Menu

 

A+ A A-

CUKUP ALLAH MENJADI SAKSI

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. menyebutkan, seorang lelaki dari Bani Israel telah meminta bantuan kawannya agar memberinya hutang sebanyak 1,000 Dinar. Lalu kawannya berkata, “Bawalah beberapa orang saksi agar mereka menyaksikan hutangmu ini.” Ia menjawab, “Cukuplah Allah sebagai saksi bagiku!” Orang itu berkata, “Datangkanlah seseorang yang menjamin pinjamanmu.” Peminjam itu hanya menjawab: “Memadailah Allah s.w.t. menjaminku.” Akhirnya kawan itu pun berkata, “Engkau benar!”

Maka wang itu diberikan kepadanya dengan janji dibayar balik dalam jangka waktu yang telah ditentukan. Setelah lama orang yang berhutang itupun berlayar untuk suatu keperluannya. Lalu apabila berlalu tempoh masa yang dijanjikan, dia mencari kapal yang dapat menghantarnya ke tempat asalnya untuk menjelaskan hutangnya itu, tetapi gagal.

PELIK TAPI BENAR - CUKUP ALLAH MENJADI SAKSI Ustaz Zahazan Mohamed - SOLUSI 6

Maka diapun kemudian mengambil sebatang kayu lantas menebuk lubang padanya, dan dimasukkannya wang 1,000 Dinar di dalamnya berserta surat kepada kawan yang memberi pinjaman itu. Lalu ia meratakan kembali kayu tersebut dan memperbaiki keadaannya. Selanjutnya ia pergi ke laut seraya berkata, “Ya Allah, sesungguhnya Engkau telah mengetahui bahawa aku meminjam wang daripada sahabatku sebanyak 1,000 Dinar. Dia meminta kepadaku seorang penjamin maka aku katakan waktu itu, ‘Cukuplah Allah sebagai penjamin.’ Dan ia memintaku seorang saksi, maka aku katakan juga, ‘Cukuplah Allah sebagai saksi.’

Kemudian ia pun berpuas hati dan yakin dengan janjiku itu. Aku telah berusaha keras mencari kapal untuk mengirimkan kepadanya wang yang telah aku pinjam, tetapi aku tidak mendapat kapal menghantarku pulang...Kerana itu aku kirimkan wang itu kepada-Mu.”

Lalu ia melemparnya ke laut dan pulang.

Sahabat yang memberi hutang itu keluar menunggu kedatangan kapal yang disangkanya membawa peminjam itu. Dia pun keluar rumah untuk melihat-lihat barangkali ada kapal yang membawa wang untuknya. Tiba di tepi laut dia menemui sebatang kayu. Dia lalu mengambil kayu itu untuk keperluan isterinya. Namun ketika ia membelah kayu tersebut ia mendapati wang yang dipinjamkan itu berserta sepucuk surat.

Selang beberapa waktu datanglah orang yang berhutang dengan membawa wang 1,000 Dinar kepada sahabatnya. Beliau berkata, “Demi Allah, baru hari ini aku dapat menaiki kapal membawaku pulang setelah sekian lama ternanti-nanti rombongan untuk kutumpangi.”

Orang yang memberinya hutang itu menjawab, “Bukankah engkau telah mengirimkan wang itu melalui sesuatu?” Ia menjawab, “Memang aku telah memberitahu kepadamu bahawa aku tidak dapat pulang sebelum ini.”

Orang yang memberinya hutang itu berkata, “Sesungguhnya Allah telah menunaikan apa yang engkau kirimkan kepadaku melalui kayu. Bawalah wang 1,000 dinarmu kembali, moga Allah melimpahimu dengan keberkatan.”

pelik

 

Ustaz Dr. Hj. Zahazan Mohamed
Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.6


Ustaz Dr Hj Zahazan Mohamed

Dilahirkan di Melaka, mendapat pendidikan awal di Kolej Islam Kelang, kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Yarmouk, Jordan. Mendapat Ijazah Sarjana (MA) dalam Bahasa Arab di Universiti Malaya, dan meneruskan pelajaran ke peringkat Ph.D. Berpengalaman dalam memimpin kursus dan membimbing jemaah haji dan umrah yang bertauliah dari Lembaga Tabung Haji. Sering dijemput ceramah agama di samping sering muncul dalam program radio dan tv. Aktif dalam bidang penerbitan bahan ilmiah di beberapa akhbar dan majalah.

Terbaharu, Dr. Zahazan sedang menjayakan pengajian tafsir “KULTUM” (Kuliah Tafsir Tujuh Minit) setiap hari di Surau Firdaus, Saujana Damansara. Satu ayat akan dikupas pada setiap hari. Pembaca boleh mengikuti beliau melalui Youtube dengan carian “kultum ust zahazan”.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

  TBBK1057 TBBK1157TBBK1182

   TBBK1052TBBK1297TBBK1126

    TBBK1214TBBK1052

Kembali ke atas