Menu

 

A+ A A-

SOLAT

PERLUKAH BERTUKAR NIAT MENJADI IMAM?

Apabila solat bersendirian, kemudian datang seseorang menepuk bahu menjadi makmum, adakah kita perlu menukar niat menjadi imam solat atau tidak? Perlukah seseorang makmum yang masbuk membaca doa iftitah atau terus membaca surah al- Fatihah?

Jawapan: Tidak wajib tetapi harus sama ada bertukar niat sebagai imam ataupun tidak. Cuma hukum ke atas seorang makmum adalah wajib ia berniat sebagai makmum, kalau tidak maka solatnya tidak sah. Doa iftitah dikehendaki membacanya setelah menepati lima syarat, dan hukumnya menjadi sunat iaitu:

i. Jika makmum masuk semasa imam sedang qiyam (berdiri). Sebaliknya jika imam berada dalam keadaan iktidal, rukuk, sujud atau duduk antara dua sujud, maka tidak disunatkan untuk membacanya.

ii. Sebelum makmum membaca ta’awwuz.

 solat

iii. Meyakini akan cukupnya masa untuk membaca surah al-Fatihah setelah selesai membaca doa iftitah itu, supaya boleh rukuk bersama imam.

iv. Bukan solat Jenazah.

v. Berkeyakinan bahawa waktu untuk solat fardu masih ada, maka tidak sunat membaca doa iftitah apabila dikhuatiri akan terlepas waktu solat.

MASUK SOLAT JUMAAT

Seseorang yang datang lambat ke masjid pada hari Jumaat, yakni ketika khutbah telah selesai dan dia masuk solat pada rakaat kedua, adakah sah solat Jumaat beliau? Adakah dia perlu menukar niat solat Zuhur sahaja? Kalau solat Zuhur, perlukah solat empat rakaat, atau memadai dua rakaat seperti solat Jumaat?

Jawapan: Seseorang itu dikira sempurna solat Jumaatnya apabila dia dapat bersama imam dalam rukuk rakaat kedua berserta tamakninah, maka dia hanya perlu menambah satu rakaat lagi bagi menyempurnakan solat tadi, walaupun dia tidak sempat mendengar khutbah dengan syarat bilangan ahli jemaah solat seramai 40 orang. Sebaliknya kalau dia mendapati imam sudah selesai rukuk pada rakaat kedua, maka dia perlu berniat solat Jumaat tetapi setelah imam memberi salam, dia hendaklah menyempurnakan solat Zuhurnya 4 rakaat tanpa menukar niat asalnya.

SOAL TAUBAT

Adakah dosa kita akan diampunkan oleh Allah dan sudah menunaikan solat sunat Taubat, tetapi masih lagi mengulangi melakukan perbuatan tersebut.

Jawapan: Taubat akan diterima Allah apabila syarat-syarat taubat dilaksanakan dengan sempurna. Tiga syarat taubat iaitu:

- Berhenti melakukan dosa.

- Berazam tidak akan mengulangi dosa itu.

- Menyesali akan dosa itu.

Paling penting adalah menyesali akan dosa. Untuk bertaubat nasuha, kita perlu bertaubat secara menyeluruh, segera tanpa bertangguh dan kerana takutkan Allah (ikhlas) dalam bertaubat. Setelah syarat-syarat tadi dipenuhi maka yakinlah taubat itu diterima. Sekiranya dosa diulangi setelah bertaubat, syarat-syarat taubat di atas perlu diulangi, semoga Allah mengampunkan dosa kita yang sering alpa dan lalai ini.

SOLAT DI KAKI LIMA KUIL

Hujan lebat dan tempat terdekat yang saya boleh berteduh adalah di tepi kaki lima sebuah kuil Hindu. Oleh sebab waktu hampir Maghrib, sedangkan saya belum solat Asar dan hujan masih lebat, maka saya mengambil keputusan solat di kaki lima kuil itu, beralaskan kertas surat khabar. Bolehkah ustaz? Tidakkah ia menimbulkan kekeliruan orang yang melihat?

Jawapan: Solat anda tersebut adalah sah. Yang penting syarat-syarat solat hendaklah diutamakan antaranya ialah tempat kita sujud hendaklah bersih tidak mengira di mana sahaja. Cuma makruh hukumnya solat di tempat ibadah orang bukan Islam. Seandainya ada tempat selain tempat ibadah bukan orang Islam, maka itu adalah terbaik dan pastinya tidak menimbulkan kekeliruan. Tetapi kalau sudah darurat iaitu tiada pilihan, maka tidak mengapa.

WIRID KUAT LEPAS SOLAT

Selepas solat berjemaah di masjid, imam membaca bacaan-bacaan dan wirid selepas solat dengan kuat (guna mikrofon) sehingga kedengaran ke seluruh masjid, sedangkan pada waktu itu ada yang datang lewat dan sedang solat fardu. Malah ada juga yang sedang solat berjemaah di belakang, sehingga bacaan imam yang bergema-gema itu agak mengganggu mereka yang sedang solat berjemaah. Apa pandangan syariat tentang ini?

Jawapan: Dalam isu di atas ada lah amat baik seandainya para makmum datang awal untuk solat berjemaah bersama imam pada awal waktu kalau dia terasa terganggu dengan wirid yang kuat oleh imam semasa menunaikan solat. Adalah menjadi tuntutan ke atas imam untuk membaca wirid dengan suara yang kuat untuk menggalakkan para makmum turut serta berwirid, malahan doa selepas setiap solat fardu antara amalan yang digalakkan oleh Nabi s.a.w. kerana kemakbulannya. Setidak-tidaknya imam boleh memperlahankan wiridnya tetapi tidak terus senyap selepas solat kerana amalan tersebut bersumberkan hadis Nabi s.a.w. Lagipun banyak juga bunyi yang agak kuat seperti kipas angin, kereta, pembinaan bangunan dan seumpamanya ketika kita menunaikan solat tetapi kita tidak pula mencemuhnya atau terasa terganggu malahan kita meneruskan solat seperti biasa. Jadi, apakah bezanya suara imam yang berwirid kuat dengan bunyi-bunyian lain?

MENINGGALKAN TAHIYAT AWAL DALAM SOLAT

Kawan saya solat Zuhur dan Asar kekadang dia meninggalkan tahiyat awal, yakni terus bangun selepas rakaat kedua. Apabila saya tegur, dia kata tahiyat awal tu sunat. Ada pula yang kata walaupun sunat, tapi perlu sujud sahwi jika tertinggal. Bagaimana ustaz?

Jawapan: Tahiyat awal ada lah suatu sunat ab’ad dalam solat, yakni sunat yang di tuntut mengerjakannya. Meninggalkannya, sama ada dengan sengaja atau tidak, maka disunatkan sujud sahwi. Kalau sengaja meninggalkannya maka semasa sujud sahwi hendaklah kita membaca (3 kali):

solat 1

(Aku memohon ampun kepada Allah yang maha Agung).

Sebaliknya, kalau tidak sengaja maka bacalah (3 kali):

solat 2

(Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak lupa). Wallahu ‘alam.

Ustaz Fadzli Al-Yamani

Sumber artikel daripada majalah Solusi 6


 

Ustaz Syed Mohd Fadzli bin Syed Ahmad al-Yamani

Dilahirkan di Kuala Ketil, Kedah, mendapat pendidikan awal di Pondok Penanti Bukit Mertajam, dan melanjutkan pengajian di Karachi, Pakistan sebelum ke Cittagong, Bangladesh. Selepas itu menyambung pengajian di Madrasah al-Hudaidah, Yaman selama 3 tahun. Kembali ke tanah air pada akhir 1993 dan menjadi tenaga pengajar selama setahun di Madrasah Tahfiz Seksyen 3, Shah Alam, sebelum menubuhkan sendiri Madrasah al-Yamani sebagai pengasas, sekaligus sebagai tenaga pengajar. Di samping itu menjadi penceramah bebas dalam bidang Feqah di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Terkini daripada Ustaz Syed Mohd Fadzli bin Syed Ahmad al-Yamani

Kembali ke atas