepas solat Maghrib, Isyak dan Subuh pada malam Hari Raya Aidilfitri.

Bagi orang yang menunaikan haji, mereka boleh mengucapkan takbir bermula selepas solat Zuhur pada Hari Raya Aidiladha kerana ia merupakan solat pertamanya di Mina dan waktu berakhirnya talbiah. Takbir ini berakhir selepas solat Subuh pada hari tasyrik yang terakhir (13 Zulhijah) kerana itu merupakan solat terakhirnya di Mina.

Bagi orang yang tidak menunaikan haji, mereka boleh bertakbir sebagaimana orang yang mengerjakan haji iaitu bermula selepas solat Zuhur. Ini berpandukan hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:“Hari-hari di Mina ialah hari-hari untuk makan, minum dan berzikir kepada Allah.”              

Inilah pendapat yang dinukilkan daripada Sayidina Uthman dan kebanyakan sahabat Nabi. Imam al-Nawawi berkata: “Inilah pendapat yang masyhur dalam mazhab kami (Syafi‘i).”

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa orang yang tidak melakukan haji, hanya boleh memulakan takbir selepas solat Maghrib malam Hari Raya Aidiladha dan berakhir selepas solat Subuh hari tasyrik yang terakhir (13 Zulhijah).

Al-Khatib al-Sharbini pula mengikut pendapat ulama fiqah mengatakan bahawa takbir untuk Hari Raya Aidiladha bermula selepas solat Subuh hari Arafah (9 Zulhijah) dan berakhir selepas solat Asar hari tasyrik yang terakhir (13 Zulhijah). Beliau menambah bahawa pendapat ini diamalkan oleh Sayidina Umar, Ali, Ibn Mas‘ud dan Ibn Abbas.

Mengikut Imam al-Ramli, takbir untuk Hari Raya Aidiladha berakhir selepas habis waktu Asar hari Tasyrik yang terakhir. Imam al-Juwaini dalam Mukhtasarnya dan Imam al-Ghazali dalam Khulasahnya berkata: “Seseorang itu bertakbir bermula selepas solat fardu Subuh hari Arafah sehingga akhir siang pada hari ketiga belas.”

Berkaitan dengan takbir muqayyad, ia hendaklah didahulukannya berbanding zikir selepas solat fardu, berbeza dengan takbir mursalsebagaimana dinukilkan dalam kitab Bughyah al-Mustarshidindan Furu‘ alMasa’il oleh Syeikh Daud al-Fatani. Ini bermakna selepas memberi salam kedua, disambung terus dengan takbir tanpa diselangi zikir selepasnya.

Bertakbir Selepas Solat Sunat

Bolehkah kita bertakbir selepas solat-solat yang lain selain solat fardu?

Jawapan:

Bagi lelaki ataupun selainnya, bermukim ataupun bermusafir, seorang ataupun ramai, boleh bertakbir pada hari-hari tersebut bagi solat fardu, solat sunat rawatib, solat nazar, solat sunat mutlak atau solat sunat yang dikaitkan dengan sesuatu perkara, solat sunat bersebab seperti tahiyatulmasjid atau solat sunat jenazah. Ini kerana takbir itu merupakan syiar bagi waktu tersebut. Namun demikian, bagi sujud tilawah atau sujud syukur dikecualikan sebagaimana pendapat al-Muhamili dan Syeikh Zakaria al-Ansari dalam kitab Tahrir Tanqih al-Lubab.

Namun begitu, ada juga pendapat yang mengatakan bahawa takbir itu hanya khusus untuk solat fardu sahaja sama ada solat fardu secara tunai ataupun qada pada hari-hari tersebut.

Imam al-Nawawi mengatakan dalam al-Majmu‘,sekiranya seseorang terluput solat pada hari-hari tersebut dan dia melakukannya sebagai qada pada hari yang lain, maka dia tidak boleh bertakbir lagi. Sesungguhnya tidak ada khilaf pada permasalahan ini kerana takbir adalah syiar bagi waktu tersebut.

Rujukan: Nihayah al-Muhtaj,jil. 4 dan 7.

 

                                                                                                    Ustaz Fuad Ismail

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 06

 


 

Fuad Ismail

Sarjana Muda Syariah di Universiti Al-Bayt, Jordan. Berpengalaman dalam bidang penulisan buku-buku agama dan bahasa Arab untuk sekolah rendah agama (SRA), KAFA, j-QAF dan untuk sekolah menengah. Kini menjawat jawatan sebagai Editor di Telaga Biru Sdn. Bhd.

Artikel berkaitan: « SOLAT MULIAKANLAH AL-QURAN »
Kembali ke atas