Menu

 

A+ A A-

SIAPAKAH PEMUDA AL-KAHFI

ANTARA surah yang memberikan penekanan terhadap aspek akidah ialah surah al-Kahfi. Menurut Jamaluddn al-Qasimi dalam tafsirnya, surah ini juga dinamakan sebagai surah Ashabul-Kahfi.

Berkata al-Muhayimiyy, ia dipanggil mengambil sempena penghuni gua yang beriman kepada Allah, mereka telah beriman sepenuhnya mengatasi tekanan musuh dan bergantung sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Surah ini juga memperjelaskan tentang berbagai-bagai kekuasaan Allah yang kelihatan pada hamba-Nya yang beriman.

Perkara-perkara ini adalah termasuk dalam Maqasid al-Quran yang bermaksud Objektif-objektif Asas al-Quran. Surah ini merupakan antara lima surah yang dimulakan dengan “alhamdulillah”, selainnya ialah al-Fatihah, al-An’am, Saba‘ dan Fathir.

Mesej asas surah ini adalah untuk mengukuhkan keimanan kepada Allah. Kata Ibn ‘Asyur dalam al-Tahrir, Allah s.w.t. telah meletakkan lima hamdalah (pujian) dalam al-Quran dimulai seperlima yang awal dalam surah al-Fatihah, diikuti dengan seperlima yang kedua pada awal surah al-An’am, seperlima ketiga pada permulaan surah al-Kahfi. Seperlima yang keempat pula pada awal surah Saba dan seperlima yang terakhir adalah pada awal surah Fatir.

Menurut al-Dailamiyy dalam musnadnya dari Anas surah ini dibawakan oleh 70,000 malaikat ketika diturunkan. Perkara ini bukanlah suatu yang menghairankan kerana kandungan surah ini yang membincangkan secara fokus perkara-perkara yang menjadi teras kepada Islam itu sendiri. Menurut Muhammad Ali al-Sabuniyy dalam tafsir Safwatu al-Tafasir, surah ini mengandungi tiga topik asas iaitu:

1. Kisah Ashab al-Kahfi
Di sebalik kisah yang berlaku ini sebenarnya kita dikehendaki agar mencontohi keimanan para pemuda yang melarikan diri ke dalam gua kerana hendak menyelamatkan akidah daripada dimurtadkan. Kemudian Allah s.w.t. telah menjadikan mereka tidur dalam tempoh melebihi 300 tahun. Kemudian mereka dibangkitkan Allah selepas melalui tempoh yang panjang itu.

2. Kisah Pertemuan Nabi Musa a.s. dengan Nabi Khadir a.s.
Kisah ini dikemukakan untuk mengingatkan kita agar bersikap tawaduk dalam perkara melibatkan ilmu. Dalam episod persahabatan ini Nabi Musa didedahkan dengan berbagai-bagai perkara ghaib yang dikurniakan ilmunya kepada hamba yang soleh ini seperti kisah merosakkan kapal, membunuh budak lelaki dan mendirikan tembok buat penghuni kampung yang bersikap bakhil kepada mereka.

3. Kisah Raja Zulkarnain
Raja Zulkarnain dianugerahi pemerintahan yang besar disebabkan keadilannya. Beliau telah diberi amanah pemerintahan empayar yang luas dari Timur hingga ke Barat. Selain itu Allah telah menggambarkan tentang kekuasaan Zulkarnain yang telah membina tembok keselamatan yang besar bagi mengelakkan penghuni tempat itu dari kezaliman Ya’juj dan Ma’juj.

Apabila kita menyelidik dengan lebih lanjut kisah Ashabul Kahfi, kita pasti akan melihat berbagai-bagai petua yang wajar kita jadikan panduan dalam hidup. Perkara pertama yang ditekankan dalam surah ini ialah kepentingan pendidikan akidah pada generasi umat Islam. Kesanggupan para pemuda melarikan diri ke dalam gua adalah disebabkan oleh keyakinan yang konkrit bahawa mereka berada di pihak yang benar menyebabkan segala tekanan dapat dilalui dengan hati yang lapang.

kahfi

Penglibatan dalam jemaah juga cukup bererti dalam perjuangan mengejar sesuatu objektif dalam hidup. Perkara ini membenarkan wasiat Nabi s.a.w. buat semua umat baginda agar menyertai kumpulan orang Islam. Dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim, Nabi s.a.w. pernah ditanya oleh para Sahabat tentang peristiwa-peristiwa akhir zaman.

Hadis itu bermaksud: “Saya bertanya kepada Nabi s.a.w. adakah selepas kebaikan ini kejahatan, jawab baginda, “Ya! Itulah golongan para penyeru kepada neraka jahannam, sesiapa yang mentaatinya maka akan dicampak ke dalam neraka.” Saya bertanya: “Ya Nabi, terangkan kepada saya tentang keadaan mereka,” lalu Nabi menjelaskan: “Mereka adalah dari bangsa yang sama dengan kita dan bercakap dengan bahasa kita.” Saya bertanya, apakah yang Nabi wasiatkan saya untuk lakukan jika musibah itu berlaku, jawab Nabi s.a.w.: “Hendaklah engkau menyertai jemaah orang Islam dan pemimpinnya!”

Justeru, jika dikaji dan direnungi dengan penghayatan, kita dapati surah ini memfokuskan bahawa penggarapan nilai-nilai tauhid dalam diri merupakan suatu kerja yang perlu dilakukan berterusan dan sebaik-baiknya dilakukan dalam kumpulan, kerana proses itu pasti akan menjadi lebih mudah berbanding jika dilakukan seorang diri.

Ustaz Dr. Hj. Zahazan Mohamed
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu Perdana


Ustaz Dr Hj Zahazan Mohamed

Dilahirkan di Melaka, mendapat pendidikan awal di Kolej Islam Kelang, kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Yarmouk, Jordan. Mendapat Ijazah Sarjana (MA) dalam Bahasa Arab di Universiti Malaya, dan meneruskan pelajaran ke peringkat Ph.D. Berpengalaman dalam memimpin kursus dan membimbing jemaah haji dan umrah yang bertauliah dari Lembaga Tabung Haji. Sering dijemput ceramah agama di samping sering muncul dalam program radio dan tv. Aktif dalam bidang penerbitan bahan ilmiah di beberapa akhbar dan majalah.

Terbaharu, Dr. Zahazan sedang menjayakan pengajian tafsir “KULTUM” (Kuliah Tafsir Tujuh Minit) setiap hari di Surau Firdaus, Saujana Damansara. Satu ayat akan dikupas pada setiap hari. Pembaca boleh mengikuti beliau melalui Youtube dengan carian “kultum ust zahazan”.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

  TBBK1057 TBBK1157TBBK1182

   TBBK1052TBBK1297TBBK1126

    TBBK1214TBBK1052

Kembali ke atas