Menu

 

A+ A A-

DAKWAH DISIRNA POLITIK DISINAR MATERIALISTIK

Soalan : Saya seorang pendakwah yang non-partisan. Apabila saya menampilkan isu-isu penyatuan umat, saya telah dilabel sebagai mewakili suara dan kelompok partai tertentu. Seolah-olah isu perpaduan tidak boleh langsung dibahaskan. Apa komen ustaz?

Jawapan : Pendakwah sejati itu seorang pejuang Islam yang utuh dengan segala isi dan kandungannya. Islam yang dibawa adalah padu yang tidak mengenal pemecahan dan kepartian. Politik kepartian bukan uslub asasi, bukan jua jawhar alamal. Ia hanyalah sekadar umur janibiyyah iaitu urusan sampingan yang digarap dengan kadar yang terbatas yang seharusnya tidak mengatasi kepentingan dakwah.
Kita tidak dapat mengelak daripada menyatakan rasa cemas dan khuatir dengan berleluasanya budaya naked politics dan kacaunya peraturan di gelanggang pertempuran dalam kalangan politikus. Power! At all cost. Itulah semangat yang sedang merasuk sebahagian mereka.

Demokrasi Barat dengan segala praktik dan nilai bawaannya tanpa diserasikan dengan syariah dan akhlak, bakal merosakkan kesopanan dan kehalusan budi umat Islam. Umat yang selama ini terkenal dengan kehalusannya, masyarakat pepatah-petitih, masyarakat tamsil ibarat kini sudah mahir memaki hamun dan mencerca secara terbuka. Semuanya atas nama demo(n) crazy.

Alangkah pedihnya dalam keghairahan menonjolkan keunggulan Islam, tiba-tiba kita ditempelak oleh perang mulut yang jelik dan memalukan dalam realiti kehidupan umat Islam sendiri. Tidak habis-habisnya umat dilitupi mega mendung kemelut sengketa yang tidak ada hentinya.

Apalah ertinya Islamisasi andainya pendakwah tidak menyeru ke arah tuntutan asasi aqidah iaitu persaudaraan atas dasar keimanan. Umat Islam tidak akan dapat berasakan nikmat Islam andainya hati mereka hangus dibakar api permusuhan sesama sendiri. Perpaduan adalah keberuntungan bagi ummah iaitu keberuntungan yang diperoleh tanpa merugikan mana-mana pihak.

Umat Islam perlu diselamatkan segera sebelum dikandangkan untuk ke sekian kalinya dalam eksperimen semberono partai-partai siyasi. Untuk mencapai survival, memang masyarakat memerlukan semacam gerakan perubahan dan transisi.

Namun sebenarnya para pendakwah yang perlu ke depan bagi mengisi dan menangani proses perubahan yang diperlukan itu. Perubahan itu besar meliputi mental dan spiritual, jiwa dan raga, lahir dan batin yang menepati erti human transformation menuju watak Muslim tulen yang layak menduduki kembali posisi unggul sebagai khayra ummah.

Dunia Kebendaan
Soalan : Rata-rata golongan metropolitan dan elit di kota-kota besar kelihatannya agak mengejar kebendaan dan cenderung untuk hidup bergaya. Apa ruang dakwah yang boleh kita ambil bagi melayani fenomena ini?

Jawapan : Memang kita sedang berada pada zaman kemuncaknya tughyan al-maddiyyah iaitu pesona kehidupan materi duniawi. Gaya hidup mewah yang kian membudaya merupakan jelmaan fahaman materialisme- hedonisme yang tidak dapat didamaikan dengan Islam.
Ini juga merupakan zaman lemas dan rimas yang ditandai oleh undang-undang rimba golongan elit: Siapa kuat dia selamat, siapa lemah dia punah. Undangundang umpama pisau: ke bawah menghiris, ke atas tumpul.

Namun secara positifnya, kebejatan ini telah mengakibatkan keserataan rasa bosan dan jijik golongan marhaen melihat gaya hidup mabuk kebendaan dan konsumerisme rakus kelompok elitis ini.

Suasana materialisme – hedonisme yang serba cabul dan lacur sebegini natijahnya menimbulkan kerinduan yang meluap-luap masyarakat terhadap nilai-nilai kemanusiaan, kehidupan beragama dan spiritual.

Maka, tanpa disedari zaman ini telah menyediakan iklim yang sesuai untuk great awakening iaitu kebangkitan baru Islam. Peluang berupa sarana, suasana bibit-bibit kesedaran dan tunas-tunas kebangunan umat sudah terbentang luas.

Lihat sahaja lambakan buku, majalah dan novel Islamik di tokotoko buku, begitu jua siaran radio dan televisyen yang menjadikan Islam sebagai bahan kandungan. Perhatikan juga kelompok pemuda pemudi dan artisan berubah, berjubah dan berhijrah.

Pendakwah tidak harus menanggapi kebangunan spiritual masyarakat ini dengan melihatnya sebagai fenomena tontonan yang mengasyikkan dan mengharukan semata-mata. Ambillah pendekatan yang islamiah setulennya. Bukan pendekatan populis, bukan pendekatan Marxisme dan bukan pendekatan pragmatis.

Pendakwah perlu bersedia dan berusaha memperjuangkan isu-isu berkaitan yang sudah dipastikan sah daripada sudut pandangan Islam. Pendakwah harus berani menolak isu yang tidak sah walaupun ia isu popular. Dengan kata lain, mesti ada keberanian menentang arus jika terpaksa.

Untuk menyampaikan dakwah yang berwibawa, pendakwah harus mampu menjelmakan dirinya sebagai a force to reckon with -kekuatan yang layak diperhitungkan orang. Dengan sikap waspada dan penuh prihatin, dukunglah cita-cita kebangkitan Islam hingga benar-benar berhasil. Moga apa yang dinamakan kebangkitan baru Islam ini benar-benar suatu hakikat dan kenyataan, bukan sekadar al-sarabu al-khadi‘-kemilau fatamorgana yang disangka air oleh orang yang kehausan.
Selamat berjuang.
Wallahu a‘lam.

META

Ustaz Badli Shah Alauddin
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 10

 


 

Ustaz Badli Shah Alauddin

Sarjana Muda Usuluddin dan Dakwah (Tafsir al-Quran) Universiti al-Azhar. Kini sedang melanjutkan pengajian Sarjana Sains di Universiti Malaysia Terengganu.Merupakan Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan di Jabatan Agama Islam Pahang. Mendapat bimbingan langsung kemahiran menyampaikan dakwah daripada Prof. Dr. Abd al-Mun‘im Subhi Abu Shu‘ayshi‘ Abu Dunya, tokoh ulama Mesir.

Kembali ke atas