MENGENALI KELUARGA SUSUAN NABI
- Ditulis oleh Abdullah Bukhari Abdul Rahim
- Kategori Sirah Rasulullah
- Read 85589 times
IBU dan Saudara Susuan Nabi
Semasa kecil Nabi Muhammad s.a.w. disusukan oleh orang lain iaitu Halimah al-Sa‘diah. Cuma saya tertanya-tanya tentang adik-beradik susuan Baginda. Siapakah mereka? Mohon ustaz terangkan.
Jawapan
Sebenarnya Nabi mempunyai dua orang ibu susuan. Untuk lebih mudah mengenali ibu susuan dan adik beradik susuan baginda, saya ringkaskan dalam jadual di bawah yang dipetik daripada kitab Zad al- Ma‘ad karangan Ibn al-Qayyim:
Ibu Susuan Paling Akrab
Antara kedua-dua ibu susuan Baginda, siapakah yang lebih lama menyusukan Baginda?
Sudah tentulah Halimah. Thuwaybah hanya menyusukan Nabi selama beberapa hari sahaja pada hari-hari terawal kelahirannya. Elok juga jika diimbas secara ringkas bagaimana hubungan keluarga antara Halimah dan Rasulullah bermula. Seperti biasa, Halimah bersama beberapa orang wanita Bani Sa‘ad ibn Bakr pergi ke Makkah untuk mengambil upah menyusukan bayi.
Namun pada tahun itu, beliau ketinggalan daripada rombongannya. Keldai tunggangannya kurus dan lemah. Tahun itu sungguh lain macam musim panasnya. Dalam masa yang sama beliau turut membawa bayinya bernama Abdullah. Dia tidak henti-henti menangis kelaparan sedangkan susu badan ibunya itu sudah kekeringan.
Dipendekkan cerita, semua wanita enggan mengambil Rasulullah sebagai anak susuan. Ini kerana kebiasaannya upah menyusukan anak yatim tidak seberapa dan belum tentu terjamin. Sebagai orang terakhir tiba, Halimah dengan rasa berat hati mengambil juga Rasulullah. Tiada lagi bayi lain.
Namun sebaik sahaja beliau mengambil Rasulullah, susu dadanya bertambah. Baik Nabi mahupun anaknya, semua dapat minum sehingga kenyang. Dalam perjalanan balik, keldai betinanya yang pada asalnya kurus itu bergerak pantas sekali hingga meninggalkan rombongan kaumnya. Pendek kata, kehidupan Halimah dan keluarganya bertambah baik hari demi hari dek keberkatan Rasulullah bersama.
Jejak Kasih Saudara Susuan
Adakah baginda bertemu kembali dengan adik beradik susuannya ketika masing-masing telah dewasa?
Jawapan
Ya, antaranya Rasulullah pernah bertemu kembali dengan Judamah binti al-Harith iaitu anak perempuan kandung Halimah ketika peristiwa perang Hunain pada tahun ke-8 hijrah.
Sejurus mengalahkan pihak musuh, tentera Islam telah menawan ramai tawanan musuh. Mereka telah sedikit berkasar dengan seorang wanita. Lalu wanita tersebut berkata: “Aku ini saudara susuan Nabimu!”
Para sahabat kemudiannya membawa wanita itu berjumpa Nabi. Rasulullah bertanya kepadanya: “Kalau benar kamu ini kakak susuanku, apa buktinya?” Judamah menunjukkan kesan gigitan pada belakangnya seraya berkata: “Ini ialah kesan gigitanmu ketika aku sedang meribamu (semasa kamu masih kecil).”
Rasulullah lantas menghamparkan bajunya untuk memuliakan kakak susuannya itu. Baginda juga membebaskan Judamah serta menghadiahkannya dua orang hamba. Menurut Imam Ibn al-Qayyim pula, akhirnya Judamah memeluk Islam dan Nabi menghadiahkannya tiga orang hamba abdi.
Nabi sudah berkhatan sejak lahir
Satu lagi soalan. Betulkah Nabi sudah berkhatan sejak kecil lagi?
Pendapat yang mengatakan bahawa Rasulullah sudah dikhatankan semenjak lahir lagi bersandarkan beberapa riwayat antaranya:
Hadis yang bermaksud: “Antara kemuliaanku oleh Tuhanku: aku dilahirkan dalam keadaan sudah dikhatankan dan tiada seorang pun yang pernah melihat auratku.” (Mu‘jam al-Awsat, Imam al- Tabarani)
Abdullah bin Abbas mengatakan daripada ayahnya bahawa Rasulullah dilahirkan dalam keadaan sudah disunatkan serta sudah terpotong tali pusatnya. (Dala’il al-Nubuwwah, Imam al-Baihaqi dan Mustadrak al-Hakim)
Walau bagaimanapun, ulama hadis seperti Ibn al-Qayyim al- Jawziyyah mengatakan bahawa semua riwayat tersebut tidak sahih. Kelahiran dalam keadaan sudah dikhatankan bukanlah suatu kelebihan yang perlu ada pada para rasul. Bahkan ramai manusia biasa dilahirkan dalam keadaan sudah dikhatankan.
Secara ringkasnya terdapat tiga pendapat dalam isu ini:
1. Rasulullah dilahirkan dalam keadaan sudah dikhatankan serta dipotong tali pusatnya. Pendapat ini tidak dapat diterima kerana disandarkan kepada riwayat yang tidak sahih (sebagaimana dinyatakan).
2. Rasulullah dikhatankan oleh para malaikat yang membelah dada baginda buat kali pertama ketika di perkampungan Bani Sa‘ad. Pada ketika itu, baginda baru berusia 4 tahun. Pendapat ini juga amat pelik dan tidak dapat diterima kerana tidak mempunyai sandaran yang sahih.
3. Rasulullah dikhatankan oleh datuknya Abdul Mutalib pada hari ketujuh kelahiran baginda. Datuknya juga menamakan baginda dengan nama Muhammad serta mengadakan sedikit kenduri sempena majlis tersebut sebagaimana biasa dilakukan oleh orang Arab.
Pendapat ini dipegang oleh Ibn Qayyim al-Jawziyyah dalam Zad al-Ma‘ad dan Syeikh ‘Atiyyah Saqar (mantan pengerusi jawatankuasa Fatwa al-Azhar) dalam fatwanya yang dikeluarkan pada bulan Mei 1997.
Wallahu a‘lam.
Abdullah Bukhari Abdul Rahim
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.6
Abdullah Bukhari Abdul Rahim
Sarjana Usuluddin (Tafsir al-Quran), UM. Kini pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Tulisan beliau kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian. Tumpuan penulisan beliau ialah kefahaman dan interaksi dengan al-Quran. Dekati beliau di abdullahbukhari.blogspot.com.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.