Menu

 

A+ A A-

NABI, IZINKAN AKU BERZINA!.

FIRMAN Allah s.w.t. dalam surah al-Isra ayat 32 yang bermaksud: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang keji dan jalan jahat (yang membawa kerosakan).” Ayat ini sebenarnya mempunyai kaitan yang amat rapat dengan ayat-ayat sebelum dan selepasnya yang menyenaraikan sifat-sifat orang yang beriman sebelum melayakkannya memiliki kerangka maqam kesalihan.

Firman Allah dalam hubung kaitnya dengan ayat ini bermula dari ayat 25 yang bermaksud: “Tuhan kamu lebih mengetahui akan apa yang ada pada hati kamu; kalaulah kamu orang yang bertujuan baik mematuhi perintah-Nya, maka sesungguhnya Dia Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat.”

Diikuti ayat 26 dan 27:

“Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir, haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. Sesungguhnya orang yang boros itu ialah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula ialah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

Ayat 29:

“Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu (bersifat kedekut), dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya (tanpa peruntukkan untuk dirimu sendiri), kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan dicela dan menyesal.”

Ayat 31:

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar.”

Kemudian barulah datang peringatan yang menjadi fokus kita di sini, iaitu suruhan dalam menjauhi zina.

Kesimpulannya dalam kaitan antara sifat-sifat Mukmin yang soleh di sini ialah keperluan melakukan setiap perkara tersebut secara berangkai. Mengabaikan salah satu daripada sifat-sifat yang disenaraikan ini akan menggagalkan misi mencapai darjat kesolehan yang disebut Allah dalam ayat ini. Menghubungkan ayat ini dengan suasana semasa ketika umat Islam diuji dengan mehnah dan fitnah baru, solusi yang paling menarik adalah merujuk kepada hadis-hadis Nabi s.a.w.

Kita sebagai umat yang hidup pada zaman fitnah ini tidak dapat tidak adalah sama ada sebagai suami atau isteri, ayah, ibu atau anak. Bagaimanakah kita memahami realiti semasa dan mengaplikasikan tuntutan ayat ini? Ibn Kathir mengemukakan satu riwayat daripada Imam Ahmad dalam Musnadnya tentang peristiwa datangnya seorang pemuda kepada Nabi dan meminta daripada Nabi keizinan untuk melakukan zina.

Perbuatan yang mengundang kemarahan para sahabat itu, dihadapi dengan tenang oleh Nabi s.a.w. Baginda memanggil pemuda itu mendekatinya lantas bertanyakan kepadanya beberapa soalan yang telah menyebabkan berlaku perubahan paradigma pada pemuda ini.

Soalan Nabi yang pertama : Adakah beliau menyukai perbuatan itu dilakukan terhadap ibunya?

Naluri fitrah menyebabkannya menolak kemungkinan manusia boleh redha kekejian sedemikian berlaku terhadap ibunya. Demikian pula soalan Nabi bertalu-talu kepadanya tentang perlakuan itu jika dikerjakan terhadap anak perempuannya, saudara perempuannya atau ibu-ibu saudaranya. Semuanya dijawab dengan penuh keyakinan oleh pemuda tersebut: “Tiada siapa merelakan golongan perempuannya diperlakukan begitu!”

Nabi s.a.w akhirnya bersabda yang bermaksud: “Jika kamu tidak menyukai dilakukan kepada wanita-wanitamu, maka janganlah engkau melakukannya kepada mana-mana wanita lain kerana mereka itu tidak lain dan tidak bukan adalah salah seorang daripada kategori itu.” Dengan sifat penyayangnya akhirnya Nabi mendoakan buat pemuda ini dengan doa Nabi yang mustajab, tanda mukjizat baginda: “Ya Allah ampunkanlah dosanya, bersihkanlah hatinya dan sucikanlah kemaluannya!” Pemuda ini akhirnya didapati oleh Abu Umamah selaku perawi hadis tidak lagi terpedaya dengan ajakan-ajakan maksiat dan syahwat yang merosakkan.

Zina sebenarnya bukanlah suatu yang asing dalam hidup manusia. Dalam hadis yang sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim, Nabi s.a.w. menerangkan terdapat pelbagai cara yang dilakukan oleh wanita-wanita pada zaman Jahiliah untuk menarik kaum lelaki agar berzina dengannya, antaranya dengan menggantungkan bendera di hadapan rumahnya ataupun dengan mengiklankan kepada orang ramai untuk datang ke rumahnya untuk berzina.

Kelak dia sendiri yang akan memilih mengikut sangkaannya bapa budak dalam kalangan puluhan lelaki yang telah melalui “pengalaman manis” bersamanya. Apabila kejadian manusia memerlukan kepada seorang yang berlainan jenis daripadanya untuk memenuhi keperluan naluri dan biologinya, maka Islam meletakkan jalan keluar yang sangat munasabah untuknya.

Di sini, Islam mensyariatkan perkahwinan. Firman-Nya dalam surah al-Nisa’ ayat 24 yang bermaksud: “Dan dihalalkan bagi kamu perempuan- perempuan yang lain daripada yang tersebut itu, untuk kamu mencari (isteri) dengan harta kamu secara bernikah, bukan secara berzina.” Di samping dapat memenuhi tuntutan naluri yang terdapat dalam diri setiap individu yang normal, perkahwinan juga memberikan kepadanya pelbagai kelebihan, antaranya:

1.     Nikmat kelahiran anak-anak.

Firman Allah dalam surah al-Nahl ayat ke 72, bermaksud: Dan Allah menjadikan bagi kamu daripada diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu daripada pasangan kamu, anak-anak dan cucu-cicit.”

2. Nikmat ketenangan fikiran dan perasaan.

Perkara ini jelas dinyatakan Allah menerusi firman-Nya dalam surah al-Rum ayat 21 yang bermaksud: “Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.”

Menurut Syeikh Hasanain Muhammad Makhluf dalam tafsirannya terhadap ayat di atas menerusi kamus Kalimat al-Quran, kejadian isteri adalah untuk ditumpahkan perasaan, atau dalam maksud yang lain adalah agar terjalinnya kasih mesra. Ini disebabkan kelainan jantina menjadikan kedua-duanya saling menyempurnakan antara satu dengan yang lain.

3. Nikmat kebersamaan dan kesalingan di antara satu dengan yang lain.

Kesalingan inilah yang diumpamakan oleh Allah sebagai pakaian yang berperanan menutup anggota tubuh dan mencantikkannya. Firman Allah dalam ayat 187 surah al-Baqarah yang bermaksud: “Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.”

Walaupun zina secara zahirnya merupakan hubungan yang berlaku hasil daripada keperluan naluri dan biologi pasangan lelaki dan perempuan, namun fitrah manusia yang sejati menolak datangnya tiga faedah yang dikemukakan di atas. Zina, sebaliknya mendatangkan pelbagai komplikasi melibatkan imej diri individu terbabit dan anak-anak disamping mendedahkan kepada berbagai-bagai wabak dan penyakit.

Di samping pendekatan dan bimbingan psikologi yang dapat menenangkan nafsu dalam diri, Muslim juga harus mengambil pendekatan lain mengelakkan diri dan anak-anak didik daripada terjerumus dalam kancah zina dan persetubuhan haram. Di peringkat suami isteri, pengarang buku Sexual Issues in Modern Era and Its Solution, Dr. Muftie Allie Haroun mengemukakan beberapa cadangan menarik kepada pasangan-pasangan Islam agar menjalankan langkah-langkah berikut:

Pertama: Melakukan anjakan paradigma terhadap banyak isu melibatkan hubungan suami isteri, contohnya menghadirkan diri dalam kursus-kursus rumah tangga yang memberi fokus kepada hubungan seks selepas perkahwinan dan cara memperbaikinya.

Kedua: Suami isteri hendaklah berkomunikasi dengan lebih terbuka tanpa perlu berselindung tentang keperluannya. Ini penting untuk mengelakkan timbulnya ketidakpuasan hati di antara mereka dalam hubungan.

Ketiga: Suami isteri hendaklah Menjaga keterampilan diri agar selalu kelihatan menarik untuk mengelakkan pasangan tertarik kepada orang lain.

Keempat: Mendapatkan nasihat-nasihat pakar jika menghadapi sesuatu masalah dalam hubungan seksual. Walau bagaimana hebat cadangan yang dikemukakan, tanpa iman yang mantap yang lahir daripada tindak tanduk yang dijaga dengan rapi, dengan benih-benih taqwa, setiap usaha yang dilakukan akan menemui kebuntuan.

Maha benar Allah apabila menyatakan dalam kesimpulan sifat-sifat golongan soleh ini dalam ayat ke 36 selepasnya, yang bermaksud: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” ¤

 

Ustaz Zahazan Mohamed

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No. 2

_________________________________________________________________

Ustaz Dr Hj Zahazan Mohamed

Dilahirkan di Melaka, mendapat pendidikan awal di Kolej Islam Kelang, kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Yarmouk, Jordan. Mendapat Ijazah Sarjana (MA) dalam Bahasa Arab di Universiti Malaya, dan meneruskan pelajaran ke peringkat Ph.D. Berpengalaman dalam memimpin kursus dan membimbing jemaah haji dan umrah yang bertauliah dari Lembaga Tabung Haji. Sering dijemput ceramah agama di samping sering muncul dalam program radio dan tv. Aktif dalam bidang penerbitan bahan ilmiah di beberapa akhbar dan majalah.

Terbaharu, Dr. Zahazan sedang menjayakan pengajian tafsir “KULTUM” (Kuliah Tafsir Tujuh Minit) setiap hari di Surau Firdaus, Saujana Damansara. Satu ayat akan dikupas pada setiap hari. Pembaca boleh mengikuti beliau melalui Youtube dengan carian “kultum ust zahazan”.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

  TBBK1057 TBBK1157TBBK1182

   TBBK1052TBBK1297TBBK1126

    TBBK1214TBBK1052

Kembali ke atas