Menu

 

A+ A A-

AYAH TIDAK MAHU MEWALIKAN SAYA

SECARA umumnya perwalian merupakan autoriti syariah yang memberikan pemiliknya kuasa untuk melaksanakan akad nikah. Dengan ungkapan lain, perwalian adalah hak syarii melaksanakan keputusan atas urusan orang lain secara paksa.

Perwalian dalam pernikahan terbahagi kepada dua jenis iaitu:

a. Wali Mujbir

Wali yang memiliki autoriti melaksanakan akad nikah atas yang diwalikannya (mempelai perempuan), baik perempuan itu suka atau tidak. Perempuan tersebut tidak mempunyai pilihan sama sekali atas keputusan wali mujbir dan tidak diminta pendapatnya dalam pernikahan.

Menurut pandangan Syafi ’iyah (ulama Syafii), status wali mujbir hanya diberikan kepada wali asli si perempuan, iaitu hanya ayah atau datuknya saja dan tidak diberikan status tersebut kepada saudaranya yang lain. Tegasnya, perwalian mujbir hanya milik asli si perempuan seperti disebutkan di atas kerana mereka dianggap paling berhak mengurus pernikahan anak perempuan atau cucu perempuan. AlSyirazy mengatakan: “Selain ayah dan datuk, tidak ada seorang pun yang berhak memperoleh hak perwalian mujbir.” (AlMuhazzab, jilid 2, hlm. 37)

Tetapi, kuasa wali mujbir menikahkan perempuan yang masih gadis tidak mutlak, tetapi kuasanya tertakluk dengan syarat yang tertentu:

·    Tidak ada permusuhan antara bakal pengantin perempuan dengan walinya.
·    Tidak ada permusuhan antara perempuan itu dengan bakal suaminya.
·    Perempuan itu sekufu dengan bakal suaminya.
·    Bakal suami perempuan itu sanggup membayar mas kahwinnya.
·    Dibayar dengan mas kahwin mengikut adat negeri.
·    Mas kahwin itu hendaklah dibayar dengan mata wang tempatan.
·    Bakal suami perempuan itu bukan orang yang susah kehidupannya, seperti buta, tuli atau terlalu tua.

b. Wali Musyarik (Ikhtiyar)

Hak perwalian wali musyarik diperoleh setelah bermusyawarah terlebih dahulu dengan perempuan untuk memilih calon suaminya. Maksudnya, wali tidak berhak penuh menikahkan si perempuan. Si perempuan juga tidak berhak penuh dalam urusan pernikahannya, melainkan setelah ada restu daripada wali. Setelah itu, wali memiliki autoriti penuh menikahkan si perempuan.

Hak perwalian syarikah diberikan kepada kerabat perempuan, mulai yang paling dekat dengan urutan sebagai berikut:

1. Bapa.
2. Datuk sebelah bapa.
3. Saudara lelaki seibu sebapa.
4. Saudara lelaki sebapa.
5. Anak lelaki kepada saudara lelaki seibu sebapa.
6. Anak lelaki kepada saudara lelaki sebapa.
7. Bapa saudara dari pihak bapa seibu sebapa.
8. Bapa saudara dari pihak bapa sebapa.
9. Anak lelaki kepada bapa saudara dari pihak bapa seibu sebapa.
10.Anak lelaki kepada bapa saudara dari pihak bapa sebapa.
11.Bapa saudara dari pihak bapa kepada bapa seibu sebapa.
12.Bapa saudara dari pihak bapa kepada bapa sebapa.

Tentang halangan yang dialami oleh wali hingga tidak dapat hadir ke majlis pernikahan, mazhab Syafii menjelaskannya sebagai berikut:

Sekiranya seorang wali berhalangan untuk hadir dan dia pula berada pada jarak solat qasar – sementara ia belum melantik wakilnya – maka perwalian berpindah ke tangan hakim atau naib untuk melaksanakan upacara pernikahan.

Sekiranya seorang wali berhalangan hadir dan dia pula tidak berada pada jarak solat qasar, mazhab Syafii mempunyai dua perincian:

Ø    Hakim tidak boleh menikahkan perempuan tersebut, kecuali dengan izin wali kerana wali dihukumkan hadir dengan alasan jarak keberadaannya yang dekat. Inilah pendapat yang paling sahih menurut mazhab Syafii.

Ø    Hakim boleh menikahkan perempuan tersebut dalam keadaan demikian kerana wali dianggap berhalangan dan apaapa ikhtiar untuk mendapatkan izinnya menemui jalan buntu. Ini untuk mencegah hal-hal yang tidak diinginkan dalam upacara pernikahan (lihat Al-Muhazzab, jilid 2, hlm. 37).

Mazhab Hanafi tidak mempertimbangkan jarak keberadaan wali terdekat dengan mempelai wanita jika wali tersebut berhalangan untuk hadir.

Kesimpulannya, sekiranya wali berhalangan untuk menghadiri majlis akad nikah, sedangkan mempelai lelaki yang kufu dengan mempelai perempuan sudah hadir, tidak perlu menunggunya untuk meminta restu. Wali yang berada pada urutan berikutnya boleh menggantikannya menjalankan upacara akad nikah.

Ini kerana penantian terhadap wali hanya menghilangkan kemaslahatan bagi mempelai padahal kemaslahatan bagi mempelai merupakan tujuan ditetapkannya perwalian.

Wali Tidak Mahu Menikahkan

Apabila wali sengaja tidak mahu menikahkan mempelai perempuan tanpa alasan yang jelas menurut syarak, ia dianggap menyusahkan dan zalim. Oleh itu, hak perwaliannya boleh diserahkan pada hakim.

Ini kerana tindakan menghalang seorang perempuan untuk berkahwin adalah satu kezaliman. Dalam situasi ini hakim atau kadi berhak menggantikan tempat wali ini.

Aisyah r.ha. melaporkan perihal perselisihan wali ini, sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya: “Jika para wali berselisih (menyusahkan), maka hakimlah yang menjadi wali orang yang tidak mempunyai wali.” (Riwayat Abu Daud dalam Sunan Abi Daud pada bab Nikah: Tentang Wali)

Dalam kes di atas, hakim mempunyai hak mengambil alih hak perwalian. Apabila hakim menolak untuk mengambil haknya, pihak berkuasa hendaklah mengambilnya, sama seperti halnya kalau si hakim mempunyai hutang, lalu menolak untuk membayarnya.

Dalam sebuah kisah diceritakan, seorang lelaki melamar perempuan dari Bani Laith. Ayah perempuan tersebut menolak untuk menikahkannya.

Persoalan ini lalu diadukan kepada Usman. Lalu Usman menjawab: “Jika lelaki tersebut kufu (sepadan), perintahkan oleh kamu agar ayah perempuan itu segera menikahkannya. Kalau ia menolak, nikahkan saja keduanya oleh kamu.” Adapun jika seorang wali menolak menikahkan perempuan kerana alasan calon suaminya tidak sekufu, atau maharnya belum mencapai mahar mithil (sebanding), maka tindakan wali tersebut tidak boleh dipersalahkan. Seperti itulah hukum perwalian pernikahan menurut fiqah mazhab Syafii dan mazhab Hanafi.¤

 

Ustaz Badli Shah Alauddin

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.3

_______________________________________________________________________

 

Ustaz Badli Shah Alauddin

Sarjana Muda Usuluddin dan Dakwah (Tafsir al-Quran) Universiti al-Azhar. Kini sedang melanjutkan pengajian Sarjana Sains di Universiti Malaysia Terengganu.Merupakan Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan di Jabatan Agama Islam Pahang. Mendapat bimbingan langsung kemahiran menyampaikan dakwah daripada Prof. Dr. Abd al-Mun‘im Subhi Abu Shu‘ayshi‘ Abu Dunya, tokoh ulama Mesir.

Kembali ke atas