Menu

 

A+ A A-

HUKUM BARANGAN KULIT DAN UBAT UBATAN

Kasut Kulit

Soalan : Apakah hukum menggunakan barangan kulit seperti kasut atau beg tangan yang tidak diketahui halal atau haramnya?

Jawapan :Allah berfirman mafhumnya: “Dan Allah menjadikan bagi kamu rumah-rumah (yang kamu dirikan itu) sebagai tempat tinggal. Dan Dia menjadikan bagi kamu daripada kulit binatang-binatang ternak khemah-khemah yang kamu mendapatinya ringan (untuk di bawa) semasa kamu merantau dan semasa kamu berhenti. Dan juga daripada berjenis-jenis bulu binatang-binatang ternak itu, pelbagai barangan perkakas rumah dan perhiasan, (untuk kamu menggunakannya) hingga ke suatu masa.” (Surah al-Nahl: 80)

Secara umumnya ayat di atas menjelaskan bahawa kulit merupakan sebahagian daripada keperluan yang diciptakan oleh Allah untuk manusia. Walaupun begitu terdapat perincian hukum yang dibahaskan oleh para ulama berkenaan dengannya berdasarkan aspek jenis haiwan itu sama ada halal dimakan atau tidak dan cara kematiannya sama ada secara syarak seperti disembelih atau secara tidak syar‘i.
Berikut ialah rumusan hukum berdasarkan ulama:

hukum barangan2

Maka dalam konteks di Malaysia pendapat yang diamalkan adalah Mazhab Syafi‘i.

Ubat-Ubatan Haram

Soalan : Apakah hukum menggunakan ubat-ubatan yang diperbuat daripada bahan yang haram seperti arak dan babi?

Jawapan :Pertama sekali kita perlu melihat isu ini dalam dua situasi yang berbeza:

1.Wujud ubat-ubatan yang halal dengan fungsi yang sama Maka jumhur menetapkan haram menggunakan arak dan semua bahan yang memabukkan untuk tujuan perubatan. Antara dalilnya sabda Nabi yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak menjadikan penawar kepada kamu daripada apa-apa yang diharamkan ke atas kamu.” (Riwayat al- Bukhari)

Baginda pernah ditanya tentang arak yang digunakan untuk penyembuhan. Lalu Baginda menjawab dengan maksudnya: “Sesungguhnya ia bukan ubat tetapi penyakit!” (Riwayat Muslim).

Berdasarkan hadis di atas, hukum haram diperluaskan kepada apa juga perkara haram seperti babi. Walaupun begitu, terdapat pandangan-pandangan ulama’ berkenaan keharusan menggunakan ubat-ubatan daripada sumber yang haram dengan syarat-syarat tertentu.
hukum barangan12. Tiada alternatif ubat-ubatan yang halal dalam situasi ini, terdapat perbezaan pendapat yang ketara antara fuqaha sebagaimana berikut:

i. Mazhab Syafi‘i
Haram menggunakan arak sekiranya ia tidak bercampur dengan bahan-bahan lain. Harus menggunakannya sekiranya ada campuran bahan-bahan lain apabila tiada ubatan lain daripada yang suci (halal) dengan syarat rawatan itu dilakukan oleh doktor Muslim yang adil dan pakar dan ia digunakan dengan kadar yang tidak memabukkan.

ii. Mazhab Hanafi
Harus menggunakan ubatan daripada yang haram sekiranya diyakini ia boleh menjadi ubat dan tiada alternatif yang lain. Sekiranya dalam keadaan ragu-ragu, maka tidak dibolehkan. Walau bagaimanapun tidak boleh menggunakan apa sahaja daripada babi untuk perubatan. Manakala ulama lain seperti Izzuddin bin Abdul Salam berpendapat diharuskan berubat dengan najis sekiranya tiada ubatan daripada bahan suci. Maslahat kesihatan dan keselamatan lebih utama daripada maslahat menjauhi najis. Ibn Arabi dan al-Qurtubi pula melihat bahawa hukumnya harus menggunakan arak dalam keadaan darurat.

Wallahu a‘lam.

 

Ustaz Fahrul Irfan Ishak
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 10

 


 

Fahrul Irfan bin Ishak

Lulusan B.A (Hons) Syariah Islamiah Universiti al-Azhar Mesir. Kemudian memperolehi Master of Comparative Laws, IIUM. Kini sedang mengikuti pengajian PhD in Halal Product Managemenet, UPM. Bertugas sebagai pensyarah di Universiti Kuala Lumpur-MITEC

Kembali ke atas