Menu

 

A+ A A-

MENCARI HALAL DI BAZAR RAMADAN DAN HOTEL

Juadah Berbuka Bazar Ramadan

SAYA kerap juga membeli juadah berbuka puasa di bazar-bazar Ramadan. Bagaimana saya nak memastikan juadah itu halal?

Soalan tuan merupakan soalan yang agak sensitif untuk saya jawab. Tetapi saya wajib menyampaikan kebenaran agar umat Islam peka tentang isu halal haram ini. Beberapa perkara yang saya perlu tegaskan:

1 Penentuan halal bagi makanan bukan semata-mata dilihat pada orang yang menyediakannya sahaja. Bahkan ia juga berkaitan dengan sumber bahannya dan cara penyediaan. Adakah semua bahan-bahan yang digunakan oleh peniaga di bazar Ramadan itu disahkan halal? Tiada mana-mana pihak yang dapat mengesahkan hal ini kecuali pihak yang berautoriti seperti JAIN atau JAKIM. Dari sudut yang lain pula, adakah praktikal langkah untuk mewajibkan setiap juadah yang ingin dijual mesti mendapatkan pengesahan halal?

2 Pada asasnya orang Islam akan mempercayai juadah yang dijual oleh orang Islam di bazaar Ramadan adalah halal. Ini berasaskan andaian pengguna Muslim bahawa peniaga Muslim sudah tentu tidak akan menyediakan makanan yang tidak halal. Peniaga Muslim sudah tentu tidak menyediakan makanan dengan percampuran perkara yang haram seperti babi dan arak. Namun perlu kita sedari bahawa penyediaan makanan kini tidak sama dengan cara yang dibuat secara tradisional pada masa dahulu. Proses dan penyediaan makanan kini tidak boleh lari daripada bahan-bahan yang diproses di kilang-kilang secara komersial. Atas dasar itulah, pensijilan industri halal menjadi signifikan dalam menentukan keabsahan halal sesuatu produk.

Namun, di bazar-bazar Ramadan, kita tidak dapat menentukan bahan-bahan dan sumber yang digunakan dalam proses penyediaan makanan tersebut. Sebenarnya cara menghadapi situasi seperti telah ditunjukkan oleh Rasulullah. Pada satu hari, Baginda diberikan makanan oleh orang Arab badwi. Sebahagian sahabat berasa ragu-ragu. Rasulullah kemudian membaca bismillah lalu memakan makanan tersebut.

3 Sebagai peringatan, setakat manakah masyarakat Islam sama ada pengguna dan peniaga bazar Ramadan menjaga solat Zuhur, Asar dan Maghrib pada bulan-bulan Ramadan? Bahkan apa yang dikesalkan ialah terdapat pengguna yang begitu teruja dengan persiapan Aidilfitri berbanding melakukan amal ibadah pada bulan Ramadan. Begitu juga peniaga bazaar terlalu mengejar keuntungan sehingga tidak dapat melakukan solat wajib dan sunat tarawih yang besar keistimewaannya di sisi Allah s.w.t.

mencari-halal-1

Berbuka Puasa di Hotel

Apa pandangan ustaz tentang berbuka puasa di restoran atau hotel yang tidak mendapat pengesahan halal daripada JAKIM atau JAIN?

Bagi persoalan di atas, saya mempunyai pandangan seperti berikut:

1 Sebagai pengguna Muslim, adalah menjadi kewajipan kita untuk mendapatkan makanan dan menggunakan produk-produk halal. Justeru, dalam konteks tawaran bufet untuk berbuka puasa di bulan Ramadan, pengguna Islam wajib mencari bufet Ramadan yang halal.

2 Isu bufet Ramadan merupakan isu yang saban tahun dibahaskan kerana kesedaran pengguna sendiri terhadap hak mereka mendapatkan juadah yang halal untuk berbuka puasa. Persoalannya, adakah hotel-hotel ini telah mendapat sijil halal daripada pihak berautoriti?

3 Bagi memastikan perkara tersebut, biasanya JAIN atau JAKIM akan mengeluarkan senarai hotel-hotel yang telah mendapat sijil halal terutamanya ketika menjelang Ramadan sama ada di media cetak atau media elektronik.

Para pengguna harus peka tentang senarai yang dikeluarkan kerana ia senarai rasmi yang mengesahkan hotel tersebut telah mendapat pengesahan dapur halal. Perlu diingatkan, bagi hotel-hotel empat atau lima bintang biasanya mempunyai lebih daripada satu dapur. Pengguna perlu memastikan penyediaan juadah berbuka puasa hanya disediakan oleh dapur yang mendapat sijil halal kerana pihak hotel tidak boleh mencampuradukkan penggunaan dapur yang mempunyai sijil halal dengan dapur yang tiada sijil halal.

4 Bagi pihak JAKIM, mereka boleh memberikan amaran kepada pengusaha hotel untuk tidak menggunakan istilah “Bufet Ramadan” kerana perkataan “Ramadan” merujuk kepada istilah khusus dalam agama Islam. Kuasa agama Islam adalah di bawah kuasa JAIN atau MAIN dan JAKIM. Mereka berhak menjaga penggunaan istilah “Bufet Ramadan” daripada disalahgunakan oleh pengusaha hotel yang tidak mendapatkan sijil halal.

5 Kesalahan menggunakan logo halal selain JAKIM di Malaysia, boleh dikenakan tindakan undang-undang. Menurut JAKIM, mulai 1 Julai 2012, mana-mana pertubuhan atau perbadanan yang masih menggunakan logo halal lain boleh didenda tidak melebihi RM200,000 dan denda tidak melebihi RM500,000 bagi kesalahan kedua serta berikutnya. Bagi bukan pertubuhan atau perbadanan pula, denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Manakala denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya pula akan dikenakan bagi kesalahan kedua dan berikutnya.

 

Fahrul Irfan Ishak

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz isu No.5


Fahrul Irfan bin Ishak

Lulusan B.A (Hons) Syariah Islamiah Universiti al-Azhar Mesir. Kemudian memperolehi Master of Comparative Laws, IIUM. Kini sedang mengikuti pengajian PhD in Halal Product Managemenet, UPM. Bertugas sebagai pensyarah di Universiti Kuala Lumpur-MITEC

Kembali ke atas