Menu

 

A+ A A-

LOGIK KIAMAT AKAN BERLAKU

KEBANYAKAN manusia yang jahil dalam kalangan Musyrikin menyangka kehidupan mereka hanyalah di dunia sahaja. Mereka makan minum, berkahwin, bekerja dan apabila usia lanjut mereka akan mati lalu selesailah keberadaan mereka di dunia.

Ada pula sebahagiannya yang memaksa dirinya untuk mengatakan pada dirinya; bahawa dia hidup dan mati seperti hidup dan matinya makhluk-makhluk yang lain.

Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Jathiah ayat 24 yang bermaksud: “Dan mereka berkata: ‘Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman.’ Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.”

Mentafsirkan ayat ini, Ibn Jarir dalam tafsirnya mengemukakan sebuah hadis daripada riwayat Ibn Wahab daripada Yunus bin Yazid, bahawa Abu Salamah bin Abdul Rahman berkata daripada Abu Hurairah beliau mendengar Nabi s.a.w. mentafsirkan ayat ini dengan bersabda yang bermaksud: “Manusia mencemuh masa (zaman), sedangkan Aku (Allah) yang menciptakan waktu itu, pada tanganKu kejadian malam dan siang.”

Manusia yang menolak kebangkitan semula ini pada hakikatnya merupakan golongan yang memaksa diri mereka menerima perkara yang ditolak oleh akal sendiri. Betapa terangnya hakikat kelupaan manusia pada objektif kehidupan dan mentauhidkan Allah yang mana ia hanya terserlah apabila berada dalam keadaan terdesak, menerusi firman Allah dalam surah Yunus ayat 22 yang bermaksud:

“Dialah yang menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan berbagai jenis kenderaan); sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera, dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik, dan mereka pun bersukacita dengannya; tiba-tiba datanglah kepada mereka angin ribut yang kencang, dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata (sambil merayu dengan berkata): ‘Demi sesungguhnya! Jika Engkau (ya Allah) selamatkan kami daripada bahaya ini, kami tetap menjadi orang yang bersyukur.’”

Dalam suasana seperti itu barulah datang kesedaran mutlak manusia itu mempunyai tempat pergantungan yang selama ini dia abaikan. Selama hidup ini jarang dipedulikan, tenggelam dalam dunia sementara yang mengasyikkan.

Para ulama Islam zaman berzaman telah mengemukakan bukti yang tepat dantidak dapat disangkal bahawa akal manusia menerima tentang keperluan adanya suatu hari kebinasaan yang menyeluruh diikuti kebangkitan semula untuk dinilai segala yang telah dikerjakan. Bagi Mukmin, meyakini kiamat pasti berlaku berdasarkan:

1. Semua yang hidup pasti menemui kehancuran

Segala sesuatu yang diketahui manusia, dari objek yang paling besar hinggalah yang paling kecil lazimnya melalui proses kehidupan yang akan menuju kepada kehancuran. Tiada suatu makhluk pun yang dijadikan di dunia akan berkekalan sampai bila-bila. Yang pastinya ia akan musnah ataupun dimusnahkan oleh pihak lain.

Cuma menghadapi kebenaran ini manusia yang ingkar akan tetap mempertahankan keegoannya dengan mengatakan tamatnya riwayat dunia dengan seisi kandungnya sebagai berita palsu yang diada-adakan. Kelak apabila diperlihatkan di akhirat nasib mereka, barulah mereka akan mengaku, tetapi pengakuan sudah tidak berguna.

Firman Allah menjelaskan perkara ini dalam surah al-Ahqaf ayat ke 20, maksudnya: “Dan (ingatlah), semasa orang-orang kafir didedahkan kepada neraka (serta di katakan kepada mereka): ‘Kamu telah habiskan nikmat-nikmat kesenangan kamu dalam kehidupan dunia kamu, dan kamu telah bersenang-senang menikmatinya; maka pada hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghina kerana kamu berlaku sombong dan takbur di muka bumi dengan tidak berdasarkan alasan yang benar, dan kerana kamu sentiasa berlaku fasiq.”

Manusia dari kategori ini gagal menggunakan fitrah akal yang sihat yang se patutnya mengarah dan membantunya membuat keputusan untuk beribadah kepada Allah tanpa mensyirikkanNya. Kajian-kajian dan kepercayaan Barat turut menyokong teori ketibaan saat kehancuran, dikenali dengan teori “Armageddon”.

2. Iman terhadap hari kiamat

Iman terhadap hari kiamat merupakan kunci yang hakiki yang dapat mengubah manusia daripada hidup mengikut nafsu semata-mata, kepada menjadi hamba Allah yang sebenar. Ini berbeza dari seorang fasiq yang tidak meletakkan matlamat ini dalam diri hingga dunia ini bertukar menjadi medan memperjuangkan hak diri sendiri, tanpa adanya perasaan dia sedang dipantau dan diperhatikan.

Mukmin melihat segala musibah dan kesusahan serta malapetaka dari perspektif ujian yang mematangkannya menyebabkan dia akan mendapat “reward” ganti rugi tersebut dalam bentuk yang paling disenanginya di akhirat.

3. Permulaan satu hidup baru

Kiamat pada pandangan Mukmin merupakan awal hari kebangkitan dan pe tanda berakhirnya kehidupan dunia dan permulaan satu hidup baru yang lebih mencabar. Ini disebutkan oleh Nabi s.a.w. dalam sebuah hadis riwayat alTirmizi yang bermaksud: “Kubur itu mungkin menjadi lubang dari lubang-lubang api neraka ataupun taman dari taman-taman syurga.”

Perjalanan ke tempat tersebut bermula dengan kematian dan diikuti dengan ke bangkitan semula. Melakukan dosa dan maksiat pasti menjadikan Mukmin dihantui oleh perasaan berdosa dan ketentuan hukuman yang bakal dikenakan.

4. Janji syurga

Allah s.w.t. telah berjanji kepada manusia yang beramal soleh bahawa diperuntukkan untuknya syurga yang mengalir sungai-sungai. Sebagai contohnya Allah berfirman dalam surah al-Talaq ayat ke 11 maksudnya:

“(Dengan mengutus) seorang rasul (Nabi Muhammad s.a.w) yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Allah yang menerangkan kebenaran, supaya Allah mengeluarkan orang (yang sedia diketahuiNya akan) beriman dan beramal soleh— dari gelap gelita (kesesatan) kepada cahaya (hidayah). Dan (ingatlah), sesiapa yang beriman kepada Allah dan beramal soleh, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah (dengan yang demikian) telah mengurniakan kepadanya sebaik-baik pemberian.”

5. Ujian di dunia untuk mendapat nikmat di akhirat

Seorang beriman perlu meyakini dengan sebenar-benarnya tentang kedatangan hari kiamat kerana dengan cara itulah sahaja dia akan memperoleh ketenangan hati, kesungguhan dalam beramal, terasa kecilnya ujian yang dilalui di dunia dan kesucian hati.

Jika ditimpa sakit, dia sedar bahawa itu merupakan penghapusan dosa ataupun untuk menaikkan darjatnya. Ujian yang mendatang, dilaluinya dengan sabar menyebabkan dia makin yakin adanya kasih sayang Tuhan di sebaliknya. Dunia terlalu kecil buatnya. Segala urusan akan dikembalikan pada yang empunya urusan iaitu Allah s.w.t. Dia meletakkan matlamatnya adalah syurga yang indah, di mana tidak dapat dibayangkan kurniaan Allah dalamnya.

Dia meyakini firman Allah dalam ayat 30 surah Fussilat adalah khas buatnya: “Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinan nya dengan berkata: ‘Tuhan kami ialah Allah’, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): ‘Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.’”

6. Rasul memberi ingatan

Kebangkitan para nabi dan rasul adalah bertujuan memberikan ingatan dan amaran tentang kiamat dan pertemuan yang pasti dengan Allah. Firman Allah dalam surah al-Nisa’ ayat 165 maksudnya:

“Rasul-rasul (yang Kami utuskan itu semuanya) pembawa khabar gembira (kepada orang yang beriman), dan pembawa amaran (kepada orang yang kafir dan yang berbuat maksiat), supaya tidak ada bagi manusia sesuatu hujah (atau sebarang alasan untuk berdalih pada hari kiamat kelak) terhadap Allah sesudah mengutuskan rasul-rasul itu. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

7. Iman merupakan satu pandangan yang bersifat hati

Kaedah kehidupan dan polisinya mesti dibangunkan atas petunjuk daripada Allah. Allah berfirman dalam surah al-Mulk ayat 2 yang bermaksud: “Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) — untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah antara kamu yang lebih baik amalannya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang yang bertaubat).”

Justeru, seorang Mukmin yang benar ibarat seorang pelawat yang menziarahi dunia dengan keyakinan bahawa dia akan kembali semula ke tempat asalnya apabila dia selesai menyempurnakan tanggungjawabnya. Dia yakin semua amalannya bergantung pada persembahannya semasa di dunia dahulu.

Dia mengharapkan seruan terakhir untuk nya di sisi Allah di akhirat, sama adadengan:

“Dan orang kafir akan dihalau ke neraka jahanam dengan berpasukan-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke neraka itu dibukakan pintu-pintunya dan berkatalah penjaga-penjaganya kepada mereka: ‘Bukankah telah datang kepada kamu rasul-rasul daripada kalangan kamu sendiri, yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Tuhan kamu dan memperingatkan kamu akan pertemuan kamu pada hari ini?” (Surah alZumar 39: 71)

Ataupun:

“Dan orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke syurga dengan berpasukan-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke syurga yang pintu-pintunya sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalualukan mereka dengan kata-kata: ‘Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya.’” (Surah al-Zumar 39: 73)¤

 

Ustaz Zahazan Mohamed

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.3

 

Ustaz Dr Hj Zahazan Mohamed

Dilahirkan di Melaka, mendapat pendidikan awal di Kolej Islam Kelang, kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Yarmouk, Jordan. Mendapat Ijazah Sarjana (MA) dalam Bahasa Arab di Universiti Malaya, dan meneruskan pelajaran ke peringkat Ph.D. Berpengalaman dalam memimpin kursus dan membimbing jemaah haji dan umrah yang bertauliah dari Lembaga Tabung Haji. Sering dijemput ceramah agama di samping sering muncul dalam program radio dan tv. Aktif dalam bidang penerbitan bahan ilmiah di beberapa akhbar dan majalah.

Terbaharu, Dr. Zahazan sedang menjayakan pengajian tafsir “KULTUM” (Kuliah Tafsir Tujuh Minit) setiap hari di Surau Firdaus, Saujana Damansara. Satu ayat akan dikupas pada setiap hari. Pembaca boleh mengikuti beliau melalui Youtube dengan carian “kultum ust zahazan”.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

  TBBK1057 TBBK1157TBBK1182

   TBBK1052TBBK1297TBBK1126

    TBBK1214TBBK1052

Kembali ke atas