Menu

 

A+ A A-

MENEKUNI USLUB DAKWAH RASULULLAH

AL-TABARI dalam Jami’al-Bayan mencatatkan riwayat daripada Mujahid bahawa “al-Fath” yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah kejayaan membuka kota Makkah.

Dalam riwayat yang berasingan Ibn Jarir al-Tabariy juga mengemukakan pandangan daripada Ibn Zaid yang mengatakan ia tidak hanya terbatas kepada pembukaan kota Makkah, malah menjadi petunjuk kemaraan Islam ke tempat-tempat lain bagi menyempurnakan misi meninggikan agama Allah, sebagaimana yang dinyatakan pada ayat 40 surah al-Tawbah:

Maksudnya: “Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Setelah sepuluh tahun mendapat tarbiah langsung daripada Nabi, akhirnya orang Islam yang berhijrah ke Madinah kembali semula ke tanah tumpah darah mereka dengan penuh kemuliaan dan kehormatan.

Kajian demi kajian dilakukan oleh pakar ilmuwan dan sarjana Timur dan Barat untuk mencungkil rahsia kekuatan umat Islam pada masa itu. Bagaimana Islam berkembang dalam tempoh yang singkat hingga menjadikan agama yang diterima dan diamalkan oleh berbilion manusia yang berasal daripada latar belakang yang sangat berbeza. Mengagumkan bagaimana Islam boleh diamalkan oleh ramai manusia yang berasal daripada pelbagai tradisi dan adat budaya.

Kejayaan penyebaran Islam ke seluruh dunia tidak lain adalah kerana perancangan dakwah Baginda yang sistematik. Sejarah menyaksikan bagaimana sifat lemah lembut menjadi aset penting dan faktor utama Islam mudah diterima manusia, bukan dengan pedang atau kekerasan.

Mengenang kembali saat Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya menguasai kota Makkah (Fath Makkah) setelah berhijrah ke kota Madinah selama lebih kurang sepuluh tahun.

Ketika itu, walaupun kaum Musyrikin Makkah tidak lagi memiliki kekuatan untuk melawannya, beliau memberikan kebebasan seluas-luasnya kepada mereka sama ada memilih Islam atau tidak. Baginda bersabda: “Kalian bebas merdeka di muka bumi ini, tidak ada kedengkian dan pertentangan di antara kita.”

dakwah3

Sungguh di luar jangkaan! Ungkapan yang keluar daripada keagungan jiwa Baginda menjadi manifestasi ketinggian ajaran Islam. Ia begitu menyentuh hati sebahagian musyrikin Makkah akhirnya mengucapkan dua kalimat syahadat dan menerima Islam sebagai agama.

Perkara ini jelas pada ayat kedua surah di atas. Sebahagian penterjemah menterjemahkan ayat ini sebagai: “Dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong.”

Sebahagian ulama berpendapat ayat ini bercanggah dengan ayat atau hadis yang lain. Sebagai contohnya ayat tentang kebebasan beragama dengan ayat 110 surah Ali ‘Imran yang bermaksud:

“Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyeru kepada makruf, dan mencegah kemungkaran, dan beriman kepada Allah.”

Sebenarnya ayat di atas menjelaskan kepada kita tentang kepentingan menjalankan usaha dakwah agar manusia kembali kepada fitrah, iaitu Islam.

Namun demikian, dari sudut pelaksanaan ia hendaklah bertitik tolak daripada asas kebijaksanaan. Firman-Nya dalam surah al-Nahl ayat 125 yang bermaksud:

“Serulah mereka ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik serta bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan mengetahui orang yang mendapat petunjuk.”

Pakar-pakar tafsir memberikan pandangan yang berbeza tentang sebab penurunan ayat ini. Al-Wahidi menerangkan ayat ini turun setelah Rasulullah s.a.w. menyaksikan jenazah 70 sahabat yang syahid dalam Perang Uhud, termasuk Sayidina Hamzah, bapa saudara Baginda.

Al-Qurthubi pula menyatakan ayat ini turun di Makkah, ketika Rasulullah s.a.w mendapat arahan untuk gencatan senjata (muhadanah) dengan pihak Quraisy. Akan tetapi, al-Suyuti tidak menjelaskan adanya riwayat yang menjadi asbab al-nuzul ayat tersebut.

Kesimpulannya, inti pati seruan dakwah ayat ini berbentuk umum dan dakwah wajib dilakukan sama ada ke atas orang Islam atau bukan Islam. Ia tidak hanya khusus kepada peristiwa-peristiwa yang berlaku pada masa itu, berdasarkan asbab al-nuzul (jika ada). Ini kerana, ekspresi dalam ayat ini berbentuk umum, berdasarkan kata kerja arahan ud’u (serulah) yang tidak disebutkan siapa yang perlu diseru. Ini adalah gaya sastera bahasa Arab yang memberikan pengertian umum (li al-ta’mim).

Dari segi siapa yang dikehendaki berdakwah, ayat ini juga berbentuk umum. Meskipun ayat ini adalah perintah Allah kepada Rasulullah, perintah ini juga ditujukan kepada umat Islam.

dakwah

Ayat ini menggariskan tiga uslub dakwah menyeru manusia kepada Islam:

1. Dengan Hikmah :

Menurut al-Baghawi, hikmah ialah al-Quran dan sunah yang memberikan kekuatan hujah sehingga menunjukkan kebenaran dan menghilangkan kesamaran.Cara ini ditujukan kepada mereka yang ingin mengetahui kebenaran Islam sebenar, iaitu golongan yang mampu berfikir secara sempurna, seperti para ulama, pemikir, dan cendekiawan.

2. Dengan Peringatan yang baik (maw’izhah hasanah) :

Sayyid Qutb cenderung mengatakan ia adalah peringatan baik yang dapat menyentuh akal dan hati. Ini termasuk memberikan dorongan atau pujian (targhib) dan peringatan atau celaan (tarhib) ketika menyampaikan hujah. Cara ini lebih tertumpu kepada orang awam. Mereka berada dalam golongan yang pertama, namun masih dapat berfikir dengan baik dan mempunyai fitrah dan kecenderungan yang lurus.

3. Dengan debat yang paling baik (jadal/jidal atau mujadalah billati hiya ahsan) :

Imam al-Alusiy memberikan contoh yang menarik iaitu debat antara Nabi Ibrahim a.s. dengan Namrud yang direkodkan Allah dalam surah al-Baqarah.

Daripada segi cara penyampaian, sedaya upaya perdebatan itu disampaikan dengan cara yang lemah dan lembut, kecuali apabila tiada pilihan, cara yang keras mungkin diperlukan. Topik perbahasan pula, hanya tertumpu pada usaha menyampaikan kebenaran, bukan untuk mengalahkan lawan atau menyerang peribadinya. Ia dijalankan dengan cara menghancurkan kebatilan dan menyatakan kebenaran. Cara ini dituju kepada orang yang cenderung suka berdebat dan berbalahan, yang sudah tidak dapat lagi diseru dengan jalan hikmah dan maw’izhah hasanah.

Pada frasa akhir ayat tersebut memberikan maksud, bahawa jika urusan dakwah telah melalui tiga jalan tersebut, maka selanjutnya terserah kepada Allah. Hidayah adalah kerja Allah bukannya manusia. Kita hanya berkewajiban menyampaikan dan Allahlah yang memberikan petunjuk serta memberikan balasan, baik kepada yang mendapat hidayah mahupun yang tersesat.

Menekuni uslub dakwah Nabi ini Muslim akan mendapat jawapan tentang keberkesanan dakwah Nabi s.a.w. sehingga diperakui oleh setiap pengkaji termasuk seorang Kristian, Michael Hart, yang meletakkan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai tokoh terbaik dalam senarai 100 pemimpin terhebat di dunia.¤

 

Ustaz Zahazan Mohamed
Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.3

_______________________________________________________________________

Ustaz Dr Hj Zahazan Mohamed

Dilahirkan di Melaka, mendapat pendidikan awal di Kolej Islam Kelang, kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Yarmouk, Jordan. Mendapat Ijazah Sarjana (MA) dalam Bahasa Arab di Universiti Malaya, dan meneruskan pelajaran ke peringkat Ph.D. Berpengalaman dalam memimpin kursus dan membimbing jemaah haji dan umrah yang bertauliah dari Lembaga Tabung Haji. Sering dijemput ceramah agama di samping sering muncul dalam program radio dan tv. Aktif dalam bidang penerbitan bahan ilmiah di beberapa akhbar dan majalah.

Terbaharu, Dr. Zahazan sedang menjayakan pengajian tafsir “KULTUM” (Kuliah Tafsir Tujuh Minit) setiap hari di Surau Firdaus, Saujana Damansara. Satu ayat akan dikupas pada setiap hari. Pembaca boleh mengikuti beliau melalui Youtube dengan carian “kultum ust zahazan”.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

  TBBK1057 TBBK1157TBBK1182

   TBBK1052TBBK1297TBBK1126

    TBBK1214TBBK1052

Kembali ke atas