Menu

 

A+ A A-

SALAM BERLAPIK

APA hukumnya perempuan bersalaman dengan lelaki secara berlapik iaitu dengan memakai sarung tangan? Pengetua di sekolah saya selalu berbuat demikian terutamanya dalam majlis-majlis rasmi.

Jawapan :

Menurut pandangan kebanyakan ulama, tetap tidak boleh perempuan bersalaman dengan lelaki ajnabi biarpun dengan bersarung tangan. Ini kerana walaupun bersarung tangan, kita masih dapat merasai jisim atau bentuk bahagian badannya.

Pendapat ini tidak menjadi ijmak. Namun kita mengajarkan pandangan muktamad iaitu tetap tidak boleh. Namun dalam keadaan darurat atau hendak menolak mudarat yang lebih besar, ada pandangan yang membenarkan bersalaman dengan bersarung tangan. Jadi boleh hanya ketika kesulitan dan sangat-sangat perlu sahaja.

Apa yang berlaku sekarang, dalam keadaan biasapun orang bersalam begitu sahaja. Antara alasannya sebab orang yang disalami itu pemimpin besar. Siapa yang lebih tinggi pangkat daripada Rasulullah? Dalam kitab Syarah Fiqh al-Akbar disebut: “Sesiapa yang berpendapat mana-mana pemimpin itu lebih tinggi daripada Rasulullah, dia jatuh murtad!”

Pemimpin tertinggi ialah Rasulullah. Pun begitu, dalam peristiwa baiah Nabi tidak bersalaman pun dengan kaum wanita.

Aurat Ibu dan Anak Lelaki

Apakah aurat ibu dengan anak lelakinya?

Jawapan :

Berkenaan aurat anak lelaki dengan emak, Allah s.w.t berfirman mafhumnya: “Diharamkan bagi kamu ibu-ibu kamu sendiri.” Maknanya emak kita ialah mahram kita.

Jadi antara emak dan kita, yang wajib hanya pakai kain dari pinggang sampai lutut. Bahagian perut hingga ke atas, kita tidak haram untuk melihatnya dan dia tidak haram menunjukkannya. Kita dahulu pun menyusu dengannya.

Yang tidak bolehnya, emak pakai kain tuala nampak peha dan dilihat oleh lelaki lain. Begitu juga anak lelaki hanya berseluar dalam di hadapan emak. Ayah juga tidak boleh hanya berseluar dalam di dalam rumah dan berjalan di hadapan anak. Hukumnya haram. Yang boleh, suami pakai seluar dalam di hadapan isteri sahaja.

Bermenantukan Orang yang Tidak Solat

Apa hukum orang yang mengahwinkan anaknya dengan orang yang tidak solat?

Jawapan :

Orang sekarang ini ada tidak yang bertanya kepada orang yang hendak mengahwini anaknya tentang solat? Tidak ada! Asalkan nampak pakai kereta, beres. Kerja makan gaji, beres. Kerja apa? Kerja bank, bolehlah. Dengar dia kerja bank sahaja, boleh terus.

Siasat dulu, dia solat ke tidak? Pergi siasat di tempat dia bekerja: dia solat atau tidak? Tanya kawan-kawannya, dia berjudi atau tidak? Dia minum arak atau tidak? Sebabnya kita hendak buat menantu.

Haram buat menantu orang yang tidak solat walaupun nikah itu sah. Ini kerana anak perempuan itu amanah Allah. Kita kena jaga betul-betul. Jangan jadi rosak dan kotor. Adakah layak anak dara kita yang kita bela dari kecil sampai besar, akhirnya kita bagi dia tidur dengan orang yang tidak solat? Dia pula kena taat dengan suami yang fasik. Tidak betul punya ayah. Macam tidak sayang anak!

Wallahu a‘lam.

 

 

Ustaz Azhar Idrus

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 11

 


 

Ustaz Azhar Idrus

Beliau mendapat pendidikan agama secara bertalaqqi dengan beberapa guru agama di sekitar Kuala Terengganu. Sekarang beliau bergerak aktif menyampaikan kuliah agama di seluruh negara. Cara penyampaian beliau yang humor, jelas dan mudah, menjadikan beliau amat diminati masyarakat.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas