Menu

 

A+ A A-

MEDIA DAKWAH BARU

Saya bertemu seorang ustaz yang melarang kita daripada aktif di Internet. Menurutnya, Internet membawa banyak kerosakan. Beliau turut mengatakan bahawa Internet adalah strategi Barat untuk merosakkan umat Islam. Apa pandangan ustaz?

Jawapan

Dengan berat hati saya katakan, saya tidak bersetuju dengan pendapat ini. Pada hemat saya, Internet hanya sekadar alat. Terpulang kepada kita sama ada menggunakannya untuk kebaikan ataupun keburukan. Jika digunakan untuk keburukan, maka ia satu kesalahan. Namun jika digunakan untuk kebaikan, ia boleh memberi manfaat yang cukup banyak.

Islam tidak pernah mengharamkan penggunaan Internet sama ada untuk melayari laman sosial ataupun sebagainya. Jika ada keburukan daripadanya, maka sudah pasti ia adalah angkara penyalahgunaan oleh penggunanya.

Saya berpandangan, Internet terlalu kuat untuk kita jadikan sebagai musuh. Jika kita memusuhinya, kita pasti akan kalah. Masyarakat tidak dapat dihalang daripada mendekati Internet, terutamanya generasi muda. Malah jika kita menggunakan nama Islam untuk mengharamkan Internet, kita akan merosakkan imej Islam itu sendiri.

Buatan Yahudi

Internet dan laman sosial popular seperti Facebook adalah ciptaan Yahudi dengan agenda menyesatkan umat Islam. Maka kita diharamkan menggunakannya. Sejauh mana benarnya pendapat ini?

Jawapan

Saya sangat berharap agar kita tidak melihat perkembangan teknologi maklumat secara negatif, lalu memalitkannya kepada Islam. Pandangan kita sering kali disempitkan dan tidak selari dengan Islam. Islam tidak pernah memusuhi perkara baru termasuk teknologi maklumat yang wujud pada zaman ini.

media-dakwah-baru-2

Merujuk kepada sirah Nabi, Baginda tidak pernah berpandangan negatif kepada perkara baru meskipun datangnya daripada negeri lain. Bahkan Baginda sangat mengalu-alukannya jika ia bermanfaat untuk kebaikan masyarakat Islam.

Rasulullah turut berpesan: “Berusahalah mendapatkan apa yang bermanfaat bagimu.” (Riwayat Muslim). Andainya teknologi ini bermanfaat untuk diri kita dan umat Islam secara amnya, maka tiada halangan sama sekali bagi seorang Muslim untuk menggunakannya.

Ambillah contoh peristiwa perang Ahzab. Baginda mengalu-alukan cadangan Salman al-Farisi untuk membuat parit bagi mempertahankan Madinah daripada serangan musuh. Bahkan Rasulullah turun sendiri untuk menggali parit tersebut bersama-sama sahabat.

Tambahan pula, banyak keperluan yang kita gunakan sehari-hari sebenarnya buatan orang bukan Islam. Kereta, telefon, tenaga elektrik bahkan buku yang menyimpan ilmu Islam sekarang ini adalah hasil ciptaan bukan Islam. Kerana pencipta mesin cetak bukan seorang Muslim. Maka adakah kita mesti meninggalkan semua ini kerana ia bukan ciptaan Muslim? Hukum Islam tidak sejumud itu.

Internet untuk Islam

Bagaimana seharusnya sikap kita dalam melihat teknologi baru ini?

Jawapan

Gunakanlah teknologi ini untuk manfaat diri dan kebaikan Islam dengan sebaik-baiknya. Salurkan ia ke arah meningkatkan ilmu dan kualiti diri.

Dengan teknologi baru ini, sebenarnya kita mampu mendekatkan diri kepada para ulama dan tokoh agama yang tinggi ilmunya. Bukan hanya tokoh-tokoh dalam negara, namun juga tokoh-tokoh antarbangsa. Kita boleh menziarahi mereka pada bila-bila masa sahaja. Kita boleh mendengar ceramah mereka dan membaca kata-kata hikmah mereka tanpa kos yang tinggi.

media-dakwah-baru-3

Selain itu, Internet juga boleh digunakan untuk meningkatkan kualiti dakwah kita. Sebuah penelitian oleh PewInternet terhadap guru-guru sekolah menengah di Amerika menunjukkan 92% daripada mereka berpendapat Internet sangat membantu untuk mendapatkan bahan dan sumber rujukan. Dan 57% daripada mereka mengatakan Internet sangat membantu untuk memungkinkan mereka berinteraksi dengan para pelajar.

media-dakwah-baru-5

media-dakwah-baru-4

Bayangkan perubahan besar yang boleh berlaku apabila guru-guru agama dan pendakwah Islam menggunakan kemudahan ini untuk memperkemas metode dan kualiti dakwah mereka. Kebangkitan dakwah Islam di seluruh dunia pasti dapat segera berlaku.

Semakin Kritis

Tetapi ustaz, yang berlaku adalah Internet menjadikan para pemuda kita sukar menerima nasihat agama. Saya sering melihat mereka meragui ajaran tokoh-tokoh tertentu malah menolaknya. Bagaimana pandangan ustaz tentang fenomena ini?

Jawapan

Saya setuju dengan pengamatan saudara. Ledakan maklumat yang dibawa oleh Internet membuatkan generasi muda kita menjadi semakin pandai dan kritis. Ini kerana mereka terdedah kepada banyak maklumat baru yang sangat mudah didapati di hujung jari.

“Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka. Dengan zakat itu kamu boleh membersihkan dan menyucikan mereka dan berdoalah untuk mereka.”

Bagi saya, sikap ini sangat positif. Disebabkan itu, para pendakwah mesti sentiasa mempertingkatkan ilmu dan memperbaiki kualiti ceramahnya. Mereka tidak boleh lagi mengamalkan cara lama berceramah tanpa usul periksa kesahihan perkara yang disampaikan.

Setiap hadis yang disampaikan mesti dipastikan kesahihannya terlebih dahulu. Ini kerana kesedaran masyarakat terhadap bahaya hadis palsu sudah mulai berkembang. Pandangan fiqah juga perlu diperluas agar tidak berpandukan satu mazhab sahaja. Puncanya, masyarakat kita sudah mulai sedar dengan kepelbagaian mazhab dan ijtihad.

Masyarakat kita semakin bijak. Mereka tidak lagi mudah percaya dengan dakwaan tanpa dalil. Inilah salah satu sifat terpenting dalam Era Digital Baru. Sebagaimana yang dikatakan oleh Eric Schmidt, Ketua Eksekutif syarikat Google, dalam bukunya The New Digital Age: “ With more data, everyone gains a better frame of reference.” Dengan lebih banyak data, semua orang mendapat kerangka rujukan yang lebih baik.

Wallahu a‘lam.

USTAZ UMAR MUHAMMAD NOOR

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.18

 


 

Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas